ELOK LA KELUAR.. SAPA SAPA YANG BERKAWAN DENGAN PAS PASTINYA, AKAN DITUDUH KIANAT. MEREKA.. PAS SAHAJA YANG BETUL.

 


HANYA TINGGAL SELANGKAH SAJA LAGI, PAS SUDAH DI AMBANG PINTU KELUAR PN


30 January 2026


Perjumpaan ketua-ketua parti komponen PN di rumah Muhyiddin Yassin malam tidak dihadiri oleh Presiden PAS, Haji Hadi Awang.


Sebaliknya, hanya tiga Presiden parti yang hadir – Muhyiddin (Bersatu), Dominic Lau (Gerakan) dan P Punithan (MIPP).


Tiada sebab diberikan atas ketidakhadiran Haji Hadi, tetapi ia dipercayai sebagai protes terhadap keinginan Muhyiddin untuk kembali menguasai PN melalui cadangan mengukuhkan Majlis Presiden dengan Bersatu mengetuainya dan menubuhkan Majlis Eksekutif (diketuai PAS) sebagai ganti kepada jawatan Pengerusi PN yang dicadangkan untuk dimansuhkan oleh Presiden Bersatu itu.


Dalam suratnya kepada ketua-ketua parti dalam PN dua hari lalu, Haji Hadi secara jelas menolak cadangan Muhyiddin itu dan mahu struktur PN sedia ada dikekalkan.


Dengan ketidakhadiran Haji Hadi malam tadi sebagai mewakili PAS yang merupakan parti terbesar dalam PN serta mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai, bolehlah disimpulkan idea Muhyiddin untuk mengubah struktur PN bakal menemui jalan buntu.


Adalah sukar untuk Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang telah meletak jawatan untuk mengubah struktur PN jika tanpa persetujuan, apa lagi kalau dibantah oleh PAS.


Yang boleh digambarkan selepas ini, apa jua usaha Muhyiddin jika beliau ingin terus mengubah struktur PN, ia pasti akan mendapat tentangan daripada PAS, sekaligus meletakkan hubungan PAS – Bersatu tidak lagi semesra dulu.


PAS dipercayai akan terus menjauhkan diri daripada sebarang perjumpaan yang dianjurkan Muhyiddin selepas ini.


Memadangkan PAS tetap dengan pendirian ingin struktur PN sedia ada dikekalkan serta mahukan parti itu pula menerajui gabungan tersebut, Muhyiddin sekarang ini tiada pilihan lain selain akur dengan kehendak PAS itu jika inginkan PN terus kekal seperti sekarang.


Jika beliau berkeras juga dengan ideanya ingin mengubah struktur PN, pilihan yang hampir pasti berlaku ialah PAS akan keluar daripada gabungan tersebut.


Ketidakhadiran Haji Hadi malam tadi adalah petanda PAS hanya selangkah saja lagi, bahkan sudah berada di ambang pintu untuk keluar PN.


PAS tidak rugi apa-apa jika mereka keluar PN, sebaliknya Bersatu yang akan ditimpa kerugian berganda jika terus berjuang tanpa PAS.


Harus kita ingat, Bersatu adalah parti yang tiada pengalaman berjuang secara solo sejak ia ditubuhkan.


Kali pertama menghadapi PRU 2018, Bersatu menumpang kekuatan PH yang sudah sedia kuat ketika itu.


Pada PRU 2022 pula, Bersatu bersama PAS yang diketahui mempunyai jentera akar umbi yang mantap dan sanggup berjuang tanpa upah menghadapi pilihan raya itu melalui PN yang ketika itu baru dua tahun ditubuhkan.


Bolehkan dibayangkan jika Bersatu menghadapi PRU16 nanti jika hanya bersama Gerakan, MIPP dan parti-parti kecil dalam Ikatan Prihatin Rakyat atau IPR?


Kini segala-galanya terserah kepada Muhyiddin memikirkan apa yang penting – kekal mengubah hala tuju PN sebagaimana dicadangkannya, tetapi akan kehilangan PAS atau menadah masa depan Bersatu yang lebih bersinar pada PRU akan datang  jika kekal bersama PAS. – ShahbudinHusin 30Januari2026.


https://shahbudindotcom.net/2026/01/hanya-tinggal-selangkah-lagi-pas-sudah-di-ambang-pintu-keluar-pn/





No comments: