SELALU SANGAT BERLAKU TAK SUKA KE CALON BAGAI...

 

Calon PKR digugurkan dakwa kemungkinan berlaku undi protes di Satok



Ketua Wanita PKR Cabang Petra Jaya Nor Dahlia Esapian Eyaw, mendakwa punca penggugurannya berkait dirinya muflis, namun beliau menegaskan dirinya tidak muflis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok Nor Irwan Ahmad, berkemungkinan berdepan undi protes pada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, 18 Dis.

Tindakan itu dipercayai berpunca daripada pertukaran calon saat akhir bagi bertanding di kerusi berkenaan.

Ketua Wanita PKR Cabang Petra Jaya Nor Dahlia Esapian Eyaw, mendakwa dinamakan pada awalnya untuk bertanding di kerusi berkenaan sebelum digantikan pada saat akhir dengan Nor Irwan.

“Ya, saya memang sedih malah semua ahli keluarga, jentera parti dan pengundi memprotes serta mungkin tidak mengundi.

“Saya minta maaf kerana tidak akan membantu Nor Irwan berkempen. Terpulang kepada pengundi untuk memilih siapa yang difikirkan layak,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Nor Dahlia mendakwa belum mendapat penjelasan berhubung penggugurannya, namun hanya dimaklumkan ada kaitan dengan isu muflis.

Menegaskan dirinya tidak muflis, beliau memaklumkan sudah menyerahkan semua bukti berkaitan kepada kepimpinan parti.

“Saya bersih, merdeka dan bebas daripada sebarang sabitan jenayah dan kebankrapan,” katanya.

Pada PRN Sarawak kali ini, DUN Satok menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Nor Irwan, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Ibrahim Baki dan Awang Badele Awang Ali daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Kerusi DUN Satok sebelum ini disandang oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, selama lapan penggal namun memilih bertanding di DUN Gedong pada PRN kali ini.

No comments: