Pengundi PRK Rantau digesa tolak parti main isu perkuaman
Setelah 5 hari berlangsungnya Perhimpunan Solidariti Untuk Keamanan di Kuala Lumpur, pelbagai pihak berharap mesej himpunan itu telah sampai ke minda dan hati para pemimpin pembangkang di Malaysia.
Seterusnya, mereka mengenepikan sentimen perkauman dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau yang bermula minggu hadapan.
Kempen tersebut penting dijalankan tanpa isu perkauman memandangkan komposisi kaum yang hampir seimbang. Mana-mana parti yang menang melalui kempen secara rasis akan menjadi ‘batu tanda’ perjalanan politik masa hadapan negara menjelang pilihan raya umum ke 15.
Bagi Pengarah Komunikasi Amanah, Ir Khalid Samad isu perkauman tidak wajar dimainkan dalam apa jua situasi sama ada PRK atau pada hari biasa kerana berpotensi untuk mencetuskan keganasan sebagaimana yang berlaku di New Zealand dua minggu lalu.
“Ideologi perkauman tidak ada tempat di Malaysia dan ideologi ini wajib dihapuskan sama sekali sebab kalau timbul persengketaan di antara kaum maka negara akan tumbang.
“Tanpa kerjasama di antara semua kaum dalam semua sektor tidak kira sektor perindustrian, ekonomi atau pun bidang sukan, Malaysia akan rugi kalau mana-mana kaum tidak memberi sumbangan. Sumber manusia adalah kekayaan sesebuah negara dan kita patut menggunakan sumber itu untuk membangunkan dan memajukan negara.
“Malaysia dengan pelbagai kaum dan agama adalah sebuah negara aman dengan hasil bumi yang kaya dan jika semua rakyat bekerjasama dengan baik di antara satu sama lain, kita mampu bersaing di pentas antarabangsa dan menjadi sebuah negara yang terunggul dalam semua bidang kerana rakyat kita adalah rakyat yang bijak dan berbakat.
“Alaf yang baru akan datang pada tahun depan. Kita patut menyahut cabaran itu tetapi jika rakyat negara kita hanya memberi tumpuan kepada isu perkauman, kita akan kecundang dalam kalangan negara-negara ASEAN,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Justeru Menteri Wilayah Persekutuan itu berharap kempen PRK Rantau yang bermula pada 30 Mac depan akan berjalan lancar serta tidak menyelitkan unsur-unsur perkauman sebagaimana kempen PRK Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini.
“Saya menggesa semua pengundi di Rantau supaya menolak mana-mana pihak yang mengungkitkan isu atau topik yang rasis. Ideologi perkauman patut dikuburkan sekarang juga kerana ia tiada tempat dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia di mana semua kaum harus hidup dalam keadaan yang aman-damai,” tegas Khalid