TUDUHAN FITNAH TH JUAI ASET KEPADA KAFIR BERNIAT JAHAT .



 Tuduhan pelbagai pihak, termasuk PAS, yang sebelum ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggadai atau menjual aset Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam terbukti fitnah dan berniat jahat.






Isu tersebut pernah menjadi antara serangan politik utama terhadap kerajaan PH dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, yang mengetuai usaha penstrukturan semula Tabung Haji bermula pada penghujung 2018.


Ketika itu, Mujahid berulang kali menjelaskan bahawa langkah penstrukturan termasuk pemindahan aset bermasalah kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) dilakukan bagi menyelamatkan kedudukan kewangan TH serta melindungi kepentingan pendeposit.


Bagaimanapun, usaha tersebut terus menjadi sasaran kritikan politik dengan pelbagai dakwaan bahawa kerajaan PH telah “menjual” atau “menggadaikan” aset milik umat Islam.


Ada pemimpin PAS ketika itu berucap di dalam masjid mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan menjual aset umat Islam kepada orang bukan Islam.


Tuduhan itu telah menimbulkan kegusaran kepada umat Islam hingga ada yang secara panik mengeluarkan simpanan mereka di dalam Tabung Haji.


Laporan RCI yang didedahkan hari ini pula menggambarkan bahawa penstrukturan tersebut dilaksanakan ketika Tabung Haji berada dalam keadaan kewangan yang kritikal akibat kelemahan tadbir urus, pelaporan kewangan dan pengurusan pelaburan dalam tempoh yang disiasat.


Suruhanjaya turut merekodkan bahawa penubuhan UJSB dan pemindahan aset tertentu merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan bagi menstabilkan semula kedudukan kewangan TH. 


RCI juga mengiktiraf bahawa pelbagai langkah pembaharuan yang dilaksanakan selepas proses penstrukturan telah membantu memperbaiki kedudukan institusi tersebut, selain merekodkan bahawa sebahagian besar syor penambahbaikan telah berjaya dilaksanakan.




No comments: