Tarikh Piraum tidak penting bentuk kerjasama mustahak

 

MSO


APA yang dinanti dan ditunggu-tunggu oleh warga politik kini adalah bilakah (Piraum) pilihan raya ke-15 akan diadakan? Penantian dan persediaan untuk berpilihan raya itu sangat afdal kepada parti-parti politik, khasnya bagi oposisi daripada mengharapkan untuk melihat kerajaan Perikatan Nasional(PN) dijatuhkan dalam parlimen. Harapan itu sudah jadi seperti menanti bulan jatuh ke riba yang tidak akan muncul. 

Bulan jatuh ke ribaan hanya sebuah mitos yang tidak akan pernah menjelma. Ia hanya impian si pungguk biru yang lara kerinduan. Begitulah keadaan dengan harapan untuk melihat kerajaan PN akan tumbang dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hilang akan menjelma kembali. Ia sudah jadi sebuah mitos yang terkambus dalam permainan angka.

Muhyiddin Yassin dan geng si Kitolnya tidak mendiam diri daripada berusaha untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan mengekalkan kerajaan "curitokrasi", (PN) sehingga habis penggal parlimen ke-14. Itu sudah semestinya dilakukan. Dan itulah sebaik-baik tindakan. Muhyiddin tidak akan kompromi dan tidak terjejas dengan sumpah seranah dan caci maki atas perbuatannya. Malahan Muhyiddin terus akan menebalkan mukanya membuat pembedahan plastik untuk menampalkan kulit seladang ke mukanya. 

Saya yakin parlimen tidak akan dibuka meskipun sudah ada pandangan kononnya adil dan bebas daripada Yang diPertuan Agong. Parlimen akan berakhir dengan pembubaran? Bagi saya pandangan Agong berdasarkan kuasanya mengikut Perlembagaan itu hanya sebagai pencerahan, pemanis mulut sahaja. Agong sebagai Raja Berperlembagaan tetap terikat dengan kuasa Eksekutif. 

Benteng mempertahankan diri.

Covid dan pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 telah digunakan sebagai benteng untuk mempertahankan diri dan kerajaannya. Tampaknya Muhyiddin berjaya menggunakan kedua kuasa dan peristiwa itu. Dan Muhyiddin sudah mengutip kedua-dua labanya sekaligus. Dua kuasa dan keadaan (alasan) itulah digunakan oleh Muhyiddin hari ini, sehingga beliau merasakan selamat untuk ke luar negara, ke Saudi. 

Justeru adalah wajar dan tepat pula kalau pembangkang tidak lagi terus bermimpi untuk mengambil alih kerajaan dengan cara membalas dendam merampas kuasa. Walaupun sebahagian rakyat menanti bahkan berdoa, tetapi elok dilupakan sahaja rancangan itu. Tumpulah kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15. Lawan dan jatuhkan PN dalam Piraum. Gelanggang sudah dibuka, tetapi bila?

Tidak ada siapa yang dapat menentu bila parlimen dibubarkan untuk membolehkan Piraum diadakan. Tarikhnya ada dalam genggam Muhyiddin. Beliau diduga akan bertindak sesudah pihak PN bersiap sedia. Masih ada beberapa perkara yang sedang cuba dibereskan. Antara indikator hampirnya Piraum apabila pemimpin Umno dijatuhkan hukuman. Apabila mereka sudah dijatuhi hukuman, saat itulah waktu terbaik untuk Muhyiddin menghadap Agong memohon parlimen dibubarkan. 

Selainnya, setelah mencapai kerjasama dan pembahagian kerusi dalam PN selesai. Ini agak sukar tetapi ia tidak sesulit seperti menanti para pemimpin Umno dihukum atau disumbat ke dalam penjara. Proses untuk menghukum (vonis) pemimpin Umno sedang berjalan lancar. Itu keadaan atau pun isyarat untuk meramalkan pilihan raya. Walaupun Muhyiddin mengatakan sebaik darurat selesai (1 Ogos) saya tidak mempercayai seratus peratus kerana politik itu penuh dengan "ilap", kekhilafan dan penipuan.

Saya meletakkan sekiranya ia diadakan pada tahun ini, waktunya antara bulan Julai hingga September. 

Sementara itu baik bagi oposisi maupun parti memerintah masih ada beberapa hal yang belum selesai dan masih ada ruang untuk memperkemaskannya. Bagaimana PN dengan kedudukannya sebagai kerajaan mempunyai advantage mempunyai peluang lebih 50%. Sebab itu sesetengah pemimpin PH mahukan kerajaan dikembali bagi dijadikan bekalan atau modal menghadapi pilihan raya. Pemeriksa  politik tetap percaya parti memerintah lebih berpeluang untuk menang pilihan raya. 

Kepada oposisi (PH) apabila harapan itu sudah tidak ada, PH tidak boleh mengharapkan kepada kelebihan yang sudah menjadi milik PN itu. Perlu ada ikhtiar dan gerakan lain dilakukan. PH atau pembangkang perlu mempunyai akal yang luas dan strategi berbagai untuk mendapat semula kerajaan yang hilang itu. Perlu bangkit ke hadapan (move forward). Kerajaan PH sudah jadi semacam Haikal Sulaiman yang ghaib tetapi tahu di mana lokasinya.  

Dalam hal ini antara perlu disegerakan merangka kerjasama semantap mungkin sesama oposisi. Pertamanya PH kena padukan dahulu pakatan dengan tiga buah parti, Keadilan, DAP dan Amanah. Jangan ada lagi angan-angan untuk bergantung kepada OT95 (Mahathir Mohamad) dengan parti inkubator, Pejuang. Buanglah sejauh mungkin OT95 dan jangan jadikan dia sebagai tali penyelamat lagi. Biarkan orang tua itu mereput di hujung semak samun dan hanyut ke tanjung. Orang Amanah khasnya harus bersih dari badi OT95 yang melekat kepada diri mereka. 

Ketiga-tiga parti itu perlu mengambil sikap dan semangat seperti semasa dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini bergerak tanpa OT95. Semangat dibina dan dipuput semasa dalam PR dahulu perlu digemburkan. Ketika PR, pembangkang optimis akan menang dalam pilihan raya walaupun OT95 berada di luar, bahkan menjadi lawan. Bukankah PH (oposisi) sudah berjaya sedikit demi sedikit mengurangkan kuasa UBN bermula pada Piraum 1999 diikuti tahun 2008, 2013 kemudian sehingga akhirnya berjaya menumbangkan BN tahun 2018? Oposisi khasnya PH harus berbangga dengan pencapaian itu. 

Piraum 1999 Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada Keadilan, DAP dan Pas memperolehi 40.21% undi dengan meraih 42 kerusi berbanding dengan BN mendapat 56.53% dan mendapat 148 kerusi. Dalam Pirauam 2004 dimana BA tanpa bersama DAP mendapat 24.1% undi dengan mendapat 8 kerusi, sementara DAP mendapat 9.9% undi dengan 12 kerusi. Sementara BN pula mendapat 63,9% undi dengan jumlah kerusi 198.

Dalam Piraum 2009 pembangkang ketika itu Pakatan Rakyat (PR) mendapat 49.4% dengan 82 kerusi sementara BN mendapat 50.5% undi dengan jumlah kerusi 142 kerusi. Ketika ini DAP kembali bersama pembangkang dalam PR. Dalam Piraum 2013 PR mendapat 50.57 peratus undi dengan jumlah kerusi 89 kerusi sementara BN walaupun mendapat peratus undi lebih rendah 47.38 % tetapi menang dengan mendapat sebanyak 140 kerusi. Pilihan raya ini jika peratus undi diambil kira pembangkang (PR) sudah pun boleh membentuk kerajaan.

Piraum 2018 akhirnya BN yang berada dalam pengaruh pasang surut akhirnya tumpas apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya mendapat 45.68% undi dengan meraih 113 kerusi sementara BN mendapat 35.39 % undi dengan memperolehi 79 kerusi. Untuk rekod dalam Piraum itu Pas bertanding bersendirian dengan mendapat 16.82% dengan jumlah kerusi 18. 

Jika dilihat kepada pencapaian pembangkang itu menunjukkan kecemerlangan oposisi meningkat dengan jelas walaupun sebelum penyertaan OT95 bersama saf pembangkang. Kita lupa sebenarnya Piraum 2018 kalau pun tanpa OT95 oposisi (PH) sudah pun berjaya membentuk kerajaan berdasarkan pencapaian oposisi sejak tahun 1999 itu? 

Ramai tersilap hitung, kononnya PH berjaya kerana bantuan OT95, sebenarnya OT95 yang menumpang pengaruh PH untuk mengecapi kemenangan dan menjadi perdana menteri kali kedua. Tanggapan ini perlu diperbetulkan. OT95 hanya berak di atas busut jantan cuma.  

Pendapat mengatakan oposisi tidak akan berjaya tanpa bantuan OT95 adalah karut semata-mata dan lahir dari jiwa mereka yang lemah dan inferiority complex. Pandangan itu wujud kerana mereka sudah disihirkan oleh OT95 untuk menampakan dirinya kuat. Kalau benar OT95 itu kuat, tentu kerajaan PH tidak akan tumbang Februari 2020 lampau sehingga kini semua meroyan. Bukankah kerajaan PH hilang sewaktu beliau jadi perdana menteri? Terimalah pandangan dan berfikir secara logik. OT95 sebatang pohon Jejawi dianggap keramat sudah tidak dapat menakut-nakutkan sesiapa lagi kecuali kanak-kanak dan bocah dan pemuda Becat.

Senario berbeza.

PH harus sedar bahawa senario kini sudah berbeza. Yang menjadi kerajaan kini bukan lagi UBN, Umno Barisan Nasional. Hegemoni Umno yang menggerunkan sudah pun tercabut. Yang ada kini hanya kerajaan PN yang terdiri daripada himpunan puak serpihan yang tidak bermoral dan kering integriti siasah terdiri daripada Bersatu dan Pas. Bersatu ditokok oleh oportunis-oportunis daripada Umno dan Keadilan. Ia disokong oleh 16 oportunis daripada Umno dan 11 daripada Keadilan. PN tidak ada kekuatan dan sokongan fundamental seperti mana BN.

Lantaran itu tidak perlu takut dan gerun dengan PN. PN boleh terburai bila-bila masa sahaja. Ia umpama sebuah bongkah yang bentuknya tidak serata diikat dengan tali yang lembut dan rapuh boleh relai bila-bila masa sahaja.

Kalau pun dalam PN yang boleh dilihat sebagai kuat dan ada pengaruh fundamental hanya Pas sahaja. Itupun terbatas kepada kawasan-kawasan tradisi Melayu yang warganya kebanyakannya mempunyai fikiran kolot dan konservatif agama. Golongan ini sesungguhnya tidak tersedar bahawa pintu Syurga telah lama ditukar dengan pintu Neraka oleh Pas. 

Anggapan bahawa PN mempunyai pengaruh hebat dan besar seperti BN adalah silap. PN dengan BN jauh bezanya. Perhati kepada struktur dan kelebaran organisasi (cawangan) sahaja, Umno memiliki cawangan di seluruh negara kecuali Sarawak. Keahlianya sahaja melebih 3 juta. Bahkan ahli Bersatu sendiri ada duplicated daripada ahli Umno.

Sebenarnya untuk meruntuh dan menafikan kerajaan PN tidak sukar, tidak sesulit sewaktu hendak menumbangkan kerajaan BN dahulu. Ada satu senjata yang dikira membantu. Yang jelas hari ini PN tidak mendapat sokongan Umno. Dengan hanya membentuk kekuatan bersama Pas dan beberapa parti-parti kecil lain, PN tidak ampuh sebagai sebuah koalisi mantap. Sokongan dan dukungan parti-parti di Sabah dan Sarawak pula tidak menjamin kekal setia dengan mereka. 

Umum tahu macam mana perdagangan politik berlaku di Sabah dan di Sarawak sejak lama dahulu. Asas pembentukan kerajaan Malaysia tetap bergantung kepada parti-parti di Semenanjung. Pun begitu ia tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Mana-mana parti atau gabungan menguasai kerusi di Semenanjung (168) ia tetapi menjadi kerajaan.  

Dalam catatan ini saya ingin memberi pencerahan dan mengongsi sedikit idea dengan Umno. Umno tidak boleh dilupuskan begitu saja. Umno adalah darah dan jiwa orang Melayu. Umno akan menjadi pembantu dan aset utama menjaminkan apakah PH atau oposisi berjaya atau tidak menumbangkan kerajaan PN. Walaupun kini Umno tidak kompat dan terpecah kepada tiga puak atau kluster tetapi Umno tetap menjadi kuasa penentu (king maker). 

Umum tahu Umno kini terbahagi kepada tidga puak atau kluster. Saya namakan kluster Umno sejati, (Umno S) Umno yang menjaga perut (Umno P) dan Umno yang sedia diperalatkan (Umno A). Umno S adalah mereka yang mahu mengekalkan kekuasaan dan memartabatkan sejarah perjuangan parti kebangsaan itu. Golongan atau Umno P adalah yang lebih mementingkan diri sendiri. Mereka apa disebut oleh Musa Hitam yang tidak ada prinsip dan idealisme perjuangan. Apa yang mereka utamakan perut mereka buncit.

Sementara yang ketiga yang sedia diperalatkan (Umno A) untuk kepentingan orang lain. Kluster ini paling jahat dan khianat. Jika dipadankan dengan golongan dikategorikan menurut istilah atau hukum agama mereka termasuk dalam golongan munafik. Pun terpecah kepada tiga kumpulan dan kluster, tetapi kluster Umno S masih berpengaruh. Ini terbukti apabila lebih 130 bahagian Umno di seluruh negara bersetuju agar Umno memutuskan hubungan dan menolak Bersatu dalam pilihan raya.  

Apa perlu disedari kumpulan pertama ini tidak mungkin dapat mengembalikan kerajaan UBN dan juga kegemilangannya. Tetapi keperluan kepada kumpulan ini adalah mengambil tanggungjawab menjaga Umno. Di sini tidak ada cara lain untuk menjamin Umno selamat, Umno perlu bantuan oposisi lain. Dalam konteks ini sokongan parti pembangkang asal, Keadilan dan DAP. Inilah energi tambahan atau formula bagaimana untuk Umno kembali ampuh. 

Hendak tidak hendak orang Umno harus rela dan bersedia menerima perubahan demi masa depan partinya. Pemikiran kolot dan jumud Umno selama ini harus disirnakan. Umno perlu bersikap fleksibel dan sedia menerima mana-mana pihak sahaja. Dinamika politik harus dihayati. Apa yang penting bagi Umno mendapat oksigen untuk hidup seribu tahun lagi. Kalau kebetulan balang oksigen itu ada kepada PH maka, terimalah.  

Tali hayat Umno kini bukan lagi Pas seperti dituduh dan diharapkan sebelum ini, tetapi Keadilan dan DAP. Pas sudah menjadi pengancam atau kawan tidak jujur kepada Umno apabila parti itu lebih obesessi kepada Bersatu kerana tergilakan kuasa. Piagam Muafakat Nasional (MN) yang ditanda tangani oleh Umno yang diwakili Annuar Musa selaku Setiausaha Agung ketika itu sudah dikhianati. Yang tumpang khianat adalah Annuar Musa sendiri yang termasuk dalam Umno A. 

Apakah Umno sedia untuk berbuat demikian? Sebenarnya Umno tidak ada pilihan lain kalau mereka mahu mempastikan Umno terus hidup dan releven. Bahkan kerjasama atau huluran tangan Umno kepada oposisi ini perlu disegerakan, sebelum tibanya Piraum atau lebih tepat sebelum bekas presiden dan presidennya dan beberapa yang lain divoniskan atas segala tuduhan yang dikenakan. Umno tidak perlu menghitung dan berfikir panjang.  

Masa depan dan kedudukan Umno sekurang-kurangnya dalam Piraum ke-15 akan selamat hanya kalau mereka sedia bekerjasama dengan pembangkang dan bukan menaruh harapan kepada kawan yang tidak jujur yang dikenali sebagai musuh lamanya itu. Terus terang dikatakan bagi Pas yang bermusuh dengan Umno, parti itu lebih senang kalau Umno tiada atau diharamkan kerana ia boleh mengutip laba daripada tragedi itu. Pas kini sedang menunggu dengan tangguk besar di pergentingan perbalahan Umno. 

Ingat Pas sudah arif dan bijak bermain politik setelah menjadi mangsa dan hamba politik Umno sejak berdekad. Lagi sekali diulang sebutkan Umno tidak boleh lewat membuat keputusan sebab masa terus berjalan. 

 


Isu kalimah Allah retakkan kesepakatan dalam PN?

 



Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam mungkin akan meretak atau memecahkan kesepakatan dalam Perikatan Nasional (PN).



Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Aziz Bari, sikap 'tidak mahu komen' menteri-menteri kanan PN dalam isu berkenaan mungkin akibat sekutu mereka di Malaysia Timur yang mahukan penghakiman tersebut tidak dirayu dan dikekalkan.



Sedangkan, kata Dr Aziz, PN yang mengaku sebagai kerajaan 95% Melayu-Islam mungkin amat keberatan membenarkan hal itu.



"Bagi Sabah dan Sarawak (mereka) mahukan perkara ini dibiarkan begitu sahaja dan tidak dirayu. Ini menimbulkan kegusaran kepada PN



"Nampaknya isu ini boleh jadi satu perkara yang menimbulkan keretakkan. Jadi ini memperlihatkan tiada satu sikap yang jelas dalam kalangan PN. Patutnya walaupun dia datang melalui 'tebuk atap' tetapi perlu ada sikap yang jelas.



"Cuma mungkin rakan dalam PN itu adalah Pas, dan parti itu ada sikap yang mereka ambil sejak dalam PR dahulu



"(Seharusnya) pimpinan pusat harus mengambil berat. Setakat ini pimpinan kanan PN tidak bercakap, yang bercakap hanya menteri dan juga duta bertaraf menteri sahaja," katanya dalam siaran langsung Facebook bertajuk "Kalimah Allah & Hak Kebebasan Agama", malam tadi.



Bagi pakar Undang-undang Perlembagaan itu, tindakan yang diambil kerajaan PN sebelum ini dengan kesediaan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi dianggap tidak memadai, memandangkan mereka adalah Kerajaan Persekutuan yang mampu berbuat lebih banyak.



"Apa yang saya katakan PN semacam kebingungan bila berhadapan kes ini. Sepatutnya ada sesuatu cara untuk menangani isu. Bukan hanya membuat rayuan di mahkamah semata-mata. Sebagai kerajaan dan kalau mereka betul-betul ada majoriti di Parlimen sepatutnya mereka membuat sesuatu.



"Di situ mereka (kelihatan) tidak kompeten menjaga umat Islam," katanya lagi.



Bagaimanapun, Dr Aziz menasihatkan pihak-pihak sayap kanan yang baru-baru ini menuntut Perlembagaan dipinda dan sebagainya agar meneliti perkara tersebut dengan lebih saksama.



Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3 dan Perkara 11 telah dengan jelas menjamin kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi manakala agama bukan Islam tidak boleh disebarkan kepada umat Islam.



Dalam masa sama, penganut Islam perlu menghormati kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan.



Tentang penggunaan kalimah Allah yang mengelirukan penganut Islam, kata Dr Aziz, hal itu perlu dibuktikan secara lebih konkrit.



"Di mana logiknya penggunaan kalimah Allah ini sesuatu yang merbahaya atau mengelirukan umat Islam?



"Pengedaran bahan-bahan seperti kitab Injil dan upacara agama mereka terbatas atau di dalam ruang lingkup tertentu. Bahan bacaan perlu dicetak sebagai contoh 'hanya untuk penganut Kristian' atau tidak boleh diberi kepada orang Islam. Bagaimana boleh berlaku kekeliruan kepada umat Islam?



"Hak kebebasan beragama ini suatu yang dijamin atau tidak boleh dikacau dalam Perlembagaan kita, hata dalam suasana darurat atau dalam undang-undang seperti Keselamatan Dalam Negeri sebagai contoh," katanya.



Sehubungan itu, Dr Aziz menasihat pihak yang dalam 'mentaliti terkepung' agar memahami keadaan masyarakat majmuk dan realiti umat Islam yang merupakan golongan majoriti melebihi 60% di Malaysia.



Dalam keadaan itu dan agama lain tidak boleh disebarkan melalui media massa, katanya umat Islam tidak wajar terlalu takut dengan persekitarannya.



Untuk rekod, Mahkamah Tinggi pada 10 Mac lalu membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.



Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.



Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku yang diterbitkan.

 

Lebih baik Ismail Sabri bincang bersama Presiden Umno daripada menyerang Anwar

 



Serangan tanpa asas yang dibuat oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke atas Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh merugikan Umno dalam 'percaturan' politik jangka panjang parti itu.



Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandal Mohd Akin berkata, selaku pemimpin peringkat ketiga tertinggi dalam ranking Umno, Ismail seharusnya tidak mengambil pendirian menyerang atau mempersalahkan Datuk Seri Anwar kononnya cuba memecah belahkan parti Melayu itu dengan 'ungkapan' telah mengadakan rundingan bersama pemimpin tertentu Umno.



"Persoalan saya, kenapa Datuk Seri Ismail perlu mempersalahkan Datuk Seri Anwar? Umno punyai ketuanya dan sewajarnya dalam prinsip organisasi, beliau sebagai Naib Presiden berbincang dengan Presiden beliau dan bukannya meletakkan kesalahan kepada Datuk Seri Anwar.



"Kedua, saya percaya dan yakin bahawa Umno akan lebih kukuh dan bersatu jika tiada pengkhianat, dan tiada pengkhianatan yang dibuai dengan jawatan ekoran kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (BN).



"Umno juga telah dilemahkan oleh pengkhianat yang bukan sahaja bermaharajalela dalam parti itu tetapi juga parti-parti lain – termasuklah KEADILAN.



"Ahli-ahli Parlimen dipaksa menghentikan sokongan terhadap parti mereka melalui ugutan dan keluar menjadi Ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan. Segala yang berlaku ini hanya demi kepentingan Bersatu dan Perdana Menteri," kata Shamsul dalam satu kenyataan, hari ini.



Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, KEADILAN menghargai kebijaksanaan sebahagian besar pemimpin Umno dan kesediaan pimpinan parti itu untuk berunding demi memperbaiki hala tuju politik Malaysia.



Katanya, ramai dari kalangan ahli Umno yang menyedari bahawa parti tersebut ketika ini dibayangi oleh masa lampau yang dilemahkan oleh korupsi, pertembungan dalaman dan ketamakan individu terhadap kuasa.



Oleh itu, ujarnya, tiba masa Umno bergerak ke arah yang lebih relevan dengan perkembangan politik semasa.



"Daripada mencuba menyalahkan Datuk Seri Anwar untuk segala masalah Umno, Datuk Seri Ismail sepatutnya mengakui bahawa sebahagian ahli Umno sedar satu-satunya jalan untuk terus bertahan dan kekal relevan adalah dengan mewujudkan kerjasama dengan parti lain atas dasar nilai yang dikongsi bersama.



"Apakah nilai-nilai tersebut? Nilai tersebut adalah yang selaras dengan aspirasi rakyat didasari perpaduan, demokrasi, kemakmuran bersama dan mewujudkan kerajaan yang menyebarluaskan integriti serta menegakkan tadbir urus yang baik.



"Apa pun ahli Umno kini menyedari bahawa kerjasama parti bersama Bersatu hanyalah didasari oleh keinginan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin untuk kekal berkuasa, atas apa cara sekalipun," katanya lagi.



Sehubungan itu, Shamsul menasihatkan Ismail Sabri agar mengadakan musyawarah krisis bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti



Katanya, Ismail perlu membincangkan agenda bagaimana untuk melawan ketidakrelevanan Umno yang didalangi Bersatu dan Muhyiddin supaya tidak ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 15 kelak.



ADAKAH SURAT ANNUAR MUSA KEPADA ZAHID HAMIDI INI BUKTI WUJUDNYA GERAKAN MENGUBAH KEPUTUSAN MT UMNO?

 

UMNO Bahagian Ketereh, Kelantan yang dipimpin oleh Annuar Musa dilaporkan telah menghantar surat kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan empat pendirian bahagian berkenaan berkaitan politik semasa dan hubungan dengan kerajaan PN yang diterajui Bersatu.

Ketetapan pendirian yang turut ditandatangani 30 AJK UMNO Bahagian itu dihantar kepada Presiden UMNO pada 19 Mac lalu.

Pendirian yang dimaklumkan untuk perhatian Ahmad Zahid itu ialah:-

1. Tetap menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional – Barisan Nasional – GPS (Sarawak) – GRS (Sabah).

2. Mengesyorkan supaya BN dan PN segera memulakan rundingan kerusi serta berusaha membentuk gabungan terkuat menentang PH dalam PRU15.

3. Memohon YAB Perdana Menteri segera melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari kalangan pemimpin BN serta merta.

4. Terus fokus dan memberi keutamaan kepada agenda kestabilan politik, memerangi Covid19, membela rakyat serta memulihkan ekonomi negara.

Meneliti surat bekas Setiausaha Agung BN itu di ketika UMNO sudah menetapkan keputusan putus hubungan dengan Bersatu dan berada dalam kerajaan PN hanya sehingga Parlimen dibubarkan serta menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 27 dan 28 Mac ini bagi memuktamadkan ketetapan tersebut, menimbulkan beberapa persoalan tentu saja tidak dapat dielakkan.

Berikutan UMNO sudah ada ketetapan yang jelas tentang hubungannya dengan Bersatu dan PN iaitu hanya sehingga Parlimen dibubarkan, untuk apa lagi sebenarnya UMNO Ketereh membuat pendirian yang berbeza dan kemudian Annuar menghantar surat kepada Presiden UMNO berkenaan dengannya?

Mengapa Annuar masih ingin menzahirkan sokongan kepada kerajaan PN?

Apakah beliau tidak setuju dengan pendirian MT UMNO yang keputusannya sudah pun dimaklumkan secara bertulis oleh Ahmad Zahid Hamidi sendiri kepada Muhyiddin Yassin?

Seterusnya, untuk apa juga UMNO Ketereh mengesyorkan rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PN, walhal UMNO telah berpendirian untuk putus hubungan dengan Bersatu?

Tidakkah dengan ketetapan putus hubungan itu bermakna UMNO dan BN akan bertanding secara sendirian dan tidak perlu lagi berunding sebarang pembahagian kerusi dengan PN yang di dalamnya ada Bersatu?

Adakah ini bermakna Annuar masih berharap UMNO dapat memberi laluan lebih banyak kerusi kepada Bersatu bagi tujuan mengekalkan lagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri?

Adakah saranan berunding kerusi ini juga bermakna Annuar mahu Kumpulan Hamzah Zainuddin yang sebelum ini melompat daripada UMNO ke Bersatu terus diberi laluan mudah untuk bertanding dan menang dalam PRU15 akan datang?

Tidak terkecuali, adakah ini turut bermakna Annuar mahu Kumpulan Azmin Ali dalam Bersatu diberi kemudahan laluan yang sama oleh UMNO?

Selanjutnya pula, dengan mengesyorkan rundingan kerusi antara BN dan PN yang pastinya tujuan utamanya agar Muhyiddin dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri, apakah Annuar tidak sependirian dengan keinginan majoriti akar umbi UMNO yang mahukan jawatan Perdana Menteri kembali dipegang oleh parti itu selepas PRU15 akan datang?

Paling tidak masuk akal sekali dalam ketetapan UMNO Ketereh itu ialah ia masih lagi berharap Muhyiddin dapat melantik seorang Timbalan Perdana Menteri daripada BN.

Bukankah isu jawatan nombor dua dalam kerajaan itu tidak penting lagi bagi UMNO setelah ia membuat ketetapan enggan bekerjasama dengan Bersatu?

Lagi pula, apa guna putus hubungan dengan Bersatu jika akhirnya UMNO sudi menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri?

Tidakkah jawatan yang paling UMNO dambakan ialah kerusi Perdana Menteri yang kini disandang oleh Muhyiddin?

Bukankah dengan sudi menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri, bererti UMNO akan mengorbankan perjuangan mendapatkan kembali kerusi Perdana Menteri?

Akhirnya, menjelang PAU pada 27 dan 28 Mac ini iaitu hanya seminggu daripada sekarang, ketetapan UMNO Ketereh dan surat yang dihantar oleh Annuar kepada Presiden UMNO ini, mahu tidak mahu, tidak lain hanya bertujuan mengcak keharmonian dan mewujudkan kekeliruan dalam parti semata-mata.

Adakah apa yang dilakukan Annuar ini mengesahkan lagi memang wujud gerakan untuk mengubah keputusan MT UMNO berkaitan putus hubungan dengan Bersatu dalam PAU kali ini, seterusnya untuk menyingkirkan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO?

 (Shahbudindotcom 21/03/2021)




Annuar Musa bakal dilantik TPM?ATAU DIPECAT?

 Kantoi! Annuar Musa bakal dilantik TPM?

Annuar Musa bakal dilantik TPM?

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zakarshi mempersoalkan langkah bekas setiausaha agung BN yang ‘disingkir’, Annuar Musa.

Ini setelah Umno Bahagian Ketereh pimpinan Annuar dilapor meminta Perdana Menteri Muhyiddin segera melantik seorang timbalan perdana menteri daripada kalangan pemimpin BN.

“Dulu Annuar dan kuncu-kuncunya kata jangan minta jawatan dengan PM. Itu prerogatif dia. Nanti Umno dituduh kemaruk jawatan.

“Sekarang tuntut segera. Sudah tentu Umno akan terpalit dengan hinaan hidung tak mancung, pipì tersorong sorong,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

Apabila Muhyiddin mengambil alih jawatan perdana menteri kelapan, dia melakukan langkah di luar kebiasaan, mengemudi pentadbiran tanpa timbalan perdana menteri tetapi melantik empat menteri kanan – Azmin Ali, Ismail Sabri Yaakob, Fadillah Yusof dan Mohd Radzi Md Jidin. Azmin dan Radzi daripada parti pimpinan Muhyiddin, Bersatu.

“Dalam surat Umno Bahagian Ketereh bertarikh 19 Mac 2021 yang viral semalam, Annuar minta perdana menteri lantik segera timbalan perdana menteri dari kalangan pemimpin BN.

“Siapa dia? Sudah tentu Zahid bukan dalam senarai Annuar.

“Apakah untuk orang tertentu yang bersekongkol dengannya atau untuk dirinya sendiri,” soal Puad.

Surat itu dilaporkan menyatakan pendirian bahagian Umno itu kepada Zahid yang ditandatangani oleh 30 Ahli Jawatankuasa parti bahagian Ketereh.

Sementara itu,  dalam perkembangan sama veteran Umno Shahrir Samad berkata dia ‘seronok’ melihat jawatankuasa bahagian Umno Ketereh menyokong empat cadangan untuk tindakan presiden Umno.

Semalam, Annuar dilapor berkata antara empat perkara itu adalah ketetapan untuk terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, perkara kedua pihaknya mengesyorkan supaya Barisan Nasional (BN) dan PN segera memulakan rundingan pembahagian kerusi serta berusaha membentuk gabungan yang kuat untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) secara satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Antara ketetapan lain, jelas Annuar termasuk memutuskan untuk memohon perdana menteri segera melantik seorang timbalan perdana menteri dari kalangan pemimpin BN serta-merta dan menggesa kerajaan terus fokus serta memberi keutamaan kepada agenda kestabilan politik memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

 

Bagaimanapun, menurut Shahrir dua cadangan yang teratas dalam surat itu boleh dibawa oleh Timbalan Ketua Bahagian Ketereh Md Alwi Che Ahmad yang juga duduk dalam Majlis Tertinggi Umno.

Dua cadangan lain berkaitan perlantikan TPM dan usaha berfokus kerajaan PN, , kata Sharir boleh diwakilkan jawatankuasa bahagian Umno Ketereh kepada Annuar untuk dibawa ke pertimbangan Muhyiddin dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Setiap Rabu, jemaah menteri bermesyuarat pun. Annuar pun hadir.

“Jadi, boleh berpakat je antara ketua dan timbalan ketua bahagian Ketereh.

“Sekarang baru saya tahu punca cerita Umno nak sangat jawatan TPM. Ianya suara akar umbi Ketereh, rupanya,” kata Shahrir pada hantaran di media sosial hari ini.

Dalam pada itu, Puad berkata kalau Muhyiddin jujur “sudah lama jawatan timbalan perdana menteri itu diberi kepada Umno.”

“Maka apa agenda Annuar memanaskan isu tersebut sekarang?

“Umno tidak perlu lagi memikirkannya. Umno seperti tegas presiden perlu meletak ‘titik noktah’ dalam isu jawatan timbalan perdana menteri.

 

“Di zaman beli-membeli dan mengugut ahli parlimen supaya melompat parti ini, jangan pula Umno turut dituduh mahu menggadai parti semata mata kerana jawatan timbalan perdana menteri.

“Kalau untuk tawar menawar supaya MT Umno membatalkan keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu di PRU ke 15, sila ‘meninggal’ (jangan harap),” kata Puad lagi.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata langkah yang dicadangkan bahagiannya itu untuk mengelakkan kekeliruan di peringkat akar umbi khususnya Umno Ketereh.

“Saya bersuara sebab saya mahu Umno selamat, saya tidak mahu Umno itu menjadi alat kepentingan kumpulan atau pun puak atau individu sebab akhirnya kita semua yang akan menerima akibat kalau terjadi apa-apa dengan parti.

“Saya juga adalah ahli nombor 124 daripada 3.5 juta ahli selain merupakan salah seorang yang menaja menghidupkan semula Umno baharu selepas parti itu diharamkan. Macam-macam orang menyindir nak pecat saya kononnya saya tidak setia dan mahu lompat pergi parti Bersatu,” jelasnya, semalam.

Annuar juga dipetik berkata dia tidak bimbang sekiranya kelantangannya menegur parti secara terbuka di laman media sosial Facebook miliknya akan mengundang tindakan disiplin, termasuk dipecat Umno. 





Panas! Pemuda PAS Terengganu hilang sabar dengan Asyraf Wajdi

 


Panas! Pemuda PAS Terengganu hilang sabar dengan Asyraf Wajdi


Pemuda Pas Terengganu menyifatkan kenyataan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang seolah-olah mendorong UMNO memerangi Pas di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menggores hati ahli Pas.

Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan itu malah ia didakwa mengeruhkan lagi hubungan Muafakat Nasional (MN) di Terengganu.

“Kenyataan dikeluarkan itu telah menggores hati Pemuda Pas yang sentiasa diasuh untuk terus bersabar dalam merealisasikan MN demi kepentingan umat Islam di negara ini.

“Bukan kali ini, malah berkali-kali hati kami dirobek dengan kenyataan-kenyataan pimpinan UMNO yang terus menerus menginginkan perpecahan berlaku dalam MN khususnya di Terengganu ini.

“Bagi kami, sudah sampai masanya Ketua Pemuda UMNO itu bertanggungjawab atas kenyataan beliau yang menambahkan kekeruhan dalam hubungan MN di bumi Terengganu ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu Official, pada Ahad.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Pas Terengganu mendesak Asyraf Wajdi mengemukakan permohonan maaf dan menarik semula ucapan beliau sekiranya beliau ingin melihat MN terus diperkasakan di Terengganu.

“Kami mahu ingatkan kepada mana-mana pihak baik kawan atau lawan, baru atau lama, janganlah sentiasa mengguris hati kami dengan perbuatan dan ucapan tidak matang.

“Dalam hal ini, kami terus berpegang kepada hasrat besar Presiden Pas untuk terus bersama Muafakat Nasional agar kedudukan umat Islam di Malaysia terus terbela di bawah panji keadilan Islam,” katanya.

Tular di media sosial petikan ringkas ucapan Asyraf Wajdi dalam talian ketika bersama sukarelawan Skuad Sabil dan Pemuda UMNO Terengganu sempena Majlis Amanat 500 jam Sanitasi Awam Pemuda UMNO Malaysia pada Jumaat.

Ucapan itu didakwa seolah-olah menunjukkan beliau menyokong UMNO Terengganu menentang Pas dalam PRU15. 




Panas! Guan Eng berang dengan Ahli Parlimen PKR?

 Panas! Guan Eng berang dengan Ahli Parlimen PKR?


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegur Ahli Parlimen PKR yang berkata, mereka tidak sekuat beliau dalam berdepan ancaman terhadap diri dan keluarga, selepas dakwaan dipancing untuk beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Bagan itu mendedahkan, ketika pemimpin pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu Ahli Parlimennya yang ditawarkan “umpan” untuk melompat agar tetap berdiri teguh, kedua-duanya menjawab: “Saya tidak sekuat Guan Eng.”

Beliau berkata salah untuk mereka berkata demikian kerana ia juga seakan-akan bermaksud mereka tidak sekuat beliau kerana sanggup membiarkan isterinya mengharungi pengalaman ngeri itu.

Lim “sedih” apabila beliau dijadikan contoh apa yang boleh berlaku sekiranya seseorang tidak tunduk mengalah (tekanan politik), dengan beliau dan isterinya, Betty Chew, sebelum ini dituduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah.

“Tuduhan rasuah yang difailkan terhadap saya dan isteri tidak pernah terjadi sebelum ini kerana tidak ada satu sen pun wang suapan dijumpai dalam pegangan saya dalam bentuk wang tunai atau dalam akaun bank saya atau isteri saya.

“Tidak ada rakaman audio mengenai saya meminta sebarang wang untuk kepentingan peribadi saya.

Pada 16 Mac lalu, Anwar menuduh, selain Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail, PN memancing empat lagi Ahli Parlimen PKR untuk keluar parti, dengan mendakwa tindak-tanduk SPRM seolah-olah membayangkan badan itu dipergunakan sebagai senjata politik oleh PN.

“Ini bukan politik. Ini adalah penyalahgunaan kuasa melalui tekanan. SPRM digunakan sebagai senjata politik. Sekiranya anda melompat, siasatan akan ditunda. Jika tidak, anda akan menjadi sasaran,” kata Anwar, memperincikan ancaman yang dibuat itu.

Lim juga memberikan penghargaan kepada Betty dengan mengakui akan kesan lebih besar terhadap isterinya di mana profesion guamannya terjejas teruk berikutan menderita atas ketidakadilan yang disifatkan kejam itu.

“Saya kuat bukan kerana saya Guan Eng, saya kuat kerana isteri saya beri saya kekuatan untuk terus kuat.”

Katanya, ramai yang menyaksikan trauma emosi perlu ditanggung isterinya, sambil menambah beliau bersyukur dengan kekuatan dan cinta isteri kepada beliau dan berani kerana benar untuk berjuang bersama beliau menentang pendakwaan terpilih oleh kerajaan.

“Tidak ada ruang untuk politik pengkhianatan atau dendam, terutama terhadap ahli keluarga yang tidak bersalah.

“Hanya dengan itu kita dapat menanamkan keyakinan rakyat terhadap akauntabiliti dan ketelusan bahawa ada kemahuan dan komitmen politik untuk memerangi rasuah tanpa gentar atau pilih kasih.”

Lim bakal berdepan perbicaraan pada Jun atas tuduhan rasuah melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, sementara Betty didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram.




Tak habis lagi cerita pasal Anwar jadi PM, ‘move on’ la Nik Nazmi

 

Tak habis lagi cerita pasal Anwar jadi PM, ‘move on’ la Nik Nazmi


Ini Tahap IQ pemuda PKR paling Educate la.. Dok Sembang pasal PM lagi..Bagus lagi Sharil Hamdan dari UMNO..Pemuda depa banyak sentuh isu Rakyat..

Hat UMNO, PAS masa langkah Sheraton tarik Sokongan pada Tun, Sebab depa tak Boleh terima Anwar.. tak bleh terima DAP..Sebab Tun pula tak boleh terima UMNO en Bloc, Boleh terima PKR dan DAP…

Orang lain pun cari jalan nak bagi DSAI jadi PM..tapi jangan lah ghairah tak tentu tempat..Tak habis habis cerita pasal PM.. orang fikir demi negara..Masalah Ekonomi.. masalah Rakyat..depa sembang pasal sapa layak jadi PM.. Giler..