Rasuah e-Waste: Ketua Pengarah JAS, Timbalan Tiba Untuk Direman

 


Ketua Pengarah JAS dan timbalannya berpakaian lokap warna jingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dalam keadaan tangan bergari tiba kira-kira pukul 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM pada 30 Januari 2026. Foto Faiz Alif Zubir

PUTRAJAYA, 30 Jan – Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya, di sini bagi mendapatkan permohonan reman bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sisa elektronik (e-waste).

Kedua-dua mereka yang berpakaian lokap warna jingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dalam keadaan tangan bergari tiba kira-kira pukul 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM.

Mereka dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman susulan penahanan mereka oleh SPRM berkaitan siasatan isu pengurusan e-waste sekitar 2021 hingga tahun ini.

Media semalam melaporkan, kedua-dua mereka ditahan sekitar pukul 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di sini.

Difahamkan, siasatan SPRM kini menumpukan kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam mengesahkan penahanan kedua-dua suspek berkenaan dan disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, SPRM berjaya mengesan aktiviti pengimportan e-waste secara haram, susulan risikan mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.

Malah, risikan terbaharu SPRM mendedahkan, warga asing disyaki menjadi dalang mengimport e-waste, plastik dan kertas secara haram untuk diproses bagi tujuan kitar semula.

Isnin lalu, dilaporkan sebanyak 16 akaun bank dibekukan membabitkan nilai kira-kira RM10.2 juta selain wang tunai bernilai RM87,000 dan barang kes bernilai kira-kira RM220,000 disita.



No comments: