
Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis tiba Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk pertuduhan pecah amanah RM5 juta pada 30 Januari 2026.
KUALA LUMPUR, 30 Jan – Mahkamah Sesyen di sini menyaksikan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Khamis, didakwa hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) sebanyak RM5 juta.
Mohamed Fauzi, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham pertuduhan tersebut, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya yang memakai kot biru gelap dari dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, beliau sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta TKAT berjumlah RM5 juta dengan membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat, tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), di sini pada 27 November 2023 lalu.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.
Terdahulu, beliau tiba di Mahkamah Sesyen, di sini dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berpakaian kemas mengenakan sut biru gelap, beliau sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media sambil menyapa ringkas: “Apa khabar hari ini?” sebelum mengangkat tangan memberi tabik hormat singkat ketika melangkah masuk ke bilik mahkamah.
Keadaan dalam mahkamah teratur, dengan orang awam, pegawai mahkamah dan wakil media memenuhi galeri.
Fauzi kelihatan sesekali berbual dengan pegawai SPRM di belakangnya.


No comments:
Post a Comment