Jangan berangan; lawatan ke White House tak akan jejaskan tindakan DOJ


Semua sedia maklum bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri kini berada di Amerika Syarikat bagi lawatan kerjanya selama tiga hari bermula semalam.
Ada yang menyingkap lawatan tersebut sebagai rancangan propaganda Najib untuk mendapatkan sekeping (atau lebih) gambar bersama Presiden AS, Donald J. Trump untuk dijaja di dada-dada media seantero negara, menjelang pilihan raya umum akan datang.
Ia tidak lain dan tidak bukan bagi menunjukkan bahawa saman sivil yang dikeluarkan Jabatan Keadilan AS (DOJ) bagi merampas aset yang dicuri daripada syarikat dana berdaulat negara, 1MDB yang turut dikaitkan dengan Presiden UMNO itu kononnya tidak membawa apa-apa kesan terhadap kempimpinan kleptokratnya.
Malah, ada cakap-cakap yang mendakwa kehadiran Najib di Rumah Putih adalah bagi memujuk Presiden AS paling kontroversi itu untuk menghentikan tindakan terhadap 1MDB dan melibatkan “MO1” – kependekan yang semua sedia maklum merujuk kepada Najib.
Namun, khabar angin tersebut ditepis oleh mantan Duta Besar AS ke Malaysia, John Mallot yang menyifatkan ia sebagai mengarut.
“Jangan percaya. Trump sendiri tidak boleh menghalang siasatan DOJ terhadap dirinya sendiri! Jadi lupakan sajalah angan-angan itu,” tegas Mallot seperti dilaporkan media.
Untuk rekod, orang kanan Trump kini sedang disiasat pihak DOJ atas dakwaan bersubahat dengan Russia dalam mempengaruhi pilihan raya 2016 di negara itu.
Setiausaha Media Rumah Putih, Sarah Huckabee turut menegaskan bahawa siasatan DOJ tidak akan sama sekali terkesan dengan pertemuan dan perbincangan antara Najib dan Trump.
Nampaknya, melalui penegasan ini, Najib dan isteri hanya mampu membawa pulang beberapa keping foto kenangan bersama sosok Trump (atau berbeg-beg hasil berkelintaran di gedung-gedung mewah) tanpa mengetahui nasibnya jika kalah dalam pilihan raya akan datang.
Ternyata, DOJ dan gelaran “MO1” akan terus menghantui pahlawan Bugis dalam mimpi-mimpinya sepanjang jalan menuju PRU akan datang.

TIADA SIDANG MEDIA, NAJIB TERLEPAS PELUANG KEEMASAN MEMBERI PENJELASAN TENTANG 1MDB


Di samping beberapa kejanggalan lain dalam lawatan Najib Razak ke Amerika Syarikat kali ini, yang paling ketara tentunya ialah ketidaksediaan atau lebih tepat, ketakutan beliau mengadakan sidang media selepas pertemuannya dengan Donald Trump.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyatakan rasa hairannya tentang beberapa perkara mengenai lawatan Najib, antaranya:-

- tiada sambutan rasmi diberikan, baik ketika pesawat yang membawa Najib mendarat mahu pun ketika beliau tiba di White House.

- tidak menginap di Blair House, rumah penginapan untuk tetamu negara, sebaliknya menyewa bilik di sebuah hotel kepunyaan Trump di Washington sedangkan kedatangan Najib diberitakan adalah atas jemputan Presiden Amerika itu.

Sehubungan itu, Rafizi menyimpulkan lawatan Najib tidak lebih sebagai kunjungan peribadi yang mungkin diatur oleh golongan pelobi berbayar semata-mata untuk melonjakkan kembali namanya yang terperosok dengan teruk berikutan saman sivil dan siasatan jenayah oleh DOJ berkaitan dana 1MDB yang diselewengkan.

Tetapi, kejanggalan paling nyata ialah pastinya kerana tiada sidang media selepas pertemuan Najib dengan Trump.

Jika Najib merasakan kunjungannya bertemu Trump yang antara tujuan utamanya ialah untuk menutup mulut-mulut pengkritik berkaitan 1MDB atau yang mengaitkan dirinya dengan syarikat pelaburan itu,  mengadakan sidang akhbar dan bertemu dengan media-media Amerika seharusnya menjadi peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan.

Kecualilah jika Najib memang ada rasa bersalah dalam dirinya, peluang berdepan, memberi penjelasan dan bersoal-jawab dengan media-media Amerika seperti WSJ, Washington Post, New York Times, Bloomberg dan sebagainya berhubung apa juga persoalan tentang 1MDB, adalah lonjakan yang sebenar dapat memutihkan kembali hitam kelabu namanya selama ini.

Di situlah sebenarnya wibawanya akan dapat diserlahkan sekiranya segala kekeliruan dapat ditangani dengan baik.

Ketika bertemu media-media Amerika itulah seharusnya Najib boleh berhujah banyak perkara, termasuk mungkin menggunakan gebang puak-puak propaganda kononnya 1MDB tidak pernah kehilangan wangnya, sebaliknya yang hilang wang ialah IPIC, asetnya melebihi hutang,  Jho Low bukan penasihat 1MDB atau rakan keluarga, tetapi penasihat IPIC, tentang proses rasionalisasi, pemecatan Peguam Negara, laporan audit yang diOSAkan dan tidak terkecuali berhubung laporan PAC yang diceritakan kepada makcik-makcik Felda sebagai sudah membersihkan namanya.

Dalam pada itu, dengan mengadakan sidang media dan berhadapan dengan para wartawan Amerika, Najib juga berpeluang menjelaskan siapakah sebenarnya MO1 yang didakwa oleh DOJ telah menerima wang sebanyak AS$731 juta daripada dana 1MDB yang diselewengkan menggunakan seuah akaun bank peribadi.

Najib tentunya berpeluang sama menjelaskan siapakah isteri MO1 yang turut didakwa menerima hadiah daripada Jho Low berupa barangan kemas berjumlah keseluruhannya sebanyak RM128 juta, juga daripada dana 1MDB yang diselewengkan.

Tidak lupa, sekiranya Najib masih berpegang kepada keyakinan bahawa wang RM2,600 juta yang pernah diterimanya adalah benar-benar derma daripada Pak Arab yang pemurah, di sinilah turut merupakan peluangnya untuk menyebut nama penderma tersebut.

Kepada WSJ yang pernah diancam mahu disamannya, di bumi Amerika jugalah peluang terbaik untuk Najib, sama ada mahu berterus-terang mengenai apa juga isu 1MDB atau secara depan-depan mengatakan akan benar-benar menyaman mereka.

Sayangnya, Najib tiada keberanian untuk berdepan dengan media Amerika dan peluang terbaiknya untuk membersihkan nama dan memberi penjelasan sejelas-jelasnya berkaitan 1MDB, telah berlalu dan terlepas begitu saja.

Lalu, dengan ketakutan yang menyelubunginya itu, Najib sebenarnya masih kekal sebagai figura yang bermasalah dipandang dunia, mungkin melindungi sesuatu dan tidak harus dikekalkan lagi hayat kuasanya di Malaysia. (ShahbudinHusin 13/09/2017).

'Mereka berdedai-dedai datang bila kami buka meja'


 Nurul Azarul Abu Samah
Usaha untuk memahami aspirasi golongan muda di negara ini menjadi antara faktor penolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya mendaftarkan sejumlah 57 peratus ahlinya dikalangan belia berusia di bawah 35 tahun sejak setahun penubuhan parti itu.
Perkara ini dijelaskan Ketua Armada Bersatu Negeri Johor Nurul Azarul Abu Samah, apabila penubuhan parti itu ujarnya, memberikan 'kebebasan' kepada pimpinan Armada disetiap peringkat untuk membawa suara golongan belia ke peringkat pimpinan pusat parti.
"Dari awal penubuhan PPBM dari aspirasi anak muda yang mahu melihat perubahan dalam kepimpinan negara yang mana suara mereka lebih didengari oleh parti.
"Sebab itu fokus Armada menjalankan gerak kerja turun ke lapangan di setiap peringkat mendapat sambutan luar biasa di kalangan belia terutama mereka yang selama ini tidak berminat menyertai mana-mana parti," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Terkini dalam himpunan rakyat sempena sambutan ulang tahun Bersatu yang diadakan di Muar, sabtu lalu, Ketua Armada Syed Saddig Syed Abdul Rahmah mengumumkan  telah berjaya mendaftarkan sejumlah 3,200 ahli baharu  dan turut mengumumkan bagi seluruh negeri Armada negeri Johor menduduki  tempat ketiga ahli terbanyak selepas Kedah dan Perak dalam program sehari diadakan itu.
Ketua Armada Bahagian Labis ini turut berkata, pengalamannya menyertai Bersatu tidak sama sebagaimana ketika di dalam Umno.
"Kebanyakan yang menyertai PPBM dikalangan mereka yang mempunyai kesedaran.
"Tidak perlu kami panggil untuk datang ke program-program yang diadakan tetapi mereka berdedai-dedai (berpusu-pusu) datang, apabila kami buka meja.
"Walaupun kita masih lagi tidak boleh bebas mencari ahli cengkaman parti pemerintah yang mana banyak halangan-halangan dalam usaha yang kami lakukan selama setahun ini," ujarnya.
Justeru beliau tidak menolak dengan penyertaan Bersatu dalam gabungan Pakatan Harapan membawa impak besar kepada perubahan rakyat untuk menukar dan penyokong usaha dilakukan parti itu.
"Saya yakin sebelum ini tiada parti seperti PPBM yang pernah dianggotai dikalangan bekas ahli Umno dan dikalangan yang tidak berparti.
"Ini kerana mereka bersedia untuk berubah dan menerima 'coalation' bersama PKR,DAP dan AMANAH di dalam Pakatan Harapan.
"Saya juga yakin dengan hasrat bersama parti dalam Pakatan Harapan untuk mengunakan satu logo dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya yakin BN Johor akan tumbang Pakatan Harapan akan memerintah negeri Johor," ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan ada dikalangan rakyat negeri itu yang masih lagi sentimental dengan Umno.
"Dikalangan generasi tua, Umno begitu sentimental dengan jiwa mereka, agak sukar untuk mengubah pendirian mereka berbanding golongan belia kebanyakan mereka menyertai PPBM dan menyokong Pakatan Harapan kerana kesedaran.
"Ada juga yang berterus terang menyokong parti dan menjadi ahli tetapi tidak mahu aktif. Saya yakin dalam PRU akan datang Umno-BN akan mengalami penyusutan sokongan di negeri ini," ujar bekas Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Labis ini.
Menurut beliau lagi, sekiranya negeri Johor berpindah kepada Pakatan Harapan ia banyak didorong oleh faktor krisis kepimpinan di negeri itu membabitkan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas menteri besar dan timbalan perdana menteri.
Selain itu isu-isu membelenggu rakyat seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, pengangguran dikalangan siswazah masih lagi menjadi rungutan dikalangan golongan belia berbanding isu 1MDB misalnya dilihat lebih kepada impak global.

Tawaran Najib perkukuh ekonomi Amerika timbulkan banyak persoalan


KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Misi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengunjungi Presiden Trump membincangkan kerjasama keselamatan serantau diakhiri dengan perjanjian pelaburan dan aktiviti membeli belah berjumlah AS$10 bilion.
Pelaburan itu melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Malaysia Airlines Bhd (MAB).
Transkrip yang dikeluarkan pejabat media White House mendedahkan bahawa Najib berkata kerajaan akan membeli 25 pesawat Boeing 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan wujud kebarangkalian besar menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.
“Pertama, kami mahu membantu memperkukuhkan ekonomi Amerika. Saya datang dengan tiga cadangan khusus. Pertama, kami mahu mempertingkat pembelian pesawat Boeing oleh MAS.
“Kami bersedia untuk 25 pesawat 737 MAX 10 dan lapan 787 Dreamliners. Dan terdapat kebarangkalian kukuh – bukan kemungkinan – kebarangkalian kami akan tambah 24 lagi 737 MAX 10 pada masa depan.
“Jadi dalam tempoh lima tahun, rundingan ini akan bernilai lebih AS$10 bilion. Itu yang pertama. Kami juga cuba memujuk AirSia untuk membeli enjin GE,” kata Najib Razak dalam pertemuan terbabit.
Mengulas perkara itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim berkata, Najib perlu memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung langkah berkenaan.
“Adakah pembelian dan pelaburan ini membantu tingkatkan keadaan ekonomi semasa yang lemah di Malaysia, atau adakah mereka mengadakan pertukaran pelaburan yang lebih besar dari Amerika Syarikat?
“Adakah kunjungan ‘membeli-belah’ oleh beliau untuk menunjukkan kepada Amerika Syarikat bahawa Malaysia mampu menjadi pelanggan yang baik kepada negara itu, malah boleh juga membantu AS bangunkan infrastrukturnya?” soal Ahli Parlimen Seputeh itu.
Persoalan ini dibangkitkan kerana pengumuman Najib itu dibuat dalam keadaan negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan malah berhadapan dengan masalah kewangan.
Kegusaran ini juga merujuk kepada kenyataan bekas timbalan gabenor Bank Negara, Tan Sri Lin See Yan yang menyuarakan kebimbangannya terhadap kelemahan pertumbuhan ekonomi negara.
Antara lain ia membabitkan jumlah hutang negara yang semakin tinggi, nilai mata wang yang lemah dan kebergantungan negara dengan tenaga buruh asing – sebagai petunjuk kelemahan ekonomi negara.
Teresa turut membangkitkan dua persoalan lain berhubung pelaburan AS$10 bilion Najib tersebut.
“MAS masih bergelut untuk pulih dari kesan hutang dan defisitnya sehingga menyebabkan ramai kakitangan diberhentikan dan asetnya dijual. Adakah MAS juga akan jadi sebahagian pembelian 25 pesawat Boeing itu?
“Bolehkah perdana menteri menggunakan dana KWSP sebanyak RM16.8 bilion untuk melabur dalam pembinaan semula prasarana di AS tanpa perbincangan terlebih dahulu dari penyumbang? Dan apa pula hasil yang akan diperolehi oleh pencarum KWSP?” soalnya lagi. 

BINCANG 5 MINIT, BUANG MASA JUMPA TRUMP

VIDEO DAN TRANSKRIP NAJIB TRUMP




Di bawah adalah kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Bilik Kabinet Rumah Putih.

Donald Trump: Terima kasih banyak. Saya berbangga menerima kunjungan Perdana Menteri Malaysia dan dif-dif kehormat semua. Kami berbincang berkaitan perdagangan – rundingan perdagangan yang sangat besar. Kami bekerja ke arah rundingan pembelian jet Boeing bernilai antara 10 dan 12 bilion dolar, enjin General Electric dan banyak lagi.
Selain itu, Malaysia adalah pelabur besar di Amerika Syarikat dalam bentuk saham dan bon dan pasaran saham. Mereka sangat gembira kerana saham kita meningkat hampir tiap minggu. Dan kita amat berbangga dengan pasaran saham kita dan apa yang berlaku sejak saya menjadi presiden. Saya ucapkan tahniah kepada anda untuk pelaburan-pelaburan itu.
Tetapi saya juga mahu katakan ini satu penghargaan bagi saya dapat menerima kehadiran anda di sini. Satu penghargaan dapat menerima kunjungan delagasi-delegasi lain juga. Saya percaya anda semua akan berada di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan, ramai orang akan hadir ke PBB minggu depan. Ia akan jadi minggu yang mengujakan dan kita semua tertunggu-tunggu.

Pelaburan M'sia di AS
Tetapi saya mahu ucapkan terima kasih atas semua pelaburan yang kamu buat di Amerika Syarikat. Juga, perdana menteri mempunyai peranan besar tidak membenarkan IS – atau apa yang kamu sebut Daesh – dan lain-lain lagi untuk terus wujud. Dan beliau sangat kuat melawan keganasan di Malaysia dan menjadi pendukung kuat usaha itu. Ini perkara penting kepada Amerika Syarikat.

Hubungan niaga dengan Korea Utara
Beliau tidak lagi menjalankan perniagaan dengan Korea Utara lagi, perkara itu amat penting buat kita semua. Semalam ada pengundian untuk sekatan ekonomi. Kami rasa ini satu langkah yang amal kecil – bukan perkara besar. Rex dan saya telah berbincang – tidak besar. Saya tidak tahu jika terdapat sebarang kesan, tetapi dikira baik untuk dapat undian 15-0. Tetapi sekatan ekonomi bukan apa-apa berbanding apa yang berlaku.
Jadi terima kasih pada semua yang hadir, kami hargainya. Perdana menteri, kami berbangga menerima kunjungan anda ke Amerika Syarikat dan Rumah Putih. Terima kasih semua kerana hadir. Terima kasih banyak. Terima kasih.
Kamu ada apa-apa hendak cakap?
Najib: Terima kasih banyak tuan presiden atas undangan pada saya dan delegasi untuk bertemu di Rumah Putih. Saya hendak katakan kami datang ke sini dengan cadangan bernilai tinggi untuk dikemukakan.

Pembelian pesawat
Pertama, kami mahu membantu memperkukuhkan ekonomi AS. Saya datang dengan tiga cadangan khusus. Pertama, kami mahu mempertingkat pembelian pesawat Boeing oleh MAS.
Kami bersedia untuk 25 pesawat 737 MAX 10 dan lapan 787 Dreamliners. Dan terdapat kebarangkalian kukuh – bukan kemungkinan – kebarangkalian kami akan tambah 24 lagi 737 MAX 10 pada masa depan. Jadi dalam tempoh lima tahun, rundingan ini akan bernilai lebih AS$10 bilion. Itu yang pertama. Kami juga cuba memujuk AirSia untuk membeli enjin GE.
Trump: Bagus.

KWSP dan modal untuk dieksport
Najib: Kedua, kami ada Kumpulan Wang Simpana Pekerja, iaitu wang persaraan utama di Malaysia. Ia ada modal besar untuk dieksport. Kami melabur hampir AS$7 bilion dalam bentuk ekuiti di Amerika Syarikat. Dan kami mahu berhasrat melabur tiga atau empat bilion dolar untuk mendukung kemudahan pembangunan semula Amerika Syarikat.
Trump: Bagus.

Pelaburan Khazanan dalam teknologi
Najib: Ketiga, dana kekayaan negara kami, Khazanah, mereka ada pejabat di Silicon Valley. Ia telah melabur kira-kira $400 juta dalam syarikat teknologi tinggi dan mereka juga berhasrat untuk menambah pelaburannya.
Kedua, tuan presiden, pentadbiran anda juga mahu menjadikan Amerika Syarikat selamat -- dan dengan itu dunia juga selamat – kami beriltizam melawan Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf – semuanya. Mereka ini musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia, dan kami akan lakukan peranan kami untuk pastikan dunia ini selamat.

Muslim sederhana

Kami juga akan menyumbang untuk perang ideologi kerana kamu mesti menangi hati dan minda. Dan kuncinya ialah dengan mendukung rejim Muslim yang sederhana dan progresif di seluruh dunia kerana ia adalah wajah sebenar Islam, wajah asli Islam. Lebih banyak kamu bersama rejim progresif dan sederhana, lebih baik untuk memenangi hati dan minta orang Islam di seluruh dunia.
Trump: Betul.

Hubungan 60 tahun

Najib: Jadi tuan presiden, terima kasih sekali lagi. Amerika Syarikat akan sentiasa menjadi rakan untuk tempoh yang amat-amat lama. Dan tahun ini memasuki ulang tahun ke-60 dan saya harap pertemuan hari ini akan membuatkan hubungan dua hala ini lebih kukuh di masa-masa depan.
Trump: Terima kasih. Saya hargainya.

NAJIB SUKSES BERTEMU TRUMP, PRU 14 BULAN NOVEMBER?

NAJIB MENGINAP DI HOTEL TRUMP, TIMBUL TANDA TANYA

LAWATAN NAJIB KE AMERIKA - "ULAR LIDI" MENYUAPKAN MAKANAN KEPADA "ULAR SAWA"




Tiada yang percuma dalam lawatan Najib Razak ke Amerika Syarikat serta pertemuannya dengan Donald Trump kali ini yang nampaknya amat menggembirakan jentera propaganda berbayar UMNO dan BN untuk "spin cerita" menghadapi pilihanraya akan datang.

Selain sebagaimana yang disebut sebelum ini dan dinyatakan semalam oleh Rafizi Ramli bahawa besar kemungkinan lawatan dan pertemuan dengan  Presiden Amerika itu adalah hasil kerja Godfrey Group Ltd yang dipercayai telah membayar RM1.125 juta kepada pelobi yang merupakan bekas pembantu Trump, hakikatnya ialah Malaysia terpaksa membayar harga yang amat mahal untuknya.

Didedahkan pada Mei sebelum ini, Godfrey yang mewakili Pejabat Perdana Menteri telah membuat bayaran kepada pelobi tersebut dengan tujuan yang tidak dinyatakan, di ketika saman sivil DOJ terhadap 1MDB menjadi bualan di seluruh dunia.
Semasa membalas ucapan Trump yang mengalu-alukan kedatangannya ke Rumah Putih, Najib berkata, "kami datang ke sini dengan cadangan yang besar untuk membantu Amerika mengukuhkan ekonominya."

Ehhh....ini sudah terbalik  dan pelik beb!!

Malaysia sebagai "negara ular lidi"  pula yang menawarkan bantuan Amerika sebagai "negara ular sawa" untuk memulihkan ekonominya.

Kalau Malaysia mengharapkan bantuan Amerika ada juga munasabahnya.

Di sebalik negara sendiri bergantung kepada China dengan berhutang selama 20 tahun untuk membina landasan keretapi Pantai Timur, mengemis cukai GST setiap hari daripada rakyat, memotong banyak subsidi, menamatkan elaun guru pelatih dan tidak mampu memasang CCTV untuk balai polis - suatu bukti bahawa Malaysia sebenarnya kekeringan wang - Najib dengan tiada rasa bersalah dan selamba mahu membantu mengukuhkan ekonomi Amerika.

Apakah dalam masa yang sama Najib sudah cukup cemerlang dalam mengukuhkan ekonomi Malaysia sendiri?

Dalam usaha "ular lidi" mahu mengenyangkan "ular sawa" yang tidak cukup makan itu, tiga pakej yang ditawarkan Najib ialah menambah pembelian 25 
pesawat Boeing untuk MAS yang dalam tempoh lima tahun bernilai antara AS$10 bilion hingga AS$20 bilion, menggunakan dana pencen KWSP untuk melabur sehingga AS$4 bilion untuk menyokong pembangunan prasarananya  dan Khazanah Nasional akan dikembangkan  lagi peranannya di Amerika.

Keadaan ini jelas berbeza semasa kepimpinan Tun Mahathir di mana semasa lawatannya ke luar negara dahulu, syarikat-syarikat Malaysia yang ditawarkan dan menandatangani pelbagai perjanjian projek di luar negara, bukannya kita memberi projek kepada negara yang dilawatinya.

Langkah Tun Mahathir itu secara langsung mengukuh dan memberi pendapatan kepada syarikat-syarikat tempatan, tidak sama sekali membiarkan dana dalam negara mengalir keluar di ketika  rakyat kita sendiri sebagai "ular lidi"  di mana masih ramai yang mengikat perut dan tidak cukup makan.
Kenapa Najib sanggup melakukan sedemikian rupa?

Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana Najib datang ke Amerika kali ini dengan jiwa penuh bersalah kerana skandal 1MDB yang sedang disiasat oleh DOJ berkaitan jenayah penyelewengan serta penggubahan wang haram dan saman sivil untuk merampas aset-aset yang dibeli menggunakan dana kekayaan negara yang dilencongkan.

Keutamaan mengguna dan memanfaatkan lawatan ke Amerika dan kemesraan dengan Trump itu bagi kepentingan memenangi pilihanraya sudah menjadi tujuan penting sebenarnya.

Maka itu, tentu saja beliau akan menggunakan apa saja cara, termasuk terpaksa mengambil wang negara untuk membeli jiwa Amerika bagi membersihkan diri dan menunjukkan kepada rakyat tiada sebarang tindakan dihadapkan kepadanya, meskipun sehingga ini pentadbiran Amerika tetap mengatakan siasatan DOJ akan  diteruskan seperti biasa.

Tiada apa yang patut digembirakan dengan lawatan Najib ke Amerika ini, melainkan "ular sawa" akan tetap dengan tabiat kekenyangannya dan "ular lidi" kekal dengan kelaparannya. (ShahbudinHusin 12/09/2017)

LAWATAN NAJIB JUMPA TRUMP TIDAK RASMI?

HINDRAF YAKIN BANTU PH MENANG 31 KERUSI PARLIMEN

KELUAR PH: PAS ANGKUH LETAK SYARAT – PKR