Oleh:
Abdullah Zaid
Kabinet hari ini memutuskan isu
'Parallel Pathway' akan dibawa ke sidang Parlimen bagi menyelesaikan status
kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke Universiti Institut Teknologi Mara
(UiTM).
Dalam sidang media hari ini,
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan boleh dirujuk
kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi
keterangan menyeluruh.
"Isu Parallel Pathway akan
dibentang di Parlimen kelak, manakala aspek perincian pula boleh merujuk kepada
KKM dan KPT," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet, hari
ini.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan
isu 'Parallel Pathway' mungkin memerlukan beberapa pindaan bagi menyelesaikan
isu tersebut.
Katanya, Pejabat Peguam Negara
sudah memberi beberapa pandangan dari segi perundangan kepada Jemaah Menteri.
Jelasnya, tidak timbul
‘Parallel Pathway’ itu membuka program ijazah sarjana muda perubatan penuh di
UiTM.
Sebaliknya, program berkenaan
hanya tertumpu kepada program latihan untuk pegawai perubatan sahaja.
Sebelum ini, UiTM menjadi
satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘Parallel Pathway’ dengan
kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.
Susulan itu, Persatuan
Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan
bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks,
sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Bagaimanapun cadangan itu menerima
kritikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang membuat kempen #MahasiswaUiTMBantah
sambil menegaskan universiti itu hanya untuk Bumiputera seperti mana termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, badan MPP itu kemudian
membuat permohonan maaf secara terbuka berkait kempen itu yang disifatkan
mereka berlaku salah faham dan tidak memberi situasi kes kronologi sebenar.