Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang notis berhubung tuntutan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sekiranya notis tersebut diterima, perkara itu akan dirujuk terlebih dahulu kepada peguam bagi mendapatkan nasihat undang-undang sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, kenyataan yang dibuat sebelum ini adalah berdasarkan beberapa laporan media mengenai kenyataan Perdana Menteri.
Katanya lagi, beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan fitnah yang dibangkitkan sehingga menerima notis rasmi berkenaan.
Sebelum ini, peguam mewakili Anwar, Datuk SN Nair, memaklumkan bahawa satu surat tuntutan telah dihantar kepada Tuan Ibrahim berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Kenyataan yang dipersoalkan itu didakwa dibuat di luar Parlimen pada 14 Jun lalu sebelum disiarkan semula menerusi media sosial.
Antara tuntutan yang dikemukakan ialah supaya Tuan Ibrahim menarik balik kenyataan tersebut serta-merta dan membuat permohonan maaf terbuka tanpa sebarang syarat.
Selain itu, beliau turut diminta memberikan aku janji bahawa dakwaan sama tidak akan diulangi pada masa akan datang.
Surat tuntutan itu juga menuntut pembayaran ganti rugi serta kos guaman berkaitan isu tersebut.
Peguam Anwar memaklumkan Tuan Ibrahim diberi tempoh 48 jam untuk memberi maklum balas. Jika gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan dimulakan tanpa notis lanjut.

No comments:
Post a Comment