𝗔𝗗𝗔 𝗔𝗣𝗔 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗛𝗜𝗥𝗨𝗞

 𝗔𝗗𝗔 𝗔𝗣𝗔 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗛𝗜𝗥𝗨𝗞




Banyak perkara yang ditimbulkan kebelakangan ini, untuk memberi alasan kenapa saya perlu dikeluarkan dari kepimpinan kanan KEADILAN, adalah tidak bersandarkan kepada fakta dan kebenaran.


Terkini, tohmahan kononnya Nurul Izzah bertanding kerana saya akan meletakkan jawatan dan telah mengosongkan pejabat.


𝗕𝗲𝗿𝗶𝗸𝘂𝘁 𝗮𝗱𝗮𝗹𝗮𝗵 𝘀𝘂𝘀𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗿𝗶𝘀𝘁𝗶𝘄𝗮 𝗺𝗲𝗻𝗴𝗶𝗸𝘂𝘁 𝗴𝗮𝗿𝗶𝘀 𝗺𝗮𝘀𝗮:


𝟮𝟴 𝗙𝗲𝗯𝗿𝘂𝗮𝗿𝗶 – YAB Presiden menasihatkan supaya tidak ada pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden di pelancaran bersama Mesyuarat Agung Tahunan PKR Selangor. Beliau meminta saya diberi laluan mudah.


𝟴 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – YAB Presiden meminta saya kekal bertanding sebagai Timbalan Presiden. Beliau hadir ke acara rumah terbuka Kementerian Ekonomi.


𝟭𝟯 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Pemilihan cabang berlangsung bagi minggu kedua. Keputusan pelik (termasuk badan tanpa kepala, undi hilang) memuncak dan pola keputusan menunjukkan sesuatu tidak kena.


𝟮𝟭 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Sdr Saifuddin Nasution Ismail datang berjumpa di pejabat saya dan kami berbincang lebih 4 jam. Saya maklumkan ada gerakan yang mahu saya tidak lagi menjadi Timbalan Presiden. Saya maklumkan saya terbuka untuk tidak bertanding, sekiranya itu menghentikan kekacauan yang berlaku. Saya nyatakan tidak ada keperluan untuk menggoncang kestabilan parti dan kerajaan hanya untuk mengeluarkan saya. Saya juga akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi kerana prinsipnya mestilah pimpinan parti yang dipilih yang menganggotai Kabinet.


𝟮𝟮 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Saya berjumpa YAB Presiden. Saya nyatakan perkara yang sama kepada beliau. Beliau tidak bersetuju. Beliau memaklumkan aduan-aduan mengenai sistem dan keputusan di peringkat cabang akan dibincangkan di dalam MPP Khas yang telah dipanggil keesokan hari.


𝟮𝟯 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – MPP Khas berlangsung dalam keadaan tegang dan menemui jalan buntu. Mesyuarat berakhir tanpa ada sebarang persetujuan yang jelas mengenai aduan-aduan. 


𝟮𝟰 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Oleh kerana tiada jalan penyelesaian yang jelas diputuskan oleh MPP Khas, saya membuat keputusan mengambil cuti untuk berjumpa seberapa banyak cabang yang tidak berpuas hati. Surat memohon bercuti dihantar kepada YAB Presiden. Surat hanya memohon cuti, tidak timbul soal meletak jawatan atau tidak bertanding kerana saya akur dengan permintaan YAB Presiden sebelum itu untuk saya kekal bertanding.


𝟮𝟴 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – YAB Presiden menelefon dan mohon berjumpa. Saya mohon untuk saya selesaikan perjumpaan saya dengan akar umbi dan bersetuju berjumpa pada 30 April.


𝟮𝟵 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – MPP bersetuju untuk mengadakan audit bebas ke atas sistem dan keputusan pemilihan di peringkat cabang, untuk mengatasi masalah defisit kepercayaan kepada sistem menjelang pemilihan pusat.


𝟯𝟬 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Saya berjumpa YAB Presiden. Beliau sekali lagi mengulangi permintaan untuk saya mempertahankan Timbalan Presiden dan kekal dalam kabinet. Saya menyatakan pandangan saya bahawa sesiapa yang menang Timbalan Presiden mestilah mewakili parti dalam kabinet dan saya wajar menarik diri jika kalah. Jika tidak, PKR dilihat tidak berbeza dari parti lain yang berkisar mengenai kedudukan dalam kerajaan.


𝟲 𝗠𝗲𝗶 – Kenyataan-kenyataan media yang disusun oleh individu tertentu (sebahagiannya adalah Setiausaha Politik PM sendiri) mula keluar untuk menunjukkan saya ditolak ketua cabang dan pimpinan kerajaan dari PKR. Kenyataan-kenyataan ini menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah.


𝟳 𝗠𝗲𝗶 – Dalam satu kenyataan media, saya mengesahkan saya akan bertanding dan mengalu-alukan penyertaan calon lain.


𝟵 𝗠𝗲𝗶 – Penamaan calon bagi jawatan Timbalan Presiden. Nurul Izzah tetap bertanding walaupun tahu bahawa saya akan mempertahankan jawatan.


𝟭𝟬 𝗠𝗲𝗶 – Kempen HIRUK bermula.


𝟭𝟵 𝗠𝗲𝗶 – Saudara Saifuddin memohon untuk saya pertimbangkan permintaan Nurul Izzah untuk berjumpa dengan saya. 


𝟮𝟬 𝗠𝗲𝗶 – Saya berjumpa Nurul Izzah dan Saifuddin di rumah Saifuddin. Inti pati perbincangan akan saya ulas di perenggan seterusnya.


Saya ingin nyatakan bahawa saya tidak pernah mendraf surat meletak jawatan, atau menyatakan tidak akan bertanding. Alasan yang diberikan konon Nurul Izzah masuk bertanding untuk menyelamatkan parti akibat kekosongan jawatan adalah tidak benar. Saya telah umumkan terlebih dahulu saya akan mempertahankan jawatan seperti yang diminta oleh YAB Presiden sendiri.


Saya juga tidak pernah berkemas untuk mengosongkan pejabat. Pejabat saya masih kekal bersepah dengan fail-fail hingga ke hari ini. Selepas bercuti selama 4 hari untuk berjumpa dengan akar umbi, saya kekal menjalankan tugas menteri seperti biasa.


Jika benar Nurul Izzah bimbangkan kekosongan jawatan Timbalan Presiden, Saudara Saifuddin boleh sahaja bertanding sebagai timbalan. Lebih mudah, Nurul Izzah boleh berhubung dengan saya untuk mengesahkan, seperti mana beliau sering berhubung di tahun-tahun 2021 dan 2022 untuk memujuk saya kembali aktif ke arah persediaan PRU2022.


Dalam pertemuan terakhir pada 20 Mei, Nurul Izzah sekali lagi merayu kepada saya untuk membantunya selepas pemilihan parti. Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya. Saya nyatakan di awal perjumpaan saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan.


Alasan yang diberikan ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada YAB Presiden dan parti. Secara jelas, beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat mereka, rekod mereka, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti.


Inilah sebenarnya jawapan kepada soalan “Ada Apa Dengan Hiruk?”


Saya tidak pandai bermuka-muka. Saya diketahui di dalam dan luar parti yang saya tidak selesa dengan beberapa kumpulan, yang pada pandangan saya, tidak menggambarkan reformasi politik yang dibawa PKR. Amalan mereka banyak berkisarkan wang dan keghairahan mereka untuk mendapatkan jawatan bertentangan dengan janji reformasi yang dibawa parti.


Saya konsisten menolak mereka. 


Atas alasan ini, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon-calon yang tidak mengamalkan perkara yang sama.


Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan-amalan ini secara terbuka.


Akhirnya, setelah kumpulan-kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baru PKR, saya juga yang dirayu untuk melawan mereka di dalam parti.


Jika Nurul Izzah bimbang mengenai amalan mereka, Nurul Izzah sepatutnya tidak bersekongkol dengan mereka demi untuk menang jawatan Timbalan Presiden.


Insya Allah, tanggungjawab itu menjadi tanggungjawab beliau selepas ini. Allah dan rakyat akan menghakimi kita, melangkaui jeritan reformasi kita di dalam kempen.


Saya bersyukur saya telah melakukan yang terbaik untuk melepasi ujian kuasa kali pertama ini.



No comments: