Terkini: 'Good night Malaysian three seven zero'
'Good night Malaysian three seven zero'. Ucapan itu disahkah oleh Jabatan
Penerbangan Awam (DCA) sebagai perbualan terakhir di dalam transkrip
antara menara kawalan trafik udara dan kokpit MH370.
Siapakah yang menuturkan ucapan tersebut? Jika dirujuk kepada
jawapan sebelum ini, komunikasi terakhir antara kokpit MH370 dan menara
kawalan trafik datangnya dari pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid,
27 dan berbunyi 'Allright good night'.
Namun, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan lewat malam ini
memberitahu, perbualan terakhir antara kokpit dan menara kawalan
direkodkan pada pukul 1.19 pagi waktu Malaysia adalah 'Good night
Malaysian three seven zero' dan penuturnya masih disiasat.
"Pihak berkuasa masih lagi menjalankan penyiasatan forensik untuk
memastikan penutur ucapan selamat malam dari kokpit itu sama ada dibuat
oleh juruterbang atau pembantunya.
"Menteri telah mengarahkan pasukan penyiasat untuk mengeluarkan
transkrip penuh perbualan antara menara kawalan dan kokpit pada taklimat
ahli keluarga yang akan diadakan dalam masa terdekat ini," kata
kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan ekoran soalan yang dibangkitkan semasa
sidang media petang tadi mengenai komunikasi terakhir antara kokpit dan
menara kawalan trafik udara di Kuala Lumpur.