- Ahad, 06 April 2014 02:15
Ulasan: Pencalonan MB Selangor Tan Sri Khalid
Ibrahim sebagai Timbalan Presiden mungkin antara kesilapan strategi
paling besar dalam hidup beliau.

Meskipun
Khalid mengakui mendapat sokongan meluas atas populariti sebagai MB
Selangor paling bersih dalam sejarah, namun perhitungan politik bersih
atau kotor bukanlah ukuran utama untuk memenangi kerusi Timbalan
Presiden.
Sokongan diberi sekiranya ahli parti puas terhadap
khidmat, layanan dan karismatik pemimpin yang bertanding. Khalid tidak
mampu memenuhi kehendak ahli PKR di Selangor. Malah yang menunjukkan
sokongan terhadap beliau pun mungkin tidak mengundinya semasa pemilihan.
Apatah lagi di negeri lain yang kurang mengenali Khalid.
Polisi kedekut
Di
kalangan ahli PKR Selangor, Khalid disifatkan sebagai MB kedekut dan
sukar meluluskan projek-projek yang difikirkannya tidak menguntungkan
negeri. Namun projek tersebut kadang-kala menguntungkan dari segi
politik.
Misalnya, untuk menaja konsert kecil anak muda atau
aktiviti frinjan tentulah tidak jelas keuntungan kepada negeri, terutama
apabila aspek pulangan kewangan diambil kira. Tetapi aktiviti seumpama
itu amat bernilai meraih sokongan politik. Anak muda yang berasa
dihargai akan mengundi PKR/PR dalam pilihan raya, selain menghindar
mereka daripada melakukan perkara-perkara yang lebih melalaikan.
Begitu
juga projek-projek yang sepatutnya diluluskan dengan pertimbangan
tertentu ke atas kontraktor tertentu sebagai sokongan membangun usahawan
baru bumiputera. Prinsip harga paling murah dan berkualiti tentu sekali
hanya boleh diberi oleh kontraktor bermodal besar dan berpengalaman.
Kontraktor baharu mustahil mampu meletakkan harga paling rendah.
Akibat
polisi itu, kontrak tertentu, misalnya pungutan sampah didakwa pergi
kepada kontraktor besar Umno yang telah sekian lama menjalankan
perniagaan. Sedangkan kontraktor Umno ini bermula secara kronisme,
menikmati untung berlipat kali ganda ketika BN memerintah Selangor suatu
ketika dahulu.
Sesebuah negeri tidak boleh ditadbir secara
urustadbir korporat mutlak. Tetapi Khalid didakwa banyak pihak
melaksanakan pentadbiran seolah-olah beliau masih CEO konglomerat
Guthrie. Semua perbelanjaan mesti mendapat pulangan tertentu. Barangkali
faktor ‘keuntungan’ itu menyebabkan kerajaan negeri penggal ini
menghapuskan kebudayaan dan kesenian dalam potforlio Exco Selangor.
Kebudayaan
tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kewangan. Hasilnya, banyak
penggiat seni melopong kerana Selangor, negeri terkaya di Asia Tenggara
(Singapura dan Brunei adalah negara walaupun saiz lebih kecil) tidak
menyediakan dana untuk kegiatan seni dan kebudayaan.
Lebih buruk
lagi, dana tidak boleh didermakan untuk aktiviti kepartian. Menjadi
resam kerajaan Umno terdahulu memberi projek kepada syarikat berkaitan
Ketua Bahagian BN dan keuntungan atau wang ‘mark up’ projek akan
digunakan untuk perbelanjaan politik. Malah banyak syarikat yang memang
diwujudkan untuk mendanai parti.
Memanglah PR tidak menyokong
langkah merembat duit rakyat seperti itu. Bagaimanapun perlu ada sedikit
pertimbangan untuk memberi tanah TOL atau sesetengah lesen untuk
kegunaan ahli parti mengusahakan bengkel, kedai dan sebagainya. Dana
boleh digunakan oleh parti peringkat cabang misalnya. Semua urusan
dilakukan secara telus dan tidak meminta kewangan secara langsung
daripada kerajaan negeri.
Semua tidak boleh
Oleh
kerana semuanya tidak boleh, maka dalam PRU 13 lalu PKR Selangor sangat
miskin. Seorang Exco merungut kawasannya di Shah Alam tidak mempunyai
dana untuk membelanja pekerja parti memasang poster pilihan raya.
Sedangkan pada PRU 2008, katanya, walaupun PR tidak memerintah, bilik
gerakannya mampu menyediakan sedikit upah dari sumbangan derma. Derma
tidak datang lagi setelah PR memerintah negeri.
Hal inilah yang
membuat ADUN dan ahli parti teruja terhadap pelan menggantikan MB
Selangor. Malah kini cadangan untuk menggantikan MB juga dipersetujui
oleh ADUN PAS dan DAP yang terasa peritnya berkhidmat di bawah Khalid.
Jika
benar Khalid tidak suka kepada pemberian secara sembunyi terhadap parti
maka ia boleh dilakukan secara telus. Di negara maju Barat, kerajaan
memberi dana khusus kepada calon pilihan raya untuk berkempen.
Calon-calon yang disahkan bertanding akan menerima wang untuk mencetak
poster, menyediakan bilik gerakan dan sebagainya. Tujuannya untuk
mengelak pemimpin parti menerima sumbangan syarikat swasta dan kelak
terikat untuk meluluskan bisnes tertentu setelah dipilih menjadi anggota
kerajaan.
Mengapakah Khalid tidak melakukan sedemikian untuk
ADUN-ADUN Selangor? Sebaliknya, dalam hal pentadbiran negeri, banyak
pula dakwaan keputusan-keputusan penting dirunding bersama setiausahanya
tanpa perbincangan telus dengan pemimpin parti, hal ini amat
membingungkan.
Di atas sebab-sebab tersebut Khalid semakin tidak
popular di kalangan ahli-ahli PKR. Ahli tidak akan menyokong pemimpin
yang sukar untuk meluluskan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat
bersama. Malah mula timbul suara-suara tidak puas hati dengan dasar
kedekut Khalid. Mereka bimbang jika pada PRU depan dana masih tidak
wujud untuk memasang poster di Selangor maka lebih baik negeri itu
diberikan sahaja kepada BN.
Untuk Khalid memimpin di peringkat
nasional tentulah akan lebih memeningkan ahli dan pemimpin PKR. Apatah
lagi Khalid kurang karismatik dalam berceramah dan beramah mesra dengan
rakyat.
Secara kasar, sokongan terhadap Khalid tidak mungkin
boleh melepasi 30 peratus pada pemilihan kali ini. Itu pun sekiranya
tiga lagi calon, termasuk Tian Chua, tidak menarik diri sebelum
pengundian bermula. Sekiranya mereka kekal bertanding maka undi untuk
Khalid akan lebih kecil lagi.