Saya ucap terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan dari YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yakob dan kerajaan kerana bersetuju menambahbaik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti yang selayaknya dalam mana-mana negara demokratik di dunia.
Perdana Menteri juga bersetuju memberi kemudahan untuk sebuah pejabat bagi Ketua Pembangkang dan beberapa kemudahan lain. Ini termasuk staf bagi membantu urusan kerja dan pejabat.
Namun, saya tidak bersetuju dengan butiran-butiran di bawah sepertimana disebut dalam surat tawaran kepada saya yang diutus Perdana Menteri. Butiran-butiran ini adalah sebahagian dari kemudahan penuh kepada seorang menteri.
Butiran-butirannya adalah seperti berikut:
1. RM14,907.20 sebulan untuk gaji bulanan.
2. RM 12,320.00 sebulan untuk elaun keraian
3. RM 1,500.00 sebulan untuk bayaran khas
4. RM4,000.00 sebulan untuk elaun rumah
5. RM 833.00 sebulan untuk elaun selenggara rumah
6. RM 6,000.00 untuk elaun pakaian panas (sekali dalam tiga tahun)
7. RM1500.00 untuk elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam tiga tahun)
8. RM 1500.00 untuk elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam tiga tahun)
9. Sebuah kereta rasmi dan sebuah kenderaan peribadi
Beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat saya terima sama sekali.
Malah, saya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.
Saya juga telah tegaskan pada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan.
Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan kepada Pejabat Ketua Pembangkang ini tidak bermaksud kita akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.
Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala.
Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang/Pengerusi PH
16 Oktober 2021.