Antara Reformasi Institusi Dan Keutamaan Pemulihan Ekonomi

 


Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengorak langkah meneruskan ikhtiar pemulihan dan pengukuhan ekonomi menjadi antara tumpuan utama pentadbiran dengan lebih 18 buah parti gabungan bermacam ragam mahu itu dan ini dilaksanakan. Foto PMO

PENDAPAT, 26 Ogos – Perdebatan mengenai reformasi institusi dan keutamaan pemulihan ekonomi terus menjadi antara perkara penting dalam agenda pentadbiran negara. Kedua-dua aspek mempunyai kaitan rapat dengan usaha memperkukuh keyakinan rakyat, kestabilan pentadbiran serta pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Reformasi institusi lazimnya merangkumi usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan, memperkasakan mekanisme semak dan imbang serta memastikan institusi awam berfungsi secara berkesan dan berintegriti.

Kita tidak mahu usaha kerajaan yang memberi perhatian terhadap keadaan ekonomi semasa, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan, produktiviti dan daya saing negara, terjejas hanya kerana mahu menyegerakan reformasi institusi walaupun ia menjadi agenda teras.

Lebih tiga tahun Kerajaan MADANI memerintah setakat ini, usaha pemulihan dan pengukuhan ekonomi menjadi antara tumpuan utama pentadbiran dengan lebih 18 buah parti gabungan bermacam ragam mahu itu dan ini dilaksanakan.

Bukan mudah bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutamakan betapa penting ia dilakukan segera bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta perusahaan kecil dan sederhana.

Dalam konteks ini, perbincangan mengenai reformasi institusi wajar dilaksanakan secara berperingkat, berasaskan kajian, perundangan dan kepentingan awam. Sebarang perubahan perlu mengambil kira kesan terhadap kestabilan politik, keyakinan pelabur, kecekapan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

Pendekatan yang seimbang antara pembaharuan institusi dengan pengukuhan ekonomi dapat membantu memastikan proses pembangunan negara berjalan secara mampan, tanpa diganggu tekanan politik berlebihan.

Sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, masyarakat sivil, sektor swasta dan rakyat mempunyai peranan dalam memastikan setiap dasar dinilai secara terbuka dan konstruktif.

Keutamaan akhirnya ialah memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan dengan institusi yang kukuh, ekonomi yang berdaya tahan, tadbir urus yang baik serta pembangunan yang memberikan manfaat secara lebih menyeluruh kepada rakyat.



No comments: