NAJIB SUDAH PATUT BERSARA, LEBIH BAIK BERSEDIA DARIPADA SEKARANG UNTUK LALUI KEHIDUPAN SUNYI

 


Dalam kes SRC International, Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi di penghakimannya pada 28 Julai lalu.

Di peringkat Mahkamah Rayuan semalam, tiga hakim sebulat suara mengekalkan keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi tersebut.

Ini bermakna, selain hukuman denda dan penjara itu dikekalkan, setakat ini empat hakim telah mengesahkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram yang dilakukan Najib berdasarkan fakta dan keterangan yang dibentangkan di mahkamah.

Najib kini hanya ada satu peluang lagi untuk memperjuangkan nasibnya iaitu di Mahkamah Persekutuan di mana kali ini lima hakim akan mendengar rayuan terakhirnya.

Tetapi, berdasarkan hujahan tiga hakim di Mahkamah Rayuan semalam, boleh dikata semua aspek utama berkaitan kes SRC International itu telah diberi jawapan dengan fakta dan logik yang jelas.

Kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan, penasihat emeritus SRC International, bagaimana pinjaman KWAP diperolehi, kemasukan dana RM42 ke akaun peribadinya, sikap Najib setelah mengetahui ada wang tersebut dalam akaunnya, bagaimana wang itu dibelanjakan, ketidaklogikan dikaitkan dengan derma Arab dan pelbagai lagi semuanya telah dihujahkan dengan jelas serta sempurna.

Seolah-olah penghakinan semalam yang menolak rayuan Najib itu telah menutup semua “lubang angin” yang membolehkan ia terus diragui.

Sebab itu, masyarakat dapat menerima dengan baik keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib, seterusnya mengekalkan hukuman yang diterimanya.

Meneliti segala hujahan itu dan jika memandang ke hadapan, ternampak amat sukar untuk Najib mampu melepasi rayuan di Mahkamah Persekutuan yang akan dihakimi lima hakim nanti.

Hanya keajaiban yang luar biasa ternampak mampu membolehkannya bebas daripada hukuman ini, itu belum lagi diambil kira kes 1MDB yang masih berjalan perbicaraannya.

Jika 307 alasan rayuan yang dikemukakannya di Mahkamah Rayuan pun tidak mampu meyakinkan tiga hakim, apakah beliau mampu menyediakan 500 alasan lain di Mahkamah Persekutuan yang mempunyai lima hakim?

Dalam kata mudah, seumpana jika empat orang sudah mengesahkan sehelai baju itu berwarna merah, maka tentulah sangat mustahil untuk lima orang yang lain mengatakan baju tersebut bukan berwarna merah.

Dalam hal ini, memandangkan rayuannya dijangka akan didengar di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh kira-kira setahun daripada sekarang, adalah lebih baik Najib pada ketika ini dan mulai sekarang melupakan segala hal lain, kecuali hanya memikirkan tentang nasib dirinya.

Langkah paling terpuji yang patut diambilnya ialah mengumumkan bersara daripada politik dan berhentilah bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri lagi.

Lagi pun, jawatan Perdana Menteri sudah pernah didudukinya dan kini pemimpin UMNO sendiri sudah berada di situ, lalu untuk apa lagi beliau mahu mengejarnya?

Lupakan semua itu dan lebih baik bersiap sedia dari segi mental dan rohani untuk melalui kehidupan baru yang sunyi, terpisah dan bersendirian yang bakal dilaluinya.

Terus sibuk dengan politik, apalagi kalau masih berterusan mahu mengejar semula jawatan Perdana Menteri, semua itu hanya akan menjadikan laluan hidupnya tambah serabut dan meresahkan jiwanya sendiri. – 

ShahbudinHusin 09/12/2021.



No comments: