PEMIMPIN HARUS AMANAH



KUALA SELANGOR 11 MAC : Pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat seharusnya menjalankan tanggungjawab mentadbir dan mengurus dengan cekap dan amanah serta perlu dibuktikan di atas kertas, bukan retorik semata-mata, demikian ujar Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amanat itu disampaikan beliau dalam Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ketua-ketua Kampung Tradisi yang diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor tengah hari tadi yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tanggungjawab bukanlah keistimewaan, sebaliknya ia adalah suatu amanah yang harus dijaga.

“Ini tidak, setengah pimpinan itu diberi amanah, ambil saham masuk poket, diberi projek pun masuk poket, diberi amanah lagi lembu diberi kepada suami, ” sindir Anwar sambil disambut sorakan oleh hadirin.

Justeru, Anwar berkata sikap yang telus dan amanah harus menjadi identiti ketua-ketua kampung yang disifatkan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan fizikal dan insaniah masyarakat setempat.

“Mudah-mudahan kita dapat gunakan jawatan kita sebagai ketua kampung kerana kita mempunyai tanggungjawab yang besar yang menjadi sandaran rakyat hampir dalam segala hal dari kecil sampai besar.

“Jadi jika ketua kampung dapat menyelami hati nurani rakyat dan dapat menyampaikan mesej pimpinan negeri dengan baik, maka selamatlah kampung itu,” pesan Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor.

Anwar juga sempat menyatakan pujian dan rasa bangganya dengan kejayaan dan perubahan yang dikecapi Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya menyokong penuh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pertamanya kerana personal Integriti beliau. Maknanya, saya tidak runsing langsung sifat amanah beliau.

“Yang kedua kerana sifat prihatinnya terhadap rakyat bawahan termiskin walaupun beliau hidup senang sebagai seorang tokoh korporat,” puji Anwar.

Shahrizat Letak Jawatan April ini

SHAH ALAM, 11 MAC : Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan meletakkan jawatannya sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan April depan.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Keputusan itu diumumkan oleh beliau dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

Skandal NFC dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu turut mengaitkan dirinya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan kedudukan Shahrizat pada waktu yang sesuai ekoran pelbagai khabar angin mengatakan Senator itu akan meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Shahrizat kelihatan berbincang dengan Najib beberapa ketika sebelum perdana menteri memberitahu perkara itu akan diumumkan tanpa mahu mengulas lanjut soal berkenaan.

Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar “jangan sayang kepada jawatan.”

Sementara itu semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memfailkan saman balas terhadap Shahrizat.

Tujuan saman balas tersebut menurut Zuraidah dan Rafizi berikutan khuatir pihak plaintif mungkin mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan perbicaraan atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Pada 19 Januari lalu Ketua Wanita Umno tersebut bertindak menyaman Zuraidah dan Rafizi kerana mengkaitkan beliau terlibat dengan skandal penyelewengan NFC.

GELAGAT MENTERI BESAR PAHANG

NST lapor Shahrizat akan letak jawatan

March 11, 2012


KUALA LUMPUR, 11 Mac — Akhbar harian berbahasa Inggeris, The New Straits Times hari ini melaporkan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan meletak jawatan untuk setiap jawatan yang dipegang beliau dalam beberapa hari lagi.

Akhbar berkenaan berkata, menurut satu sumber, Shahrizat telah memaklumkan pegawai terdekatnya Jumaat lalu bahawa beliau akan melepaskan jawatan menteri dan juga Ketua Wanita Umno.

"Shahrizat (gambar) telah memberitahu kami beliau ingin melepaskan kedua-dua jawatan. Beliau tidak setuju dengan cadangan beliau letak jawatan sebagai menteri tetapi kekal sebagai Ketua Wanita Umno sehingga pilihan raya depan.

"Beliau telah buat keputusan untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut," jelas Ketua Wanita Umno negeri.

Seorang lagi pemimpin kanan Wanita memberitahu akhbar berkenaan bahawa seorang pembantu Shahrizat telah memaklumkan beliau akan meletak jawatan semalam.

"Namun perkara itu tidak berlaku. Kami masih lagi berteka teki kerana pegawainya yakin pengumuman akan dibuat semalam. Mungkin beliau menantikan masa yang sesuaI," kata sumber tersebut.

The Malaysian Insider turut difahamkan Shahrizat akan membuat pengumuman rasmi malam tadi, tetapi beliau masih lagi belum berbuat sedemikian.

The New Straits Times turut melaporkan berdasarkan sumber peringkat tertinggi bahawa mereka yakin Shahrizat tidak akan bertanding untuk pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata pengumuman terhadap perletakan jawatan Shahrizat akan dibuat kemudian.

"Terdapat banyak sangat khabar angin. Tapi kita akan membuat pengumuman dalam keadaan yang lebih teratur," kata Presiden Umno itu di Johor.

Spekulasi nasib Shahrizat telah menjadi bualan hangat sepanjang minggu ini, dengan berbulan dakwaan bahawa beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan dana awam bernilai RM250 juta untuk projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) bagi kegunaan peribadi.

Skandal NFC menjadi perhatian umum setelah dilaporkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010 projek ternakan lembu di Gemas itu gagal menepati sasaran.

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai ini telah menerima desakan meletak jawatan daripada pembangkang termasuk pemimpin veteran Umno, dengan menegaskan beliau hanyalah isteri kepada Salleh dan tiada kena mengena dengan projek tersebut.

Pihak polis bulan lalu telah mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah, namun beliau meminta agar pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan lebih terperinci berhubung perkara itu.

N9 BAKAL DITAWAN

Injuksi halang Felda Plantation pajak tanah

WALAU TELAH DILAKUKAN DENGAN BERBAGAI USAHA BAGI MENGHALANG PENYENARAIAN,KERAJAAN DILIHAT MASIH LAGI CUBA UNTUK MENDAPATKAN SIMPANAN FELDA YANG BERBILLION ITU, WALAU TERPAKSA MENGGADAI HARTA PENEROKA


Injuksi halang Felda Plantation pajak tanah

Harakahdaily, 11 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan injuksi bagi menghalang Felda Plantation memajak 360,000 hektar tanah milik peneroka kepada Felda Global Ventures Holding (FGVH) untuk tujuan penyenaraian.


Presidennya, Mazlan Aliman berkata injunksi tersebut akan difailkan secepat mungkin selepas pihak peguam selesai menyiapkan dokumen.


Menurut Mazlan lagi, pemberian tanah kepada FGVH merupakan satu kesalahan mengikut akta GSA 1960.


Akta GSA 1960 memperuntukkan tanah diberikan kepada orang persorangan atau felda dan bukan kepada syarikat termasuk Felda plantation.


"Kami bersama peguam akan memohon kepada mahkamah untuk membatalkan pemberian tanah itu dan memohon agar tanah itu dapat diberi kembali kepada rakyat.


"Walau apa pun, perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan injunksi juga akan dilakukan dalam waktu terdekat," katanya


Saman 3 MB


Sementara itu Mazlan berkata, pihaknya juga akan memfailkan saman tiga bekas menteri besar iaitu bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.


Ini kerana menurut Mazlan, ketiga-tiga mereka gagal menunaikan janji mereka memastikan pampasan diberi kepada peneroka Felda yang menyerahkan tanah untuk tujuan pembangunan.


Peneroka terlibat adalah peneroka dari Felda Cahaya Baru, Johor, Sungai Buaya (Selangor), Labu Johnson dan Sendayan (Negeri Sembilan).


Hingga kini dakwa Mazlan, peneroka di keempat kawasan yang terlibat hilang punca pencarian dan ada dikalangan mereka kini 'merempat'.

Mungkin masyarakat tak tahu apa jadi kepada peneroka ini. Mereka ini hampir 100 peratus Melayu.


"Jadi kami telah bersetuju lantik panel guaman untuk kemukakan saman menuntut gantirugi atas kerugian peneroka Felda," katanya.


Mazlan berkata, apa yang dipersoalkan bagaimana kerajaan negeri termasuk menteri besar dan exco meluluskan projek pembangunan kepada kontraktor.


Sedangkan, katanya tanah tersebut adalah aset peneroka dan manyalahi akta GSA sekiranya dimajukan.


"Apa yang kita nak persoalkan ialah kenapa exco dan menteri besar meluluskan projek ini? Mereka semua ini telah mungkir janji," katanya.

Selepas 4 tahun, tsunami boleh landa Pakatan

Empat tahun sudah berlalu apabila buat pertama kalinya tsunami politik melanda negara. Pada 8 Mac 2008, rakyat semenanjung Malaysia membuat kejutan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12.

Perdana menteri (PM) pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya tergamam tidak menyangka seteruk itu keputusan PRU. Kalau tak kerana terlalu mendengarkan menantunya dan budak tingkat empat merengek, sudah tentu Pak Lah masih PM Malaysia.

Majoriti dua pertiga BN di parlimen dirampas oleh gabungan PKR, PAS dan DAP - kini bergelar Pakatan Rakyat.

Negeri terkaya di Asia Tenggara, Selangor Darul Ehsan jatuh ke tangan PR. Perak, Kedah dan Pulau Pinang bertukar kepimpinan negeri.

Kelantan kekal di bawah pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat walaupun menantu Abdullah Badawi, Khairy Jamaluddin ghairah dengan kempen "pade doh" yang kononnya mampu merampas Kelantan.

Tidak hairanlah mengapa sehingga hari ini Khairy Jamaluddin terus dibenci oleh sebahagian besar ahli-ahli Umno termasuklah mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tsunami politik menyebabkan jangka hayat Abdullah Badawi lebih pendek daripada sepatutnya. Ianya menjadi mimpi ngeri kepada Umno dan BN. Tsunami tidak mungkin akan dilupakan. Jika tidak kerana Sabah dan Sarawak, hari ini BN sudah tentu tidak lagi berkuasa.

Selepas 8 Mac

Tsunami dan "aftershock" demi "aftershock" yang berlaku selepas PRU ke-12 menyebabkan BN tidak senang duduk. Tamparan hebat diberikan apabila PR menang dalam banyak pilihan raya kecil (PRK).

Sebelum 8 Mac 2008, boleh dikatakan BN menang hampir kesemua PRK. Ini adalah kerana seluruh jentera kerajaan dapat bertumpu di sesuatu kawasan PRK dan ini memberikan kelebihan kepada BN.

Apatah lagi media arus perdana memihak kepada BN. BN kini sedar, rakyat mahukan perubahan. Sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kuasa, gagasan 1Malaysia dicanangkan.

Program transformasi ekonomi, politik dan sosial diperkenalkan. Ini adalah kerana Najib sedar, rakyat Malaysia sudah menjadi semakin bijak serta mahukan perubahan.

Selepas Tsunami, kerajaan tidak lagi boleh berbuat sesuka hati. Lihatlah bagaimana skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) terpaksa dibatalkan oleh kerana terdapat bantahan ramai.

Dalam erti kata lain, suara rakyat menjadi semakin kuat apabila parti yang memerintah itu tidak mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen. Apabila negara mempunyai pembangkang yang kuat, kebajikan rakyat semakin terjamin.

Dahulu di zaman BN menguasai majoriti dua pertiga di parlimen, kerajaan yang memerintah boleh berbuat sesuka hati sepertimana Pak Lah menaikkan harga minyak sebanyak 70 sen dalam satu-satu masa.

Janji tidak ditunaikan

Tsunami politik tidaklah bermakna rakyat membiarkan Pakatan berbuat sesuka hati. Selain dari dipantau oleh Umno-BN, Pakatan juga dipantau oleh pengundi-pengundi mereka.

Jika ada wakil rakyat tidak berkhidmat dengan baik, jangan haraplah akan terus mendapat sokongan orang ramai. Jika Pakatan berkeras untuk meletakkan calon seperti ini, mereka juga akan berhadapan dengan risiko kalah dalam pilihan raya.

Rakyat Malaysia bernasib baik oleh kerana tsunami 8 Mac memberikan mereka peluang untuk melihat bagaimana Pakatan mentadbir negeri-negeri yang mereka kuasai seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Kita dapat menyaksikan bagaimana menteri besar bagi negeri Kedah bermati-matian mempertahankan kolej di bawah kekuasaannya menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terhadap lima orang mahasiswa.

Selain itu, rakyat Malaysia juga menyaksikan bagaimana janji-janji untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan tidak ditunaikan. Orang-orang yang kononnya mahukan pilihan raya dilaksanakan kini lebih berusaha keras untuk mencari alasan agar tidak perlu melaksanakannya.

Maklumlah, sistem yang sedia ada lebih "enak" dan memberikan hasil yang lumayan.

Tidak dinafikan juga ada dasar-dasar yang baik dilaksanakan. Akan tetapi pemantauan yang kuat terhadap negeri-negeri Pakatan perlu diperhebatkan oleh rakyat agar perubahan yang dijanjikan dapat berlaku.

Jangan dilihat gelojoh

Tidak lama lagi, gendang pilihan raya akan dibunyikan. BN mahu terus berkuasa dan Pakatan mahu merampas kuasa. BN kita sudah boleh baca wataknya oleh kerana telah terlalu lama memerintah.

Akan tetapi cabaran kini terletak kepada bahu Pakatan kerana mereka mahu menjadi alternatif kepada BN. Dalam PRU ke-13 ini, jika benar-benar ingin menguasai Malaysia, Pakatan harus menunjukkan imej sebuah gabungan parti politik yang benar-benar mampu untuk memimpin Malaysia.

Amalan bertanding di kerusi DUN dan Parlimen sekali gus bagi seorang calon sudah sampai masanya dimansuhkan. Amalan ini sesuai bagi parti politik baru atau calon yang tidak mempunyai keyakinan untuk menang di sesuatu kerusi.

Ini adalah taktik "play safe" untuk memastikan seseorang pemimpin itu menang sekurang-kurangnya di salah satu kerusi yang dipertandingkan.

Pada 8 Mac 2008, rakyat masih boleh faham jika Lim Guan eng bertanding di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen sekaligus. Ini kerana, Lim Guan Eng sendiri tidak begitu yakin untuk menang.

Jika dalam PRU ke-13 ini Pakatan masih lagi meneruskan amalan ini, calon yang bertanding kedua-dua kawasan DUN dan Parlimen ini akan dilihat gelojoh.

Orang-orang lain yang berpotensi juga tidak akan mendapat peluang untuk ditonjolkan sebagai pemimpin. Tsunami seharusnya memberikan pengajaran kepada semua pihak baik BN mahu pun PR.

Jika khianat rakyat, Tsunami yang melanda BN tidak mustahil akan berbalik kepada Pakatan. Yang pasti, rakyat bukan lagi bodoh dan mudah untuk diperkotak-katikkan.


Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Beliau Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Anak Najib Tunang, Rakyat Bayar







PETALING JAYA 9 MAC : PKR hari ini mendakwa majlis pertunangan anak perempuan Datuk Seri Najib Abdul Razak di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur yang bernilai hampir setengah juta ringgit dibiayai duit rakyat.

Bagi membuktikan dakwaannya itu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendedahkan dokumen tempahan majlis bankuet di Hotel Shangri La yang bernilai RM409,767 yang bertarikh 17 Jun tahun lepas.

Menurut butiran pada dokumen tempahan majlis itu, akaun pembayar bil dan nama majlis dicatit sebagai “Pejabat Perdana Menteri”.

“Hari ini kita mengemukakan bukti kukuh bahawa majlis tersebut sebenarnya dibiayai oleh rakyat Malaysia apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayarannya dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.

“Booking Contact adalah Setiausaha Sulit Peribadi PM, Datuk Mohd Po’ad Jelani,” jelas Rafizi yang turut menjelaskan PKR terlebih dahulu melakukan semakan terhadap butiran dan individu yang terlibat dalam dokumen berkenaan untuk memastikan ianya boleh dipercayai.

Rafizi turut mengkritik tindakan Najib yang akhir-akhir cuba menonjolkan sikap kesederhanaan untuk memenangi hati rakyat menerusi program Menu 1 Malaysia tetapi pada masa yang sama, membelanjakan sejumlah wang yang begitu besar untuk satu majlis pertunangan.

“Bagaimanapun itu adalah hak peribadi mereka untuk mempunyai citarasa yang tinggi tetapi adalah memualkan apabila wang rakyat digunakan untuk memenuhi nafsu dan citarasa mereka,” ujar Rafizi sambil mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat segala penyelewengan yang didedahkan.

Sehubungan itu, Rafizi mohon Najib tampil memberi penjelasan dan sertakan bukti untuk menafikan segala dakwaan yang dikemukakan PKR hari ini.

Mengikut salinan dokumen berkenaan, tempahan itu menunjukkan secara terperinci setiap tempahan jamuan dengan kos jamuan VIP mencecah RM18,792 untuk 36 orang.

Sejumlah RM309,975 pula diperuntukkan untuk kos jamuan seramai 862 tetamu selain kos pengendalian sebanyak RM81,000.

Rafizi dan Zuraida Fail Saman Balas Terhadap Shahrizat

PETALING JAYA 9 MAC : Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin hari ini memfailkan pembelaan berhubung saman RM100 juta yang dikemukakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap mereka.

Saman Shahrizat, yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita dan Komuniti menerusi Muhammad Shafee dan Co difailkan terhadap Rafizi dan Zuraida pada 19 Januari lalu berhubung dakwaan beliau terbabit dalam skandal Projek Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Pendirian saya dan YB Zuraida sememangnya konsisten daripada awal lagi dan kita memang menunggu peluang untuk ke mahkamah bagi merungkai sedalam-dalamnya penyelewengan yang berlaku dalam NFC.

“Kerana setakat ini kita tidak dapat maklum balas yang memberansangkan daripada pihak audit mahupun jawapan-jawapan menteri,” ujar Rafizi dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini petang tadi.

Rafizi turut melahirkan kekhuatiran Shahrizat mungkin melengah-lengahkan atau membatalkan saman berkenaan ekoran risiko besar yang bakal timbul jika skandal tersebut dibicarakan di mahkamah nanti.

“Ini kerana beliau tahu jika ia diteruskan, semua pimpinan Barisan Nasional akan terheret ke dalam kes ini.

“Saya juga faham risiko yang dihadapi mereka bilamana kes ini diteruskan maka segala dokumen yang setakat ini dirahsiakan akan terdedah,” jelas Rafizi.

Sehubungan itu, Rafizi bertindak memfailkan saman balas terhadap Shahrizat terutamanya ke atas kata-kata berbaur fitnah yang diucapkannya ketika pembukaan Perhimpunan Agung Wanita Umno pada 30 November 2011 lepas.

“Saman ini bukan soal wang atau peribadi, sebaliknya ia sebagai memberi ruang bagi memastikan kes ini mendapat tarikh perbicaraan di mahkamah.

“Kalau kita defendan dan beliau plantif, beliau berpeluang untuk menangguhkan atau menggugurkan kes.

“Oleh itu, sekarang kita ingin menjadi plantif untuk memastikan kes ini tidak ditangguhkan pihaknya dan dibicarakan di mahkamah,” beritahu Rafizi sambil menambah sekurang-kurangnya kes penyelewengan berkenaan dibawa ke muka pengadilan setelah tidak diambil sebarang tindakan oleh Kerajaan Umno-BN.

Golongan baru mengambilalih corak pemerentahan

Rakyat Malaysia sekarang bukan tidak pandai menukar kerajaan tetapi rakyat Malaysia tidak pandai mengubah tradisi menyokong BN. Selama mana BN memerentah negara banyak bukti telah dikeluarkan oleh pembangkang tentang penyelewengan. Namun rakyat Malaysia masih lagi menyokong kerajaan BN seperti sekarang.

Rakyat Malaysia tidak biasa mengubah tradisi dipegang turun temurun walau dalam keadaan kesukaran. Tradisi in selalunya dipertahan oleh golongan orang veteran. Golongan veteran masih kuat mengikut tradisi nenek moyang dalam peradaban masyarakat.

Amat sukar bagi golongan veteran membuat perubahan kerana pada mereka lebih selesa dengan apa yang ada walau secara tidak sedar ditindas dan ditipu pemerentah. Mereka ini akan pertahankan seperti kata pepatah biar mati anak jangan mati adat. Adat ini adalah apa yang menjadi pegangan mereka selama hayat.

Golongan veteran ini lebih selesa dengan apa mereka ada sekarang walau diberitahu bahawa merena masih ditakuk lama dalam kehidupan mereka di negara ini. Cara hidup begini dipertahankan sehingga akhir hayat. Golongan ini tidak peduli apa dilakukan oleh pemerentah asalkan cara hidup mereka tidak diganggu. Pemerentah amat bertuah selama ini kerana mempunyai rakyat tidak peduli apa kerajaan buat asalkan jangan diganggu corak kehidupan mereka walau diiktiraf mereka ketinggalan mengecapi kemewahan.

Berbeza dengan pemikiran generasi baru sekarang lebih mementingkan keselesaan kehidupan. Hak meereka mengecapi kesenangan dalam negara dipertahanhan. golongan muda ini akan berontak jika hak mereka mengecapi kemewahan negara dinafikan.

Sepertimana berlaku sekarang adalah perubahan corak pemikiran golongan baru. Golongan ini kebanyakannya mempunyai taraf pendidikan tinggi dan moden. malang sekali corak pemerentahan kerajaan sekarang masih lagi melayan rakyat seperti golongan pertama tadi. Kerajaan sekarang masih menganggap golongan baru ini masih berfikiran lama. Tidak kesah dengan corak pemerentahan asalkan tidak mengganggu aktiviti biasa.

Ramai juga anak muda termakan dengan pembentukkan corak hidup tidak ambil kisah dengan pemerentahan negara. Asalkan kegiatan semasa dapat diteruskan, tidak kesah apa kerajaan nak buat. Golongan baru ini digula gulakan dengan hiburan melampau sehingga ketinggalan dalam mengambiltahu apa kerajaan telah lakukan kepada negara dan rakyat. Asalkan dapat berhibur yang lain tidak penting lagi.

Perubahan berlaku kepada golongan kedua ini menyebabkan kerajaan berada dalam kesempitan dan terkejut. Selama ini dianggap rakyat tidak akan ambil peduli dengan pemerentahan kerajaan digegarkan dengan pembongkaran penyelewengan wang rakyat. Gelabah dengan kejutan kebangkitan rakyat memperincikan pengurusan negara, banyak perkara tidak bertamadun berlaku sebagai tindakan balas kepada rakyat mengganggu cara negara ditadbir.

Ramai rakyat menjadi mangsa penipuan demi penipuan walau telah banyak rakyat membongkar penyelewengan namun kerajaan masih lagi tidak dapat menerima kegiatan mereka selama ini telah terbongkar. Perancangan demi perancangan diatur untuk menutup pembongkaran. Semakin banyak wang rakyat digunakan untuk melindungi pentadbir kerajaan yang dedah kesalahan.

Apa yang pasti negara sekarang dalam perubahan pesat menukar corak pemerentahan bersesuaian dengan golongan baru. Nampaknya kerajaan sekarang tidak mampu melayan golongan baru ini dan golongan baru akan memecat kerajaan sekarang bagi menggantikan dengan kerajaan yang lebih memahami kehendak golongan baru.

Kerajaan sekarang dilihat hanya mampu mentadbir golongan lama kehidupan mereka tidak mengambilkira apa kerajaan buat asalkan kehidupan seharian tidak diganggu.

PKR dakwa NFC beli lot kedai di Bangsar

Aku tak tau la duit ni boleh kayakan individu sekeluarga.Kalau lah di bagi pada yang lain,melayu lain lah kalau nak diberi kepada Melayu,banyak sungguh Melayu jadi jutawan.
Atau pun, kalau nak buat projek untuk orang kampung pakat ternak lembu, banyak yang boleh cari makan.Aku ingat semua benda ni target sampai cucu cicit melantak tak habis.



PKR dakwa NFC beli lot kedai di Bangsar

PKR hari ini mendakwa bahawa pengarah National Feedlot Corporation telah menggunakan pinjaman mudah oleh kerajaan sebagai cagaran untuk membeli lapan hartanah komersial di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pengarah strateginya, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi eksekutif NFC, Datuk Mohamad Salleh Ismail telah menggunakan kawalan ke atas dana berkenaan untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli lapan lot kedai berkenaan.

Rafizi yang memetik dokumen bank, sebahagiannya diedarkan kepada wartawan, mendakwa unit kedai KL Eco City itu dibeli dengan nilai cagaran RM9.69 juta.

Rafizi mendakwa pembelian tersebut dibuat dengan menggunakan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan juga oleh individu yang setakat ini masih belum dapat dikenalpasti.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini, Rafizi berkata menganggarkan bahawa nilai pasaran hartanah berkenaan boleh mencecah RM12 juta.

SELCAT: Ambil Iktibar Daripada Kerugian PKPS

SELCAT: Ambil Iktibar Daripada Kerugian PKPS

SHAH ALAM, 7 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menyarankan setiap badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri supaya mengambil iktibar daripada kelemahan pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Agro Industries Sdn Bhd bagi mengelakkan kerugian.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Khim berkata, kerugian yang berlaku dalam perbadanan tersebut bermula pada tahun 2005 sehingga 2006 adalah disebabkan oleh kelemahan pengurusan dan pemasaran ekoran ketiadaan tenaga pakar dan khidmat profesional untuk mengambil alih perniagaan sedia ada apabila membuka anak syarikat lain.

Beliau merujuk kepada kerugian yang dialami tiga anak syarikat PKPS Agro Industries Sdn Bhd iaitu Premium Agro Products Sdn Bhd (PAPSB), Premium Sanitised Products Sdn Bhd (PSPSB) dan Premium Bioherbs.

Selain itu, Teng turut menyifatkan ketidakcekapan pentadbiran ahli lembaga pengarah yang dilantik sebelum ini bagi menguruskan ketiga-tiga anak syarikat berkenaan juga antara faktor utama yang menyumbang kepada kerugian yang berlaku dalam syarikat terbabit.

“Saya berharap badan berkanun dan anak syarikat lain supaya mengambil kes ini sebagai satu iktibar di mana kalau kita tidak dapat memberi fokusk kepada sesuatu perniagaan, maka masalah seperti PKPS Agro ini akan berlaku dan menyebabkan kerugian.

Ia melibatkan kepada kebijaksanaan pengurusan untuk membuat keputusan sebelum membuka sesuatu cabang perniagaan. Apabila kertas cadangan itu dibentangkan di hadapan jemaah menteri, mereka memberi kepercayaan penuh kepada pengurusan,” katanya.

Sesi pendengaran awam SELCAT berhubung isu PKPS Agro Industries Sdn Bhd hari ini diwakili Bekas Pengurus Besarnya, Md Zahary Malek, Pengurus Besar PKPS, Ali Ahmad dan Timbalan Pengurus Besar PKPS (Pembangunan Perniagaan) Aqmal Azam Ahmad.

Difahamkan, PKPS Agro Industries Sdn Bhd memiliki tiga projek di bawah tiga anak syarikatnya dengan nilai projek berjumlah RM90.3 juta secara keseluruhannya, di mana dana tersebut diperolehi daripada Kementerian Kewangan.

Antara projek tersebut adalah projek pemprosesan salad dan jus buah-buahan bernilai RM30.1 juta, projek baja organik bernilai RM10 juta serta projek mengekstrak bahan aktif daripada herba tempatan mengamalkan teknologi nano bernilai RM50.2 juta.

Bagaimanapun, ketiga-tiga projek ini gagal diselenggarakan dan tidak mencapai sasaran PKPS sehingga mengakibatkan perbadanan itu terpaksa menanggung hutang sejumlah RM40.1 juta sehingga kini.

Namun, menurut pengurus besarnya, pihak PKPS akan berusaha mencari rakan perniagaan yang berpotensi untuk membangunkan semula anak syarikat terbabit bagi menjana keuntungan dan mengurangkan bebanan hutang yang terpaksa dibayar.

Sehubungan itu, Teng menyarankan Kementerian Kewangan supaya meneliti semula geran pinjaman yang diberikan kepada mana-mana anak syarikat kerajaan mahupun badan berkanun bagi mengatasi kerugian yang akan ditanggung sekiranya sesuatu projek itu gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Kementerian Kewangan perlu melihat semula geran di mana nampaknya begitu mudah untuk diluluskan tetapi jaminan untuk memperolehi kembali pinjaman tersebut nampaknya begitu sukar.

Kementerian juga tiada kepakaran untuk ambil alih perniagaan sedia ada. Jadi, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama untuk memastikan wang rakyat ini dapat digunakan sebaik-baiknya bagi mengurangkan ketirisan,” tegasnya.

MB: RM2.71b Untuk Umno Selangor Bukti Penyelewengan Dana Rakyat

MB: RM2.71b Untuk Umno Selangor Bukti Penyelewengan Dana Rakyat

SHAH ALAM, 2 MAC: Tindakan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak menyalurkan RM2.71 bilion kepada Umno Selangor membuktikan amalan penyalahgunaan wang rakyat secara berleluasa digunakan untuk kepentingan sempit politik.

Tindakan tersebut juga sekali gus memberi gambaran usaha terdesak Umno untuk menawan Selangor sehingga sanggup membelakangkan kepentingan dana awam yang sebegitu besar.

Demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu wawancara eksklusif bersama TVS pagi tadi.

Menurut beliau wang yang digunakan oleh Umno untuk menawan negeri Selangor merupakan dana pembayar cukai dan mestilah diurus dengan sempurna.

“Ini adalah satu contoh usaha kerajaan pusat ini membelakangkan rakyat. Rakyat bukan hanya BN, bukan hanya Umno.

“Ini kesalahan kerajaan (pusat) kerana duit cukai bukan untuk parti politik.

“Duit kerajaan mesti disalurkan dengan tatacara dan tatakelola yang betul bagi pentadbir negeri dan negara.

“Cara yang dibuat oleh (Datuk Seri) Najib, Umno dan BN ini adalah sesuatu yang salah,” kata beliau dalam wawancara yang diadakan di Pejabat Menteri Besar itu sendiri.

Khalid turut menggesa rakyat negara ini agar menolak BN dalam pilihan raya akan datang ini kerana tidak mampu mengambil tindakan yang tepat.

“Untuk membetulkan ini kita harus ubah kerajaan sebab mereka sudah tak tahu mana yang betul, mana yang salah.

“Jadi, kalau satu kerajaan tak tahu mana yang betul dan mana yang salah, patut ditukar supaya dapat diberi peluang kepada pihak yang dapat menjalankan usaha ini cara yang betul.

Menurutnya lagi rakyat negeri Selangor hari ini semakin matang dan tidak boleh dirasuah dengan peruntukan RM2.71 billion itu.

“Rakyat tidak boleh dirasuahkan dan saya percaya rakyat Selangor sudah lebih matang.

“Mereka akan terima peruntukan yang diberi sebab mereka tahu itu adalah duit cukai, tetapi saya berpendapat dan pasti mereka tidak akan memilih BN dan Umno,” ujar beliau.

Pada 19 Disember lalu, Perdana Menteri Merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan RM2.71 bilion diperuntukkan untuk Selangor.

Susulan dari itu, Abdul Khalid membidas tindakan tersebut kerana memberikan wang rakyat yang sebegitu besar kepada Umno Selangor tanpa melalui kerajaan negeri.

Menurut Khalid wang tersebut perlu dipantau dan diaudit secara berhemah bagi memastikan wang tersebut memenuhi inspirasi pembangunan yang dirancang kerajaan negeri dan keperluan rakyat Selangor.

Bagaimanapun peruntukan tersebut disalurkan melalui saluran parti politik Umno dan BN sekaligus menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan politik.

NGO Anti-Lynas Kutuk Adnan Yaakub

NGO Anti-Lynas Kutuk Adnan Yaakub

SHAH ALAM 7 MAC : Gabungan Hentikan Lynas (SLC) dan Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) hari ini mengeluarkan kenyataan mengutuk cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub untuk membuang sisa radioaktif Lynas di Sungai Lembing.

“Cadangan Menteri Besar itu akan menyebabkan pencemaran di sungai tersebut. Lebih-lebih lagi kawasan terbabit kini merupakan kawasan pelancongan yang semakin berkembang.

“Ribuan pelancong yang sebelum ini berkunjung ke sini pasti akan bertukar lokasi persinggahan kerana kehadiran sisa radioaktif. Bayangkanlah berapa banyak penduduk setempat bakal kehilangan sumber pendapatan,” jelas Pengerusi SMSL, Tan Bun Teet.

Lebih merunsingkan sehingga kini tiada lagi tempat untuk pembuangan sisa radioaktif diumumkan secara rasmi walhal ia merupakan salah satu daripada lima syarat yang dikenakan ke atas Lynas ketika menerima Lesen Kendalian Sementara (TOL).

“Jika lokasi tetap sisa pembuangan ditemui pun, bagaimana dengan 500 tan pemancaran dan 100,000 meter padu sisa gas yang akan dilepaskan ke sungai dan laut kita setiap jam.

“Bagaimana pula dengan nasib penduduk Balok yang tinggal hanya beberapa kilometer daripada loji Lynas? Bagaimana mereka harus hidup jika sumber mereka sudah tercemar,” ujar Pengerusi SLC, Andansura Rabu.

Selain itu, Adnan Yaakub turut mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan terhadap mana-mana ahli politik yang terlibat dalam sebarang Kempen Hentikan Lynas.

“Kami sangat terkejut dan pada masa sama lucu dengan cadangan MB. Australia memperoleh keuntungan RM55 juta hasil pengecualian cukai setiap tahun. Tapi apa yang kita dapat di Pahang ini adalah sisa toksik dan pencemaran semata.

“Datuk Seri Adnan Yaakub tidak sesuai menjadi Menteri Besar Pahang jika beliau meletakkan kepentingan perusahaan asing yang tidak membayar cukai lebih tinggi daripada kesihatan dan kebajikan rakyat negara ini,” kata Bun Teet sambil mendesak rakyat teruskan usaha mendesak kerajaan menghentikan Projek Lynas demi masa depan yang lebih bersih dan selamat.

Sementara itu Lynas semalam memaklumkan sudah mengemukakan akurjanji untuk mengantar sisa radioaktif dari lojinya di Gebeng ke luar negara.

Bukan Islam No 2 dalam PAS?

Bukan Islam No 2 dalam PAS?
Mujahid Yusof Rawa | Mar 05, 2012 11:33:34 am

Kongsi |

Isu ini timbul dalam debat anjuran Sinar Harian di mana PAS telah diwakili oleh Dr.Dzulkefly Ahmad. Topik perdebatan ialah isu Melayu dan bagaimana ia memberi kesan kepada lanskap politik masa depan negara. Sebenarnya isu ini timbul apabila Dr.Dzulkefly Ahmad cuba menjelaskan dinamika parti Islam yang boleh menerima pelbagai bentuk ijtihad semasa selagi ianya dalam lingkungan perkara yang boleh menerima perubahan dalam syariat Islam. Adapun perkara-perkara tertentu seperti akidah, ibadah dan akhlaq ia adalah sesuatu yang kekal dan tetap tidak boleh berubah-ubah.

Menurut hemat Dr.Dzulkefly Ahmad (gambar kiri) isu organisasi adalah perkara yang boleh berubah dan dalam konteks kedudukan non-muslim ianya boleh berlaku. Beliau mengambil contoh Justice Parti dari Ikhwan di Mesir yang melantik Naib Presidennya dari Kristian Koptik. Walaupun menurut Dr.Dzulkefly itu terpulang kepada ketetapan kepimpinan dari segi keperluan, namun kenyataan itu telah dimanupulasikan oleh media seperti biasa untuk menyatakan bahawa PAS sedia menerima non muslim sebagai orang No 2 parti. Bermulalah satu lagi babak sensasi tentang PAS apabila antaranya Mahathir Mohamad menyindir PAS supaya lantik Kit Siang jadi Presiden PAS!

Tentang kedudukan non muslim dalam hiraki PAS memang menarik, ini adalah kerana Parti Islam itu menetapkan keahlian parti mestilah dari kalangan Muslim. Walaupun Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mempunyai keahlian non muslim tetapi ia dikitiraf oleh parti sebagai entiti dan sayap PAS. Cara bagaimana DHPP beroperasi juga ditetapkan dalam undang undang Aturan dan Peraturan DHPP yang diiktiraf oleh PAS. Kewujudan DHPP telah menafsirkan kedudukan non-muslim dalam organisasi parti dan ia adalah satu suasana baru yang belum pernah diterokai oleh PAS selama ini. Walaupun bukan mudah untuk membentuk garisan baru ini dalam PAS tetapi usaha kepimpinan PAS hari ini untuk membuktikan komitmennya kepada perjuangan untuk semua kaum di negara ini dijelmakan dalam ruang-ruang organisasinya.

Tetapi untuk memahami dinamika hubungan non muslim dalam hiraki parti lebih jauh daipada itu adalah sesuatu yang di luar garapan ahli PAS mahupun kepimpinannya. Dzulkefly sebagai Pengarah Pusat Kajian PAS sudah tentu mampu mempertahankan hujahnya namun bagaimana penerimaan pimpinan PAS yang lain. Semasa artikel in ditulis Ketua Pemuda PAS (gambar kanan) sudah pun menulis panjang lebar tentang kebimbangan beliau kepad lontaran Dzulkefly ini, manakala Ketua Dewan Ulamak menolak mentah ide ini dengan menyatakan "over my dead body".

Satu memorandum juga dibuat oleh Dewan Pemuda Wilayah menolak hal ini. Saya difahamkan Dzulkefly menjelaskan dalam kenyataannya bahawa pendapatnya itu diambil dari luar konteks. Jawapan itu agak defensif bagi seorang yang kontraversi dalam PAS itu, saya menjangkakan Dzulkefly akan memetik mode agresif mempertahankan idenya itu. Lagipun beliau memang minat untuk mengheret sesuatu perdebatan itu sampai ke penghujungnya, tapi kali ini beliau menggunakan mode defensif dengan memberikan alasan "di luar konteks".

Apapun isu ini boleh dicerakinkan secara intelektual antara yang menyokong dan yang membangkang. Pada hemat saya bankangan itu lebih kepada realiti politik dan bukan sangat soal feqah. Malah hujahan bahawa Justice Parti tajaan Ikhwan Muslimin itu menerima non muslim sebagai orang No 2 masih boleh diperdebatkan. Ini adalah kerana Ikhwan Muslimin masih kekal sebagai badan induk manakala JP adalah platform politiknya, sedangkan di Malaysia PAS tidak mempunyai dwi identiti. Lainlah kalau organsiasi Ikhwan sebagai induk ada semacam hiraki yang sedemikian maka ia menjadi sesuatu yang menarik. Lagipun konteks Malaysia tentunya berbeza dalam pembahagian politik perkauman yang sebegitu rupa, mempunyai DHPP sendiri adalah satu cabaran besar.

Satu lagi hujah ialah keperluan, apakah keperluannya? Adakah sekadar mahu membuktikan bahawa PAS terbuka, atau sekadar melaksanakan ijtihad politik ataukah ia datang dari keperluan strategik? Buat masa ini tanpa semua keperluan itu, PAS rasa selesa dengan DHPP malah banyak lagi yang diperlukan dalam konteks adaptasi budaya dan memantapkan lagi sayap non muslim itu dalam konteks menghayati ideologi perjuangan Islam PAS. Bagi saya persoalan orang No 2 parti dari kalangan non muslim mempunyai implikasinya tersendiri namun jika benar pun satu hari ia menjadi realisasi atas apa jua alasan sistem perlantikan itu perlu diperjelaskan dan diperincikan. Organisasi politik Islam seperti PAS memerlukan citarasanya tersendiri kerana suasana dan keadaan geopolitik menentukan kaedah manakah yang diperlukan. Gerakan Islam bukan sesuatu yang statik, berpandukan dari cari-gali khazanah fiqh yang cukup fleksibel ketetapan bentuk dan cara strategi dalaman dan luaran memerlukan sifatnya yang organik bagi menyambut keperluan semasa.

Dzulkefly dan isu yang dibawanya mungkin telah menimbulkan kontroversi bagi organisasi PAS, tetapi ada pula yang suka dengan ide ini. Bagi penganalisis luar, ini menandakan PAS telah berjaya memecahkan taboo yang selama ini menjadi tembok penghalang untuk PAS dilihat berinspirasikan citarasa nasional. Sehingga ia diterima sebagai satu realiti, pandangan-pandangan penuh kontraversi ini akan sentiada mencabar mind-set golongan konservatif dalam PAS.

Baca: Pemuda PAS Titiwangsa minta Dzulkefly tarik balik kenyataan dan minta maaf

Baca: Kontroversi "PAS sedia dipimpin bukan Islam": Dr.Dzulkefly menjawab...

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kanan) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Najib: Saya sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa...

Najib: Saya sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa...
Najib Razak | Mar 05, 2012 01:56:11 pm

Kongsi |

Sebagai seorang ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, saya tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai diri saya. Jika saya tidak boleh menerima hakikat ini, maknanya saya telah buat pilihan kerjaya yang salah.

Saya terima dengan adanya. Saya sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa, samada lelaki atau perempuan, yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan saya hargai suasana politik di Malaysia yang meriah.

Walau bagaimanapun, saya rasa ada satu garis di mana perdebatan demokratik berakhir dan digantikan pula dengan penyalahgunaan, penipuan dan penyalahgambaran. Mereka yang serius mengenai masa depan negara kita harus cuba untuk tidak menyeberangi garisan ini.

Teori konspirasi hanya wujud dalam filem-filem Jason Bourne, bukan dalam perdebatan politik yang rasional. Namun, nampaknya ada sesetengah pihak di negara ini yang tidak dapat menahan daya tarikan filem-filem tersebut kerana teori sebegitu membebaskan diri mereka daripada menanggung tanggungjawab atas kegagalan mereka sendiri. Sukar untuk memenangi sesuatu hujah atau gagal mendapatkan sesuatu cara anda? Cara penyelesaian yang lebih mudah adalah untuk mengadu bahawa sistem yang ada ini telah dikongkong daripada bekerja keras untuk mencari hujah yang lebih baik atau mengakui kesilapan diri dengan rendah diri.

Sangat membimbangkan saya apabila melihat terlalu ramai yang mengatakan mereka mahu memimpin Malaysia namun mereka tidak mampu mengawal diri apabila berdepan dengan sesuatu perdebatan. Bagi mereka, tiada batasan dalam menggunakan apa sahaja cerita, tuduhan atau teori yang keterlaluan, tidak kisahlah samada ianya berasas atau tidak, dan berlandaskan fakta atau tidak. Mereka tetap menggunakannya walaupun ianya akan merosakkan reputasi negara di mata antarabangsa dan menganggu kestabilan dalam negara.

Tidak dapat saya tekankan lagi betapa pentingnya kestabilan ini untuk kita semua, tidak kira apa latar belakang dan warisan kita. Kestabilan inilah antara ciri keunikan kita di mata antarabangsa. Namun begitu, walaupun kepelbagaian ini menjadi sumber kekuatan kita, ianya juga mudah bertukar menjadi kelemahan kita sekiranya pemimpin-pemimpin politik kita memilih provokasi daripada tanggungjawab, dan kita pula secara keseluruhannya tidak dapat mengawal diri dan memahami keseimbangan-keseimbangan sensitif di negara kita.

Konsep 1Malaysia yang saya perkenalkan adalah mengenai pemanfaatan kekuatan dalam kepelbagaian kita agar kita, sebagai sebuah negara, dapat menjadi lebih kukuh. 1Malaysia terbina daripada realiti Malaysia hari ini - adanya perbezaan pada warisan dan tradisi, pandangan dan pengalaman agama dan pendidikan - ianya tidak cuba untuk menidakkan kewujudan perbezaan ini.

Namun 1Malaysia juga menyatakan bahawa perbezaan ini bukanlah halangan bagi kita untuk mencapai matlamat bersama, iaitu meningkatkan kemakmuran negara. Ia juga menyatakan bahawa sedang negara kita berkembang maju, sumber dan peluang yang semakin meningkat perlu diagihkan bagi menangani masalah yang dihadapi pada hari ini dan bukan masalah yang dihadapi oleh generasi bapa saya dahulu.

Walaupun begitu, tentunya telah timbul beberapa isu yang telah diperhebohkan oleh pihak-pihak yang menentang 1Malaysia. Saya akan membincangkan isu-isu ini dengan lebih mendalam di blog saya yang seterusnya.

*Najib Razak (gambar kiri) adalah Perdana Menteri Malaysia. Dipetik dari blog beliau dengan tajuk asal, "Kebenaran Mengenai Malaysia".

Kelantan miskin: Ku Li bidas Najib

BALING KASUT PADA HAKIM-MENGAPA?KATANYA HAKIM TAK LEH PIKIR......

PENGERUSI FELDA BANYAK BERBELANJA

BANYAK PULAK YANG TAK LENGKAP.NAK MENANG PUN JANGAN LA KUAT MENIPU

Kerusi Parlimen Hulu Selangor dimenangi oleh PKR pada tahun 2008 dengan hanya majoriti 198 undi tetapi ia berjaya ditawan semula oleh calon BN P Kamalanathan yang mendapat 24,997 undi berbanding saingannya Datuk Zaid Ibrahim yang meraih 23,272 undi.

Teo juga mendakwa peningkatan ketara juga dikesan di kerusi-kerusi marginal atau yang dimenang dengan tipis oleh Pakatan Rakyat.

Contohnya, kata beliau kerusi Hulu Langat yang telah dimenangi oleh PAS dengan majoriti 1,745 undi dan Selayang yang dimenangi oleh PKR dengan majoriti 3,567 undi, masing-masing melihat lonjakan sebanyak 21.7 peratus dan 22 peratus pengundi baru.

"Peningkatan ini adalah dari pengundi baru, bukan dari pengundi yang berpindah alamat. Jumlah mereka adalah jauh lebih ramai daripada pengundi baru yang telah kami daftarkan," katanya.

Dalam bahagian pilihan raya yang diwakili Teo di Parlimen Serdang, terdapat juga peningkatan 21.2 peratus pengundi baru menjadikan jumlah pengundi dari 94,877 kepada 117,979.

Perangkaan yang dipetik itu adalah daripada data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga akhir tahun lalu. Ia juga menunjukkan jumlah pengundi di Selangor meningkat sebanyak 17.5 peratus daripada 1.57 juta kepada 1.84 juta orang.

Menurut Teo, data baru yang dikeluarkan SPR itu juga mempunyai ramai pengundi senarai baru tidak mempunyai alamat yang lengkap.

UMNO DAH MULA NAK PILIHANRAYA


Harakahdaily, 03 Mac 2012

(Ketua Umno Cawangan BTP, Syed Ahmad Firdaus di depan bilik gerakan pilihan raya yang dibukannya)

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Pilihan raya umum ke 13 sudah dekat benar apabila melihat parti yang memerintah mula membuka bilik-bilik gerakan mereka.

Ini mula dapat dilihat di Selangor, negeri yang mahu ditawan semula oleh Barisan Nasional (BN) dan Terengganu, negeri yang cuab dipertahankan BN.

Ada yang berkata, pilihan raya ke 13 akan diadakan secepatnya April ini selepas Parlimen dibubarkan pertengahan bulan ini.


(Markas pilihan raya Umno Peti Undi Kedai Buluh, Marang, Terengganu)

Di Rawang, Umno cawangan Bandar Tasik Puteri mula membuka bilik gerakan mereka di kawasan taman perumahan itu.

Ketua Umno cawangan itu, Syed Ahmad Firdaus ketika ditemui di hadapan bilik gerakan yang sedang dipersiapkannya itu berkata, ia dibuat atas arahan Presiden Umno.

"Datuk Seri Najib kan dah kata kena membuat persiapan untuk pilihan raya umum. Ini yang kami buat ni," kata Syed Ahmad Firdaus ketika ditemui didepan bilik gerakan itu.

Dalam nada berseloroh, Syed Ahmad juga berkata, "Sediakan payung sebelum hujankan."

Di Marang Terengganu, Umno juga kelihatan sudah mempersiapkan markas dan bilik gerakan mereka.

Di kampung Kedai Buluh, Bukit Payong, Umno cawangan di situ sudah membuka markas peti undi mereka di situ.

Amalkan politik Islam bukan injak lawan untuk menang, kata Mufti Selangor

Amalkan politik Islam bukan injak lawan untuk menang, kata Mufti Selangor

March 02, 2012

KUALA LUMPUR, 2 Mac — Menyokong gesaan agar gejala keganasan politik dihentikan, Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid menegaskan insiden itu boleh diatasi sekiranya parti politik ikhlas dalam perjuangan selain berpegang kepada prinsip Islam.

Kelmarin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa semua pihak termasuk parti politik agar menghentikan gejala keganasan politik menambah insiden itu boleh diatasi sekiranya rakyat berpegang kepada prinsip “negara barakah”.

Menurut Presiden ABIM Amidi Abd Manan, prinsip negara barakah mengangkat tinggi prinsip, nilai akhlak, etika dan moral.

Jelas Tamyes, politik jika diamalkan dengan tertib dan teratur segala insiden tidak baik termasuk keganasan politik tidak akan berlaku.

Beliau menambah walaupun ada yang beranggapan politik bukan sesuatu yang sihat namun ia turut diamalkan Islam.

"Gejala keganasan politik tidak sepatutnya berlaku, politik perkara yang baik jika dilakukan dengan tertib dan teratur... Walaupun ada yang beranggapan politik itu kotor tapi politik itu perlu dan ia diamalkan dalam Islam.

"Sebab itu politik perlu dilakukan secara berdisiplin, maknanya istilah keganasan politik adalah penipuan dalam politik seperti rasuah dan sebagainya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tamyes berkata semua parti politik di Malaysia sepatutnya mengamalkan prinsip politik yang sihat selain menjaga kebajikan rakyat.

"Itu (keganasan politik) politik yang tidak sihat, kita perlu politik yang sihat...menuju untuk membangunkan negara dan biarlah politk ini menuju ke kerehdaan dan keberkatan Allah.

"Kita mahukan negara yang baik dan menjaga kebajikan rakyat. Masing-masing bercita-cita untuk kemukakan sesuatu yang terbaik ke arah kebajikan rakyat yang boleh memberikan mereka bahagia, harmoni dan tidak ketegangan," katanya.

Sebaliknya jelas beliau, semakin banyak insiden keganasan politik berlaku sejak kebelakangan ini yang boleh memberikan tanggapan negatif masyarakat luar.

"Politik digalakkan, kalau nak kata semua pandangan orang ini sama susah, dalam sebuah keluarga ibu dengan bapa pun ada berbeza pendapat. Masing-masing berbeza pandangan.

"Kalau politik untuk membangunkan negara ia mesti dilakukan dengan lebih harmoni, bukan menginjak-injak lawan dan akhirnya jadi orang yang dikecam...berpegang kepada prinsip Islam, amalkan politik secara harmoni dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat atau cacian," katanya.

Gangguan dan provokasi kerap berlaku semasa program ceramah diadakan terutamanya dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Terbaru ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diganggu

Lim Guan Eng: Kerugian MAS RM2.52 bilion bukti model bisnes gagal

Lim Guan Eng: Kerugian MAS RM2.52 bilion bukti model bisnes gagal
Lim Guan Eng | Mar 01, 2012

|

Kerugian mengejutkan sebanyak RM2.52 bilion yang dialami oleh syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) untuk tahun 2011 adalah pengingatan jelas bahawa salah urus dan model bisnes yang gagal telah mengakibatkan krisis dalam syarikat penerbangan yang pernah menjadi kebanggaan ramai apabila simpanan tunainya juga sudah hampir kehausan. Sebenarnya, MAS sudah pun mula menjunam sejak pemergian Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Idris Jala pada tahun 2009, apabila keuntungan bersihnya telah merudum dari tahun ke tahun, yakini keuntungan RM490 juta pada tahun 2009 telah diikuti oleh keuntungan RM234 juta pada 2010 dan kemudiannya kerugian sebanyak RM2.52 bilion untuk tahun 2011.

Kerugian yang dialami ini jauh berbeza dengan prestasi beberapa tahun lalu apabila Idris Jala telah dilantik untuk memulihkan MAS sebagai CEO. Beliau dilantik pada tahun 2005 dan telah berjaya mencatatkan keuntungan RM850 juta pada tahun 2007 berbanding dengan kerugian RM1.3 bilion hanya dua tahun sebelum itu. Idris telah memulihkan MAS tetapi semua usahanya sudah sia-sia sekarang. Adakah kita memerlukan Idris Jala untuk kembali menerajui kokpit MAS untuk menyelamatkannya?

Di samping kerugian yang teruk itu, simpanan tunai MAS telah diseparuhkan kepada RM1 bilion pada akhir tahun lepas daripada RM 2.1 bilion pada akhir tahun 2010, sementara aset bersih telah menurun daripada RM3.5 bilion kepada RM1.1 bilion.

Dalam kata lain, MAS sudah tidak lagi terbang dengan bahan api tetapi hanya terbang dengan wasap. Inilah pewarisan "piratisation" atau perompakan yang menyamar sebagai penswastaan dan kemudian pengambil-alihan semula oleh kerajaan secara tidak keruan. Malah tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyelamatkan MAS pada tahun 2001 dengan membayar dua kali ganda harga pasaran tidak dapat membantu. Kerajaan Persekutuan telah membayar RM1.8 bilion ataupun RM8 setiap saham kepada Tajudin Ramli walaupun harga pasaran pada masa itu hanya RM3.68 setiap saham.

MAS tidak boleh menyalahkan keadaan ekonomi global yang kurang sihat kerana Singapore Airlines telah mencatatkan keuntungan untuk tahun lepas. Malah, kita tidak perlu pergi jauh kerana syarikat penerbangan bajet tempatan Air Asia pun telah mengalahkan MAS. Kita hanya perlu melihat permodalan pasaran Air Asia yang bernilai RM10.1bilion, berbanding MAS yang hanya bernilai RM4.8 bilion. Meskipun Air Asia hanya berumur satu dekad dan jauh lebih kecil dari segi operasi, ia bernilai lebih dua kali ganda dalam permodalan pasaran.

Tentunya terdapat masalah apabila syarikat penerbangan bajet yang mengenakan caj yang lebih rendah bolehlebih berjaya dan untung berbanding syarikat penerbangan yang mengenakan cajyang tinggi. Daya maju syarikat penerbangan kebangsaan kita akan terus dipersoalkan melainkan isu-isu fundamental diselesaikan. Adakah ianya satu masalah model bisnes yang gagal atau pengurusan yang gagal, ataupun kedua-duanya?

Adalah jelas bahawa cara untuk mengelakkan aset kebangsaan kita daripada terhempas adalah untuk menggunakan model bisnes baru yang berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus yang telah membawa kejayaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Bukan sahaja kita berjaya meyakinkan dan menarik pelabur dan menjadi destinasi pelaburan pembuatan nombor satu di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2010 dan 2011, Pulau Pinang juga telah mencatatkan lebihan bajet pada setiap tahun sejak 2008 dan telah mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta.

Model bisnes yang sedang digunakan MAS jelas sudah gagal. Sekiranya MAS terus menggunakan kaedah perancangan pusat dan membenarkan campur tangan politik yang membiakkan rasuah dan ketidakcekapan, syarikat penerbangan kebangsaan kita akan ditakdirkan untuk gagal.

Akhirnya, soalan yang ingin ditanya oleh rakyat Malaysia adalah siapakah yang akan bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini? Sudah tentu kerugian RM2.52 bilion oleh syarikat penerbangan kebangsaan kita ini tidak boleh diterima semua, terutamanya apabila sebab utama ia diselamatkan oleh kerajaan adalah untuk menyelamatkannya daripada masalah-masalah salah urus dan model bisnes yang lemah. Kerajaan mestilah mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini dan mengambil tindakan ke atas mereka kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan.

AKU MASIH INGAT AKAN KAMU MAHATHIR

PAS, PKR: Pendedahan surat Dr M kepada PM Israel dedah niat untuk bekerjasama

March 01, 2012

KUALA LUMPUR, 1 Mac — PKR dan PAS hari ini berpendapat, tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menulis tiga surat kepada perdana menteri Israel yang telah didedahkan kepada umum jelas membuktikan sikap kepura-puraan beliau yang dilihat tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel, sedangkan secara senyap mengambil pendekatan berbeza terhadap pemimpin Zionis.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail (gambar), kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara khas bersama The Wall Street Journal (WSJ), beliau menolak untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, sedangkan Dr Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan pemimpin Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara kedua-dua negara.

“Ketika beliau sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai ‘pro-Yahudi’, secara senyap-senyap beliau mengambil pendekatan berbeza dengan pemimpin Zionis.

“Kenyataan Anwar yang diserang oleh media UMNO-BN (Barisan Nasional) dibuat apabila disoal akhbar antarabangsa Wall Street Journal berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin, beliau menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi,” katanya.

“Beliau juga mengungkapkan bahawa jika syarat mewujudkan keamanan di Palestin ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati. Namun Anwar juga menolak hubungan diplomatik dengan Israel di dalam wawancara tersebut.”

Tambahnya, “Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan perdana menteri Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel. Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin”.

Menurut Saifuddin, sikap berkenaan diteruskan dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri najib Razak yang menggunakan APCO sebagai perunding mereka, yang mana antara penasihat APCO merupakan Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.

Sehubungan itu, Saifuddin menegaskan, pendedahan surat-surat Dr Mahathir itu mengesakan kebenaran dakwaan Anwar sebelum ini dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini adalah benar.

“Pendedahan ini telah mengesahkan apa yang dikatakan PKR selama ini. Mahathir dan Najib harus menghentikan kepuraan ini. PKR akan terus menyokong usaha mencapai kedamaian berkekalan di Timur Tengah dan keadilan buat rakyat Palestin,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, menuntut Dr Mahathir membuat penjelasan berhubung pendedahan tersebut supaya rakyat boleh faham, dan berlaku adil terhadap isu Israel negara haram itu.

“Sebelum ini kita menghadapi isu yang menyatakan Anwar mengiktiraf Israel, Tun (Mahathir) pula sudah keluarkan surat dengan jelas berkenaan hubungan Malaysia-Israel, walaupun tiada hubungan diplomatik, jadi PAS beri peluang kepada beliau untuk membuat penjelasan supaya rakyat faham dan boleh menilai berkenaan perkara ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini juga menuntut penjelasan Dr Mahathir yang berselindung di sebalik menuntut keamanan di Timur Tengah, sedangkan pada 1997, beliau telah menjemput pasukan kriket Israel ke Malaysia, yang mana Salahuddin telah dipenjarakan di Penjara Kajang kerana membantah kehadiran mereka.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, pula membuat pendirian berbeza apabila mengatakan Dr Mahathir tidak perlu membuat sebarang penjelasan kerana beliau akan melakukan lebih banyak penyelewengan fakta apabila penjelasan dibuat.

Sebaliknya, beliau menegaskan, surat-surat berkenaan dengan jelas telah menzahirkan keinginan Dr Mahathir untuk mengadakan hubungan dagang dengan Israel secara tidak rasmi.

“Surat ini tidak mengejutkan saya,” katanya. “Jelas sudah terbukti Dr Mahathir sudah menzahirkan komitmen secara terbuka untuk mengadakan hubungan diplomatik dan dagangan apabila mengeluarkan surat-surat berkenaan.

“Tun menjanjikan akan mengadakan hubungan dengan Israel sekiranya mereka memberikan kebebasan kepada Palestin, jadi beliau seharusnya menjadi orang terakhir yang memberikan maklum balas terhadap kenyataan Anwar dalam WSJ,” tegasnya yang melihat tindakan mengutus surat itu satu langkah yang “proaktif” diambil Dr Mahathir untuk menjalin hubungan dengan Israel.