Selepas mengaibkan negara, Najib tidak harus lagi diberi penangguhan hukuman

 


Secara umumnya keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib Razak yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini diterima dengan baik dan tanpa kesangsian oleh masyarakat pelbagai lapisan.

Dalam keputusan pagi semalam, tiga hakim sepakat dan sebulat suara mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh hakim Mahkamah Tinggi atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Ketika itu, SRC International adalah anak syarikat 1MDB sebelum ia kemudian dipindah milik kepada Kementerian Kewangan.

Kecuali bagi Najib dan penyokong tegarnya, semua yang lain boleh dikatakan menerima kewajaran dan kemunasabahan hujah-hujah hakim berkaitan kes tersebut.

Bagi mereka, keputusan hakim menolak alasan Najib bahawa beliau tidak mengetahui wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya, malah tidak tahu ia bersumberkan daripada SRC International, adalah amat logik dan munasabah sekali.

Begitu juga dengan keputusan hakim menolak bahawa wang tersebut adalah sumbangan daripada keluarga Diraja Arab Saudi.

Lagi pun, kata rata-rata mereka, Najib terlihat bebas membelanjakan wang tersebut, termasuk membeli barangan mewah dan mahal untuk kegunaan peribadi di butik-butik mewah di luar negara.

Maka, mengekalkan hukuman bersalah terhadap bekas Perdana Menteri itu bukan saja diterima dengan baik, malah tiada apa-apa yang mengejutkan masyarakat.

Masyarakat mungkin amat terkejut jika keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi adalah sebaliknya.

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Najib kekal sebagai orang yang bersalah dan beliau kini hanya ada satu peluang lagi untuk membebaskan dirinya iaitu merayu di Mahkamah Persekutuan.

Mengambil kira kes Anwar Ibrahim yang mengambil masa 11 bulan antara Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Najib bolehlah berharap tempoh sekurang-kurangnya setahun daripada sekarang untuk rayuannya didengar di mahkamah tertinggi itu.

Cuma, yang menjadi rungutan sesetengah pihak ialah kerana Mahkamah Rayuan masih membenarkan penangguhan hukuman sementara rayuannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Ada yang berpendapat Najib tidak seharusnya lagi diberikan penangguhan hukuman, sebaliknya mesti menjalani hukuman sebagaimana disabitkan sehingga rayuannya itu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Tambahan pula, jika hanya kira-kira setahun daripada sekarang saja rayuannya akan didengar, meletakkan Najib dalam penjara menjalani hukuman sementara rayuannya didengar adalah suatu kemunasabahan yang logik berdasarkan kesalahan yang telah dilakukannya serta sebagaimana kata hakim perbuatan itu memalukan negara.

Kalau ditolak rayuannya nanti, maka beliau terus sajalah menyambung hukumannya, manakala jika rayuannya diterima, setidak-tidaknya ada jugalah hukuman dunia yang diterimanya.

Tetapi, dengan penangguhan yang diberikan itu, Najib kini seolah-olah seorang yang tidak bersalah dan bebas melakukan banyak perkara dalam hidupnya, termasuk berkempen, berpolitik dan bergebang di media sosial.

Dan jika rayuannya diterima di Mahkamah Persekutuan nanti, maka beliau akan bebas sepenuhnya dan tidak pernah sama sekali menerima hukuman atas kesalahan dan sabitan yang telah dijatuhkan mahkamah terhadapnya.

Adakah adil begitu? Itu tanya sebahagian mereka yang saya sempat berbual-bual dengan mereka.

No comments: