
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada program Grand Finale Kekal Harapan di DUN Jeram Padang, Bahau pada 31 Julai 2026. Foto PMO
JEMPOL, 31 Jul – Seperti mana laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah diumumkan kepada rakyat, laporan pasukan petugas khas atau ‘task force’ berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan disiapkan dalam masa beberapa bulan lagi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri turut berjanji akan mengeluarkan laporan itu kepada umum sebaik sahaja ia disiapkan.
Beliau turut meminta agar orang ramai membacanya seperti laporan RCI TH.

“Kita sudah bawa keluar cerita Tabung Haji. Mungkin dalam masa beberapa bulan siap laporan ‘task force’ FELDA, kita keluarkan pula.

“Baca (laporan) pasal FELDA ini,” katanya semasa Ceramah Perdana Grand Finale Kekal Harapan di DUN Jeram Padang di sini, malam ini.

Perdana Menteri berkata, tujuan Kerajaan Perpaduan pimpinannya berbuat seperti itu juga mahu memperbetulkan kesilapan lalu.

Beliau berkata, perkara seperti itu adalah tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berpandangan Kerajaan Persekutuan dan negeri seharusnya bergerak seiringan.

Katanya, ia bagi memudahkan kerja terutamanya dari segi aspek kebajikan rakyat.

No comments:
Post a Comment