Oleh: Loh Ker Chean

Menurut anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia akan
menjadi negara tua apabila penduduk warga emas mencecah 15% iaitu 5.6juta
menjelang tahun 2030. Sehingga kini, negara dianggarkan mempunyai 3.5juta warga
emas yang berusia 60 tahun dan keatas, iaitu 10.7% daripada jumlah keseluruhan
penduduk Malaysia.
Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun ini, negara seharusnya sudah
siap siaga dalam usaha menawarkan kemudahan dan sistem sokongan untuk rakyat
yang semakin menua demi kelangsungan hayat mereka. Proses penuaan merupakan
proses semula jadi yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, menua dengan bermaruah
adalah hak bagi setiap rakyat biarpun menghampiri akhir hayat.
Kurang peruntukan warga emas
Selepas memperhalusi ucapan Belanjawan 2021 yang telah
dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada minggu yang lalu, perkara yang dikesali
adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih berminat memperuntukkan dana
untuk berpolitik daripada menangani isu rakyat yang terkesan akibat pandemik,
seperti peruntukan RM 85.8 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang
fungsinya bertindih dengan jabatan sedia ada dan RM 8.6juta diperuntukkan
kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT).
Kerajaan PN dilihat kurang peka akan keperluan dan kesejahteraan
golongan warga emas untuk jangka panjang, lebih-lebih lagi di dalam musim
pandemik Covid-19.
Mengambil contoh kejadian yang telah tular di laman media sosial
semasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan, iaitu kes Encik Lai Fah
Kuen, 72 tahun yang ditemui maut oleh pihak polis di Kuala Lipis pada 14 April
2020. Sebelum Lai ditemui maut di rumah, pihak polis yang bertugas di kawasan
terbabit menjumpai Lai berjalan kaki sejauh satu kilometer dari rumah untuk
mencari makanan.
Insiden Lai jelas menonjolkan kelompongan yang wujud dalam sistem
sokongan sosial warga emas di negara ini. Hak asasi rakyat khususnya warga emas
untuk mengakses kepada sokongan sosial perlu dipandang serius dan pilihan
perkhidmatan penjagaan mengikuti keperluan perlu dipelbagaikan.
Dasar PN ketinggalan zaman

Loh Ker Chean
kepada Belanjawan 2021, dasar kerajaan PN masih ketinggalan zaman
kerana mereka menggunakan dasar yang sama sejak tahun 2012, kecuali kenaikan
nilai saguhati kepada 2,000 sukarelawan dan 8,000 klien yang disebut dalam
“Program Khidmat Bantu Di Rumah” yang memberi khidmat sokongan kepada warga
emas yang tinggal bersendirian.
Adakah 8,000 klien itu merupakan kesemua warga emas yang tinggal
bersendirian dan memerlukan bantuan di dalam negara ini? Menurut statistik
DOSM, penduduk warga emas kini telah meningkatkan sebanyak 1 juta orang sejak
tahun 2012 yang mencatatkan 2.44 juta orang. Kerja - kerja perkhidmatan yang
bergantung kepada sukarelawan semata-mata tidak mampu menampung keperluan
golongan ini yang semakin bertambah dan sofistikated.
Berdasarkan pengalaman saya semasa bekerja di bawah pertubuhan
bukan kerajaan yang terlibat dalam bidang perkhidmatan penjagaan warga emas di
Australia, Khidmat di Rumah (Home Care) adalah lebih memanfaatkan warga
emas dari segi kesihatan mental. Dasar kerajaan Australia juga lebih cendorong
kepada menawarkan ‘Pakej Khidmat di Rumah’ bersubsidi yang dijalankan oleh
pekerja profesional demi mengekalkan warga emas mendiami rumah asal dan
berinteraksi dengan komuniti seperti biasa.
Justeru itu, sebuah ekosistem dalam industri perkhidmatan
penjagaan warga emas yang berkualiti dan profesional perlu diwujudkan demi
menjamin kesihatan fisikal dan mental mereka dalam proses penuaan.
Pengangguran meningkat mendadak
Pada masa yang sama, kadar pengangguran di Malaysia telah
meningkatkan dari 3.3% ke 4.7% iaitu seramai 741,600 orang pada bulan Ogos 2020
berbanding dengan tahun lepas akibat pandemik.
Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar kerajaan PN dapat
menangani isu penuaan dan isu pengangguran secara serentak, iaitu dengan cara
mendorong perkembangan industri perkhidmatan penjagaan warga emas melalui
pelaksanaan inisiatif-inisiatif bersama pemegang taruh sektor swasta. Dari
situ, industri dan peluang pekerjaan baru dapat kita wujudkan, keperluan dan
kualiti perkhidmatan penjagaan warga emas juga akan terjamin.
Pembangunan modal insan dalam bidang kerja sosial boleh menaik
taraf martabat bidang ini menjadi salah satu bidang profesional. Sebab itu,
kementerian pengajian tinggi disarankan untuk memperkenalkan kursus ijazah
Kerja Sosial. Kursus sijil dan diploma dalam bidang perkhidmatan penjagaan
warga emas dan komuniti pula boleh ditawarkan di peringkat kolej komuniti.
Hal ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan sektor perkhidmatan
penjagaan warga emas, tetapi juga dapat memberi manfaat kepada pentadbiran dan
pelaksanaan program sosial dalam sektor awam dan swasta secara keseluruhannya.
Dalam pada itu, masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial yang sering
dihadapi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga boleh diselesaikan dengan
mengerahkan tenaga kerja ke sektor-sektor ini.
Akta Profesion Kerja Sosial
Akhir kata, penggubalan akta yang penting seperti Akta Profesion
Kerja Sosial dan Akta Warga Emas yang diusahakan oleh Mantan Menteri KPWKM Datuk
Seri Dr Wan Azizah Ismail sepatutnya menjadi perbincangan utama di dalam
Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kali Ketiga ini supaya pelbagai pelan
strategi boleh dilakar untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan
terbela semasa tempoh memerangi Covid-19 dan juga pasca pandemik.
Tetapi malangnya, Persidangan Dewan Rakyat Kali Ketiga ini telah
dihadkan masa bersidang kepada 4 jam sahaja sehari buat masa ini. Ahli-ahli
Parlimen digesa untuk mengusulkan tambahan hari sidang, bagi memperuntukkan lebih
masa kepada pembentangan RUU dan perbahasan Ahli-ahli Parlimen.
Ahli - ahli Parlimen seharusnya perlu menumpukan pada kerja hakiki
mereka untuk membentuk dasar dan menggubal akta – akta demi memajukan negara
dan membela nasib rakyat tanpa kos tambahan, dan biarkan ekonomi kita kembali
berkembang.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN