KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Misi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengunjungi Presiden Trump membincangkan kerjasama keselamatan serantau diakhiri dengan perjanjian pelaburan dan aktiviti membeli belah berjumlah AS$10 bilion.
Pelaburan itu melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Malaysia Airlines Bhd (MAB).
Transkrip yang dikeluarkan pejabat media White House mendedahkan bahawa Najib berkata kerajaan akan membeli 25 pesawat Boeing 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan wujud kebarangkalian besar menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.
“Pertama, kami mahu membantu memperkukuhkan ekonomi Amerika. Saya datang dengan tiga cadangan khusus. Pertama, kami mahu mempertingkat pembelian pesawat Boeing oleh MAS.
“Kami bersedia untuk 25 pesawat 737 MAX 10 dan lapan 787 Dreamliners. Dan terdapat kebarangkalian kukuh – bukan kemungkinan – kebarangkalian kami akan tambah 24 lagi 737 MAX 10 pada masa depan.
“Jadi dalam tempoh lima tahun, rundingan ini akan bernilai lebih AS$10 bilion. Itu yang pertama. Kami juga cuba memujuk AirSia untuk membeli enjin GE,” kata Najib Razak dalam pertemuan terbabit.
Mengulas perkara itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim berkata, Najib perlu memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung langkah berkenaan.
“Adakah pembelian dan pelaburan ini membantu tingkatkan keadaan ekonomi semasa yang lemah di Malaysia, atau adakah mereka mengadakan pertukaran pelaburan yang lebih besar dari Amerika Syarikat?
“Adakah kunjungan ‘membeli-belah’ oleh beliau untuk menunjukkan kepada Amerika Syarikat bahawa Malaysia mampu menjadi pelanggan yang baik kepada negara itu, malah boleh juga membantu AS bangunkan infrastrukturnya?” soal Ahli Parlimen Seputeh itu.
Persoalan ini dibangkitkan kerana pengumuman Najib itu dibuat dalam keadaan negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan malah berhadapan dengan masalah kewangan.
Kegusaran ini juga merujuk kepada kenyataan bekas timbalan gabenor Bank Negara, Tan Sri Lin See Yan yang menyuarakan kebimbangannya terhadap kelemahan pertumbuhan ekonomi negara.
Antara lain ia membabitkan jumlah hutang negara yang semakin tinggi, nilai mata wang yang lemah dan kebergantungan negara dengan tenaga buruh asing – sebagai petunjuk kelemahan ekonomi negara.
Teresa turut membangkitkan dua persoalan lain berhubung pelaburan AS$10 bilion Najib tersebut.
“MAS masih bergelut untuk pulih dari kesan hutang dan defisitnya sehingga menyebabkan ramai kakitangan diberhentikan dan asetnya dijual. Adakah MAS juga akan jadi sebahagian pembelian 25 pesawat Boeing itu?
“Bolehkah perdana menteri menggunakan dana KWSP sebanyak RM16.8 bilion untuk melabur dalam pembinaan semula prasarana di AS tanpa perbincangan terlebih dahulu dari penyumbang? Dan apa pula hasil yang akan diperolehi oleh pencarum KWSP?” soalnya lagi.