Jangan sombong tangani grup antivaksin, Anwar tegur Khairy

 



Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak bersetuju dengan cara ugutan terhadap golongan antivaksin kerana kerajaan boleh berperanan sebagai badan memujuk. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, menggunakan cara sombong kerana membuat ugutan dan menghukum golongan antivaksin.

Beliau berkata, golongan berkenaan perlu didekati kerana pihak kerajaan sepatutnya berperanan sebagai badan memujuk, memberi penerangan dan jawapan berdasarkan dapatan kajian saintifik lebih berkualiti bagi mematahkan hujah kumpulan terbabit.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menyelesaikan pemberian dos vaksin kepada individu yang ingin menerimanya dan memberi baki selebihnya kepada golongan yang ingin mengambil dos berkenaan.

“Saya tidak sokong golongan antivaksin ini tapi adakalanya hujah mereka agak kuat, jadi kita perlu balas mereka dengan hujah yang lebih kukuh.

“Jika mereka kemukakan hujah menggunakan kertas kajian saintifik, kita perlu utarakan kajian yang lebih berkredibiliti dan kuat untuk patahkan hujah kumpulan itu.

“Saya tidak setuju kita guna cara ugutan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Semalam, Khairy menjelaskan kumpulan antivaksin kemungkinan terpaksa berdepan kehidupan yang sukar kerana tidak akan dibenarkan menikmati kemudahan kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi secara berterusan.

Beliau juga dengan tegas berkata, kerajaan akan ‘menyusahkan’ kumpulan itu yang terus enggan divaksin tanpa sebab yang dibenarkan.

No comments: