FBI DAN PDRM

Teras bantah FBI bersidang di Kuala Lumpur
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membantah keras persidangan agensi perisik Amerika yang akan diadakan di Garden and Residences, Mid Malley, dekat sini pada 18 hingga 23 Julai ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) memberitahu, maklumat itu diperoleh daripada laman web FBI National Academy Associatites untuk Asia Pasifik yang diketuai oleh presidennya, SAC 1 Datuk Shahbudin Abdul Wahab.

"Teras membantah dengan keras persidangan ini diadakan di Malaysia yang melibatkan sebuah agensi risikan Amerika yang jelas mempunyai rekod menjadi dalang dalam pelbagai konspirasi untuk menjatuh pemimpin-pemimpin negara yang tidak sebulu dengan Amerika," katanya dalam satu kenyataan media.

Difahamkan, perhubungan FBI National Academy Associates dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 1964 apabila SAC Kassim Ali menghadiri sesi FBI NAA itu buat kali ke-74 .

Sejak itu katanya, 58 pegawai polis kanan dari PDRM telah menghadhiri kursus yang dianggap sangat istimewa, antara yang turut hadir ialah bekas ketua polis negara, Tun Haniff Omar, kecuali 16 orang , yang lain dikatakan sudah bersara.

Mohd Azmi berkata, pihaknya amat kesal apabila mengetahui Malaysia telah menjalinkan hubungan kepolisian dengan FBI yang membuktikan perhubungan seperti ini dilakukan tanpa pengetahuan dan perbahasan di kalangan rakyat mahupun di Parlimen.

Justeru, Teras mendesak kerajaan menjelaskan kepada umum rasional mereka menjalinkan hubungan dengan FBI dan mahu kerajaan segera menghentikan perhubungan dengan FBI.

"Teras mendesak agar pihak kerajaan menjelaskan apakah rasional perhubungan PDRM dengan FBI selama ini, sejauh mana maklumat keselamatan negara diserah kepada FBI dan berapa perbelanjaan yang terlibat dalam latihan pegawai PDRM di FBI.

"Teras juga menuntut agar pihak kerajaan menghentikan perhubungan dengan FBI," katanya.

No comments: