KENYATAAN MEDIA 24 JUN 2026 | RABU






HORMAT WANITA: HENTIKAN EKSPLOITASI SEKSUAL DAN GENDER


Saya memandang serius budaya di media sosial yang gemar memanipulasi gambar atau rakaman video melibatkan wanita untuk dijadikan bahan jenaka, sindiran, komen lucah atau serangan peribadi.


Baru-baru ini tular rakaman yang memaparkan YB Fadhlina Sidek dan YB Ramanan menari dalam suasana santai sebuah program. Namun apa yang lebih membimbangkan ialah kemunculan pelbagai komen dan naratif yang cuba memfokuskan kepada aspek fizikal, hubungan peribadi atau persepsi tidak senonoh terhadap wanita yang terlibat.


Perkara seperti ini tidak seharusnya dinormalisasikan.


Wanita mempunyai hak untuk berada di ruang awam, menghadiri program dan berinteraksi dengan masyarakat tanpa perlu menjadi sasaran komen berbaur seksual atau penghinaan terhadap maruah diri mereka.


Perbezaan pendapat politik tidak pernah menghalalkan sesiapa untuk menjadikan wanita sebagai bahan cemuhan, objek seksual atau sasaran serangan yang tidak berkaitan dengan prestasi dan tugas mereka.


Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh mengkritik dasar dan pendirian politik. Tetapi kita tidak boleh membenarkan budaya yang merendahkan martabat wanita terus berkembang dalam masyarakat.


Sebagai seorang wanita dan pemimpin politik, saya berdiri teguh menolak segala bentuk gangguan seksual, eksploitasi imej wanita serta budaya sexualizing women sama ada dalam dunia sebenar mahupun di media sosial.


Marilah kita membina politik yang matang, beradab dan menghormati maruah setiap insan.


Hormat Wanita. Lindungi Maruah Wanita. Jangan Sexualize Wanita.


Rozy Razit

Calon N01 Buloh Kasap

Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor

Ketua Wanita KEADILAN Cabang Pasir Gudang

EXCO Wanita KEADILAN Malaysia





No comments: