SITI NUR ZAWANIMay 22, 2025
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengarahkan Jabatan
Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat dakwaan dua pemimpin utama Pas di negeri
itu memberi kuliah di masjid tanpa memiliki tauliah yang sah.
Beliau berkata, JAIPk bertanggungjawab menjalankan siasatan sekiranya
menerima laporan rasmi berkaitan sebarang pelanggaran terhadap titah Sultan
Perak.
Beliau juga menegaskan setiap individu, tanpa mengira latar belakang
politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, tertakluk kepada
undang-undang dan titah Sultan Perak.
“Tak kira siapa sahaja sama ada orang kerajaan atau pembangkang, jika
didapati melanggar titah Tuanku, itu satu kesalahan. Tapi sebarang pertuduhan
itu kena dibuktikan betul dan berasaskan kepada siasatan yang adil,” katanya menurut
media tempatan.
Harapan Daily sebelum ini melaporkan pendedahan dibuat bekas ADUN Titi
Serong, Hasnul Zulkarnain mengenai pemimpin utama Pas Perak uang didakwa
melanggar garis panduan JAIPk apabila memberi kuliah agama di masjid yang
berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Hasnul berkata beliau mempunyai bukti kukuh berhubung pelanggaran
tersebut.

No comments:
Post a Comment