PYAN HABIB DAN YANG PERTAMA!


Oleh: Zunar


Pemergian seniman/penyair Pyan Habib merupakan sebuah kesedihan besar di kalangan teman-teman kerana Almarhum sangat rapat dan mesra dengan siapa saja. Menyorot kisah lalu, perkenalan saya dengan Almarhum bermula cukup lama.


 Kira-kira 30 tahun lalu, saya didatangi oleh seniman kurus berambut panjang ini di pejabat Creative Enterprise (penerbit Majalah Gila-Gila yang cukup popular pada masa itu) yang terletak di Bangsar Baru. Di situlah mula saya kenal beliau. Pyan yang ketika itu bekerja di Utusan berkata mahu wawancara saya. 


Masa itu, saya adalah kartunis yang baru mencari tempat serta nama dan belum ada media yang mahu mendapatkan padangan atau berita mengenai saya. Jadi Pyan adalah yang PERTAMA wawancara saya. Masa berlalu, ketika era reformasi (tahun 1999) saya ditangkap. Dalam perjalanan ke balai polis, Pyan adalah orang yang PERTAMA menghubungi saya, bertanya khabar dan saya katakan saya dalam kereta polis dan akan di bawa ke Balai Tun HS Lee dekat Stadium Negara.


 Selepas bermalam beberapa hari di lokap, saya pun dbebaskan. Sebaik saja melangkah keluar kira-kira jam 8 malam, teman-teman mengajak saya untuk menjadi salah seorang penceramah di AU2, Keramat. Belum pun pulang ke rumah, badan masih berbau lokap saya pun ke sana. Ceramah malam itu cukup besar dengan kehadiran ribuan orang. Selesai ceramah, kerana orang terlalu ramai, saya tak dapat berjumpa dengan orang yang membawa saya awal tadi. 


Dalam tercari-cari kalau-kalau ada wajah yang saya kenal, entah macam mana, orang PERTAMA yang saya nampak ialah Pyan Habib! Da menegur dan lalu dia mengajak ke rumah dia yang tak jauh dari situ. Makan, berbual dan mandi. Selepas itu barulah teman saya, Nazri datang dan membawa saya menaiki motorsikal untuk pulang ke rumah di Taman Melati. 


Masa beredar, saya dan Almarhum terus berhubungan dan dia sentiasa memberi sokongan kepada saya, terutama ketika sokongan sangat diperlukan iaitu masa buku-buku kartun saya diharamkan dan saya dikejar penguasa dan ditangkap berkali-kali di era Altantuya/1MDB. Kesimpulannya banyak sekali kebersamaan PERTAMA antara saya dengan almarhum. Kali terakhir saya bertemu Pyan adalah pada majlis berbuka puasa Ramadan yang lalu. Sehinggalah pada 4 Jun, jam 9 malam, saya dihubungi oleh seorang teman lama yang juga jiran dia, iaitu Zainur Zaman memaklumkan bahawa Pyan sudah tiada. Al Fatihah, semoga roh Almarhum dicucuri rahmatNya dan di tempatkan bersama orang-orang beriman. 


Kepada keluarga beliau, terutama isteri, Kak Erin, pesan saya: Tabahlah, tapi jangan tahan kesedihan. Menangis sebanyak-banyaknya. Kerana menurut penceramah agama terkemuka, Dr Nouman Ali Khan, menangis itu bukan tanda kelemahan, tetapi adalah sifat insan. Sedangkan para Nabi menangis ketika ditimpa ujian, inikan pula kita. Namun berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Masa adalah penawar duka paling mujarab. --  Aaamin.



No comments: