Pemimpin PAS digesa tegur ahli ‘kafirkan’ Umno

 


Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengulas penularan video ahli PAS didakwa ‘mengkafirkan Umno’ sewaktu kempen PRN.


Asyraf Wajdi Dusuki menyeru semua pihak agar tidak memutuskan ukhuwah Islamiyah hanya kerana berbeza pendirian politik. (Gambar Facebook Barisan Nasional)

PETALING JAYA: Kepimpinan PAS digesa mengeluarkan arahan bagi menjernihkan keadaan bahawa sesiapa sahaja mengundi mana-mana parti tidak sesekali akan jatuh kafir, apatah lagi masuk syurga atau neraka.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian mengulas penularan video ahli PAS didakwa “mengkafirkan Umno” sewaktu kempen PRN.

“Saya memohon agar semua dapat membezakan, jangan sesekali menjatuhkan tahap kekafiran seseorang hanya berbeza politik,” katanya di Facebook.

Terdahulu tular di media sosial seorang wanita bertemu pengundi untuk berkempen bagi calon BN, namun kehadirannya tidak disambut baik.

Pengundi itu, yang juga wanita warga emas, memberitahu beliau tidak mahu mengundi Umno kerana “akan kafir sampai kiamat”.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata penularan video itu amat menyedihkan kerana masih ada ahli PAS yang terpengaruh dengan kepimpinan yang dulunya menanam ideologi mengundi Umno akan rosak akidah dan masuk neraka.

“Saudara kita harus bezakan antara Islam dan parti. Islam adalah agama, PAS adalah parti politik, dua perkara berbeza. Tidak menyertai PAS, tidak mengundi PAS, tidak sesekali menjadikan kita kufur.

“Tidak mengundi Umno pun tidak jatuh kufur kerana Islam lebih tinggi daripada parti politik. Jangan sesekali kita putus ukhuwah Islamiyah hanya kerana berbeza politik.

“Saya amat berharap barisan kepimpinan tertinggi PAS agar dapat mengeluarkan arahan dan kenyataan bagi menjernihkan fenomena ini,” jelasnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Hamid menggesa pengguna media sosial menurunkan video tersebut.

“Ahli keluarga makcik ini tidak izin video disebar, ramai yang tidak tahu keadaan makcik ini yang sebenar. Jangan sebar membabi buta,” katanya.



Budaya takfiri Pas perlu dihentikan - Ustaz Rosidi



 Oleh: Abdullah Zaid



Budaya melabelkan orang lain sebagai kafir atau keluar daripada agama Islam (Takfiri) adalah perbuatan melampau dan ekstrem.


Demikian kata, calon DUN Penanti Ustaz Rosidi Hussain apabila diminta mengulas mengenai klip video seorang penyokong Pas yang mendakwa mana-mana orang Islam yang mengundi UMNO terkeluar daripada Islam dan menjadi kafir.


Jelasnya yang berpengalaman luas dalam bidang agama itu, umat Islam seharusnya mengambil contoh dan panduan daripada peristiwa Saidina Ali R.A. dan Muawiyah sebagai pengajaran.


"Jika kita ambil daripada peristiwa perang Jamal dan Siffin, tidak kira sama ada pengikut Muawiyah atau Ali mereka adalah mati syahid (pada pendapat ulama muktabar)


"Jadi begitulah hari ini, tidak boleh mengkafirkan orang lain atas perbezaan parti politik," katanya kepada Suara Keadilan.


Justeru itu, calon DUN Peranti itu menyeru masyarakat memperbanyakkan budaya menuntut ilmu agar mempunyai kefahaman agama yang luas agar tidak menjadi golongan pelampau.


"Saya sebenarnya sedih dan sayang pada masyarakat kita.


"Oleh itu, saya menyeru agar masyarakat terus menuntut ilmu dan mengkaji agar kita dapat keluar daripada kelompok yang melampaui batas ini," katanya.


Semalam, tular satu klip video warga emas wanita dipercayai penyokong Pas mendakwa mereka yang menjadi ahli UMNO menjadi kafir sehingga kiamat.


Wanita yang dipercayai rakyat Kelantan berdasarkan dialog pertuturan itu berkata demikian selepas didekati seorang ahli UMNO yang berkempen dan meminta makcik tersebut mengundi UMNO.


"Tak nak. Kalau kamu dalam UMNO, kamu kafir sampai kiamat. Dalam kitab dah berkata begitu. Kitab besar ada, kitab panjang ada.


"Kalau sokong orang UMNO dalam dasar sekular, assabiah kafir sampai kiamat," kata wanita itu tanpa menyedari Pas telah pun memansuhkan 'UMNO kafir' itu apabila mereka bekerjasama pada 2020 hingga 2022 dalam Kerajaan PN - BN.

PRN P Pinang: PN tiada manifesto tanda tidak bersedia




 Oleh: Abdullah Zaid


Kegagalan Perikatan Nasional Pulau Pinang mengumumkan manifesto selepas 7 hari berkempen disifatkan oleh Calon N10 DUN Seberang Jaya, Datuk Johari Kassim sebagai tiada hala tuju dan tidak bersedia untuk menerajui pentadbiran negeri.


Jelasnya bukan kegagalan itu sahaja yang menjolok mata, malah pergelutan di antara parti komponen khususnya Pas dan Gerakan dilihat menjadi faktor menyukarkan PN menambat hati pengundi.


"Sehingga kini pihak lawan (PN) masih belum membuat manifesto walaupun PH-BN telah melancarkan Manifesto Perpaduan sejak awal Ogos lalu.


"Perkara itu ditambah lagi dengan pertelingkahan sesama sendiri di antara Gerakan dan Pas dalam isu meletakkan calon.

"Saya kira rakyat pada ketika ini sudah tentu tidak akan memberi undi buat mereka terutamanya pengundi Cina," katanya.


Dalam pada itu, Johari berharap agar pengundi di Pulau Mutiara tersebut tidak termakan dakwaan PN yang sering kali mengaitkan Pilihan Raya Negeri ini dengan isu pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan.


"Saya nasihatkan pengundi jangan membazirkan satu undi kepada PN yang kononnya jika mereka menguasai PRN maka kerajaan (Persekutuan) akan bertukar.


"Perkara ini tidak mungkin berlaku kerana PRN ini hanya melibatkan negeri sahaja," ujarnya.


Terdahulu, dalam hal berkaitan, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri, Goh Choon Aik menyifatkan bahawa bertembungan mereka dengan PN seolah-olah bertarung dengan “bayang-bayang sendiri” kerana sukar untuk melihat bendera perikatan tersebut.


Dalam pada itu, pemimpin KEADILAN itu juga yakin bahawa 26 kerusi DUN sudah berada dalam genggaman PH-BN sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.