‘Kevin Morais yang salurkan maklumat kes penyelewengan 1MDB kepada saya’ – Clare


Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown mendedahkan, mendiang Kevin Morais yang menyalurkan maklumat mengenai siasatan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd yang pernah menjadi anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya dihubungi secara langsung oleh orang itu (yang menyiapkan kertas pertuduhan). Saya rasa dia adalah Kevin Morais. 
“Saya mempunyai sumber yang saya tidak akan dedahkan, sumber yang boleh dipercayai memberitahu ia adalah Kevin Morais,” katanya. 
Tiga tahun lalu, adik kepada mendiang Kevin iaitu Charles, membuat akuan berkanun yang mendakwa Kevin merangka kertas pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak dan menghantar salinannya kepada Sarawak Report.
Kertas-kertas pertuduhan itu dihantar sehari selepas Najib memecat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan beberapa pegawai tinggi dalam kerajaan yang didakwa cuba mengulangi pendakwaan terhadapnya. 
Menurut kenyataan Charles kepada media, dia tidak percaya bahawa dakwaan kononnya mendiang Kevin diculik dan dibunuh mempunyai kaitan dengan beberapa kes rasuah beberapa individu yang sedang menghadapi perbicaraan ketika itu. Charles kemudian menuntut bedah siasat kali kedua. 
Mendiang Kevin dipercayai telah diculik pada 4 September 2015 dan dicekik sehingga mati sebelum mayatnya disumbat dalam tong dram yang kemudian diisi dengan simen. 
Pihak berkuasa menemui tong dram tersebut di Persiaran Subang Mewah, berhampiran Subang Jaya selepas dua minggu mangsa dilaporkan hilang.


Seperti Charles, Clare juga meragui penjelasan rasmi terhadap pembunuhan itu dan menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan mendalam terhadap kes itu. 
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu mengesahkan, Gani Patail telah ditamatkan kontraknya kerana beliau telah bersedia untuk melakukan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, selepas pihaknya mengesan sejumlah wang RM42 juta milik SRC dimasukkan ke dalam akaun peribadi individu-individu tertentu. 
Bagaimanapun, Najib menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa beliau tidak bersalah.
Sumber: Malay Mail via The Reporter

JUMPA MAJLIS RAJA-RAJA, MENTERI DEDAH SKANDAL 1MDB – SHUKRI

SKANDAL DI KEMENTERIAN PERTAHANAN AKAN DISIASAT SECARA TELITI

SHUKRI ABDULL HAMPIR MATI SIASAT KES SRC INTERNATIONAL

CALON MB SELANGOR: ASALKAN ORANG AZMIN?

PKR MAHU PROSES MELAKSANAKAN MANIFESTO BERJALAN LANCAR

BAHRI KEMBALI KE SPRM ‘CARI DALANG KE LUBANG CACING’

PASUKAN KHAS SIASAT 1MDB

TUN M IKRAR KEMBALIKAN KEGEMILANGAN MALAYSIA

‘Dari musim katak ke musim kotak’


Sejak 11 hari berlalu meninggalkan tarikh bersejarah 9 Mei 2018, negara sedang memasuki fasa ‘Malaysia Baru’ bersama Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sepanjang tempoh singkat ini, pelbagai spekulasi, perubahan dan kejutan berlaku.
“Minggu lalu banyak ‘katak’, minggu ini banyak ‘kotak’!”
Demikian sindir tokoh veteran DAP Lim Kit Siang dipercayai merujuk kepada ‘drama’ melompat parti dan skandal puluhan billion 1MDB yang sedang disiasat polis.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, kejayaan rakyat mencipta sejarah menukar kerajaan secara aman melalui peti undi tidak akan terhenti setakat itu.
“Rakyat selama ini hilang kepercayaan terhadap institusi penting negara dan sudah tiba masanya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat melibatkan pemulihan peringkat Eksekutif, Parlimen dan Perundangan,” katanya dalam kenyataannya
Selain itu, Kit Siang berkata sudah tiba masanya untuk menetapkan semula dasar pembinaan dan hala tuju negara bagi mencapai ‘Impian Malaysia’ yang boleh menjadi contoh kepada dunia.
“Sebagai sebuah negara pelbagai suku bangsa, agama, bahasa dan budaya yang mampu hidup harmoni, bersatu, demokratik, progresif dan makmur yang mana kita meletakkan diri kita sebagai Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah dan kedudukan sosio-ekonomi,” katanya lagi

Najib harus jawab ‘jenayah’ terhadap rakyat – Anwar Ibrahim



Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ekoran pemenjaraannya.
Beliau sebaliknya mengulangi dakwaannya bahawa pemenjaraan ke atasnya dibuat atas alasan politik.
“Saya tidak menyimpan sebarang perasaan benci peribadi, saya tidak mahu isu Anwar dipenjarakan dijadikan isu yang dibuat menentangnya.
“Tetapi isu ketidakadilan terhadap rakyat, jenayah yang dilakukan terhadap rakyat, gejala rasuah yang menjadi budaya di negara ini – dia harus jawab,” katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Segambut hari ini lapor Malaysiakini.
Jelas Anwar, pertuduhan sehingga menyebabkan beliau dipenjara direkayasa untuk membunuh kerjaya politiknya.
Anwar dibebaskan dari penjara setelah menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.





Kewangan negara dicabul, BN tinggal beban hutang RM1 trilion




Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan penyelesaian menyeluruh bagi menyelesaikan beban hutang yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sebanyak RM1 trilion.

Menurutnya, kewangan negara telah dicabul dengan begitu besar sehingga kerajaan berhadapan masalah untuk menyelesaikan jumlah hutang yang naik mendadak yang belum pernah dialami sebelum ini.
“Bagaimana kita hendak menyelesaikan hutang ini adalah bergantung kepada usaha dan daya fikir kita untuk menghadapi cabaran ini.

“Justeru, kita perlu ada kerjasama antara pihak yang menjadi kerajaan menerusi wakil rakyat yang dipilih dan anggota pentadbiran kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan amanat di warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Keadaan buruk ini ujarnya tidak pernah berlaku sewaktu pentadbirannya dahulu dengan hanya RM300 bilion berbanding saat ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemisahan tiga institusi utama iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman adalah penting bagi mengelakkan penyelewengan.