Bukan Islam No 2 dalam PAS?

Bukan Islam No 2 dalam PAS?
Mujahid Yusof Rawa | Mar 05, 2012 11:33:34 am

Kongsi |

Isu ini timbul dalam debat anjuran Sinar Harian di mana PAS telah diwakili oleh Dr.Dzulkefly Ahmad. Topik perdebatan ialah isu Melayu dan bagaimana ia memberi kesan kepada lanskap politik masa depan negara. Sebenarnya isu ini timbul apabila Dr.Dzulkefly Ahmad cuba menjelaskan dinamika parti Islam yang boleh menerima pelbagai bentuk ijtihad semasa selagi ianya dalam lingkungan perkara yang boleh menerima perubahan dalam syariat Islam. Adapun perkara-perkara tertentu seperti akidah, ibadah dan akhlaq ia adalah sesuatu yang kekal dan tetap tidak boleh berubah-ubah.

Menurut hemat Dr.Dzulkefly Ahmad (gambar kiri) isu organisasi adalah perkara yang boleh berubah dan dalam konteks kedudukan non-muslim ianya boleh berlaku. Beliau mengambil contoh Justice Parti dari Ikhwan di Mesir yang melantik Naib Presidennya dari Kristian Koptik. Walaupun menurut Dr.Dzulkefly itu terpulang kepada ketetapan kepimpinan dari segi keperluan, namun kenyataan itu telah dimanupulasikan oleh media seperti biasa untuk menyatakan bahawa PAS sedia menerima non muslim sebagai orang No 2 parti. Bermulalah satu lagi babak sensasi tentang PAS apabila antaranya Mahathir Mohamad menyindir PAS supaya lantik Kit Siang jadi Presiden PAS!

Tentang kedudukan non muslim dalam hiraki PAS memang menarik, ini adalah kerana Parti Islam itu menetapkan keahlian parti mestilah dari kalangan Muslim. Walaupun Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mempunyai keahlian non muslim tetapi ia dikitiraf oleh parti sebagai entiti dan sayap PAS. Cara bagaimana DHPP beroperasi juga ditetapkan dalam undang undang Aturan dan Peraturan DHPP yang diiktiraf oleh PAS. Kewujudan DHPP telah menafsirkan kedudukan non-muslim dalam organisasi parti dan ia adalah satu suasana baru yang belum pernah diterokai oleh PAS selama ini. Walaupun bukan mudah untuk membentuk garisan baru ini dalam PAS tetapi usaha kepimpinan PAS hari ini untuk membuktikan komitmennya kepada perjuangan untuk semua kaum di negara ini dijelmakan dalam ruang-ruang organisasinya.

Tetapi untuk memahami dinamika hubungan non muslim dalam hiraki parti lebih jauh daipada itu adalah sesuatu yang di luar garapan ahli PAS mahupun kepimpinannya. Dzulkefly sebagai Pengarah Pusat Kajian PAS sudah tentu mampu mempertahankan hujahnya namun bagaimana penerimaan pimpinan PAS yang lain. Semasa artikel in ditulis Ketua Pemuda PAS (gambar kanan) sudah pun menulis panjang lebar tentang kebimbangan beliau kepad lontaran Dzulkefly ini, manakala Ketua Dewan Ulamak menolak mentah ide ini dengan menyatakan "over my dead body".

Satu memorandum juga dibuat oleh Dewan Pemuda Wilayah menolak hal ini. Saya difahamkan Dzulkefly menjelaskan dalam kenyataannya bahawa pendapatnya itu diambil dari luar konteks. Jawapan itu agak defensif bagi seorang yang kontraversi dalam PAS itu, saya menjangkakan Dzulkefly akan memetik mode agresif mempertahankan idenya itu. Lagipun beliau memang minat untuk mengheret sesuatu perdebatan itu sampai ke penghujungnya, tapi kali ini beliau menggunakan mode defensif dengan memberikan alasan "di luar konteks".

Apapun isu ini boleh dicerakinkan secara intelektual antara yang menyokong dan yang membangkang. Pada hemat saya bankangan itu lebih kepada realiti politik dan bukan sangat soal feqah. Malah hujahan bahawa Justice Parti tajaan Ikhwan Muslimin itu menerima non muslim sebagai orang No 2 masih boleh diperdebatkan. Ini adalah kerana Ikhwan Muslimin masih kekal sebagai badan induk manakala JP adalah platform politiknya, sedangkan di Malaysia PAS tidak mempunyai dwi identiti. Lainlah kalau organsiasi Ikhwan sebagai induk ada semacam hiraki yang sedemikian maka ia menjadi sesuatu yang menarik. Lagipun konteks Malaysia tentunya berbeza dalam pembahagian politik perkauman yang sebegitu rupa, mempunyai DHPP sendiri adalah satu cabaran besar.

Satu lagi hujah ialah keperluan, apakah keperluannya? Adakah sekadar mahu membuktikan bahawa PAS terbuka, atau sekadar melaksanakan ijtihad politik ataukah ia datang dari keperluan strategik? Buat masa ini tanpa semua keperluan itu, PAS rasa selesa dengan DHPP malah banyak lagi yang diperlukan dalam konteks adaptasi budaya dan memantapkan lagi sayap non muslim itu dalam konteks menghayati ideologi perjuangan Islam PAS. Bagi saya persoalan orang No 2 parti dari kalangan non muslim mempunyai implikasinya tersendiri namun jika benar pun satu hari ia menjadi realisasi atas apa jua alasan sistem perlantikan itu perlu diperjelaskan dan diperincikan. Organisasi politik Islam seperti PAS memerlukan citarasanya tersendiri kerana suasana dan keadaan geopolitik menentukan kaedah manakah yang diperlukan. Gerakan Islam bukan sesuatu yang statik, berpandukan dari cari-gali khazanah fiqh yang cukup fleksibel ketetapan bentuk dan cara strategi dalaman dan luaran memerlukan sifatnya yang organik bagi menyambut keperluan semasa.

Dzulkefly dan isu yang dibawanya mungkin telah menimbulkan kontroversi bagi organisasi PAS, tetapi ada pula yang suka dengan ide ini. Bagi penganalisis luar, ini menandakan PAS telah berjaya memecahkan taboo yang selama ini menjadi tembok penghalang untuk PAS dilihat berinspirasikan citarasa nasional. Sehingga ia diterima sebagai satu realiti, pandangan-pandangan penuh kontraversi ini akan sentiada mencabar mind-set golongan konservatif dalam PAS.

Baca: Pemuda PAS Titiwangsa minta Dzulkefly tarik balik kenyataan dan minta maaf

Baca: Kontroversi "PAS sedia dipimpin bukan Islam": Dr.Dzulkefly menjawab...

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kanan) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

No comments: