JIKA NURUL IZZAH DILANTIK JAGA PTPTN ATAU TVET MISALNYA, SIAPA PUN TAK AKAN BISING

 

Apakah Nurul Izzah tidak boleh langsung beroleh kedudukan dalam kerajaan selagi ayahnya, Anwar Ibrahim memegang jawatan Perdana Menteri?

Pertanyaan ini banyak ditimbulkan berikutan walaupun Nurul Izzah telah mengundur diri sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri untuk hanya berperanan dalam Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan bagi membantu usaha memperkukuh ekonomi negara yang dipengerusikan Mohd Hassan Merican, pertikaian terhadap kedudukan beliau masih tetap kedengaran.

Mereka terus mempertikaikannya kerana menganggap kedudukannya dalam seketariat itu masih sesuatu yang tidak wajar kerana Menteri Kewangan tetap bapanya.

Selagi seketariat itu bertanggungjawab kepada bapanya sendiri, walaupun seketariat dipengerusikan oleh Mohd Hasan Merican, kaitan Nurul Izzah dengan amalan nepotisme tidak banyak bezanya, demikian kata mereka yang tidak berpuas hati itu.

Dalam hal ini, apakah Nurul Izzah tidak boleh langsung memegang apa-apa jawatan selagi bapanya adalah Perdana Menteri, sedangkan beliau adalah seorang pemimpin kanan dalam PKR dan memainkan peranan penting bukan saja pada PRU15 lalu, bahkan sejak penubuhan PKR lagi?

Atau apakah ada jawatan lain yang sesuai buat Nurul Izzah?

Dengan kedudukan Nurul Izzah sebagai Naib Presiden PKR, selain tidak sedikit sumbangannya kepada parti itu, baik ketika PRU15 lalu, sewaktu Anwar berada di dalam penjara atau sejak PKR ditubuhkan, mengenepikannya begitu saja memang sesuatu yang tidak wajar.

Tambahan lagi, beliau juga dilihat sebagai aset masa depan PKR dan ramai pula tidak teragak-agak meletakkannya sebagai bakal Perdana Menteri wanita pertama bagi Malaysia suatu hari nanti.

Atas premis itu, memberinya latihan dan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan adalah suatu keperluan.

Silapnya dalam hal ini ialah Anwar terus melantik anaknya itu untuk berada di Pejabat Perdana Menteri sebagai penasihat kanan kepada bapanya sendiri selaku Perdana Menteri.

Walaupun cuba dihujahkan bahawa jawatan itu bersifat pro bono iaitu tidak menerima gaji, tetapi sebagaimana matlamat tidak menghalalkan cara, pro bono juga tidak membuatkan nepotisme jadi suci.

Dengan bersetuju Nurul Izzah berundur diri, ini bermakna Anwar sendiri akhirnya sedar kesilapan melantik anaknya itu tidak sepatutnya berlaku.

Mujurlah cepat kesilapan disedari, jika tidak, sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang pasti panas dengan soalan-soalan berapi berkenaan dengannya.

Sebagai pemimpin kanan PKR sendiri, walaupun bapanya adalah Perdana Menteri, Nurul Izzah sebenarnya ada hak untuk sama-sama berperanan dan menyumbang untuk negara selepas parti meraih kemenangan.

Yang tidak kena ialah jika beliau dilantik memegang sesuatu jawatan yang terletak secara langsung di bawah ketiak bapanya sendiri.

Ini kerana ia akan mendedahkan kepada konflik kepentingan dan memungkinkan berlakunya banyak perkara lain yang tidak sihat apabia bapa dan anak sendiri berada dalam pejabat yang sama.

Jika Nurul Izzah dilantik sebagai Pengerusi PTPTN atau mengetuai Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional atau TVET misalnya, pasti tidak ada sesiapa yang bising mengenai perlantikan itu.

Perlantikan Nurul Izzah bagi dua jawatan tersebut selain boleh diasingkan daripada amalan nepotime, ia juga menunjukkan bagaimana Anwar benar-benar serius untuk meletakkan keupayaan anaknya itu dalam hal yang berkaitan pembangunan generasi muda negara ini.

Lebih daripada itu, andai kata Nurul Izzah tidak kalah di Permatang Pauh baru-baru ini, dengan pengalaman, kelayakan dan kedudukannya sebagai Naib Presiden PKR, kiranya Perdana Menteri melantiknya sebagai salah seorang menteri kabinet pun tentu ramai yang turut mengalu-alukannya.

Oleh kerana PTPTN dan TVET masih lagi kosong penerajunya, Anwar harus mempertimbangkannya jika ingin menutup terus kaitan Nurul Izzah dengan amalan nepotisme melalui kedudukannya dalam Seketariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan sekarang ini.

Saya sendiri akan menjadi yang pertama menyokong perlantikan itu, tidak lagi menentangnya sebagaimana ketika Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan sebelum ini. – ShahbudinHusin 14/02/2023.



No comments: