Bukan Najib saja didakwa, tetapi sistem negara dan ‘diri kita’ juga dibicara, kata Zaid Ibrahim

 

Zaid Ibrahim berkata, kes Najib tidak membuahkan keadilan sepenuhnya yang diharapkan oleh rakyat kerana pelbagai pihak lain tidak dibawa ke muka pengadilan.

PETALING JAYA: Pendakwaan terhadap Najib Razak yang disabit atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah, dan terbabit pengubahan wang bukan sahaja melibatkan bekas perdana menteri itu, tetapi juga sistem negara dan rakyat seluruhnya, menurut seorang bekas menteri.

Zaid Ibrahim mengingatkan bahawa arahan berunsur jenayah daripada pemimpin tidak akan terlaksana jika orang bawahan mempunyai integriti dan berani menegur kesalahan itu.Berkenaan pemindahan RM42 juta ke akaun yang dikaitkan dengan Najib, Zaid berkata “arahan berkenaan tidak akan dilaksanakan jika penjawat awam kanan di Kementerian Kewangan dan GLC seperti SRC mempunyai integriti.

“Mereka akan mengingatkan perdana menteri ketika itu bahawa tindakan itu salah dan satu jenayah, namun mereka tidak berbuat demikian,” katanya.

Zahid berkata arahan seumpama itu juga tidak akan terlaksana sekiranya penjawat “yang mempunyai nilai moral yang keji tidak memegang jawatan tinggi,” tambah beliau.

Beliau berkata kes Najib tidak membuahkan keadilan sepenuhnya yang diharapkan oleh rakyat kerana pelbagai pihak lain tidak dibawa ke muka pengadilan walaupun terpalit dengan tuduhan rasuah melibatkan 1MDB.

Antara lain, beliau merujuk kepada laporan ahli keluarga bekas Gabenor Negara Zeti Akhtar Aziz menerima ratusan juta ringgit dalam dana yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dan ahli perniagaan yang diburu polis Low Taek Jho atau Jho Low.

“Apabila seseorang (Najib) yang (didakwa) menerima RM42 juta dipenjarakan selama 12 tahun tetapi mereka yang terima ratusan juta tak pun disentuh, itu bukan keadilan namanya,” kata Zaid.

Zaid menyifatkan tindakan yang membawa kepada pemenjaraan orang tertentu, setelah mereka tidak lagi berguna atau membantu mengisi cita-cita politik pihak tertentu, ibarat melaksanakan hukuman terpilih.

“Nampaknya, apa yang kita mahu ialah penjarakan orang tertentu dan bukannya semua orang yang langgar undang-undang,” katanya.

“Ini yang memualkan saya…sekiranya Umno dan Barisan Nasional kesal akan apa yang berlaku pada Najib, maka mereka haruslah berjanji akan mengubah institusi kita sepenuhnya.

“Mereka mesti faham akan nilai kejujuran dan integriti dalam penjawat awam dan sekutu politik, kerana hanya insan yang baik boleh tegakkan keadilan dan kesaksamaan untuk semua,” kata beliau.

Justeru Zaid menggesa Umno menilai semula kerjasama dengan pihak yang tiada integriti mahupun kesetiaan dan tidak sekadar berniat memperolehi kuasa semata-mata.

“Mereka (Umno) tak habis-habis bercakap tentang perpaduan umat untuk menarik sokongan PAS, walaupun ‘umat’ itulah nanti yang akan menyebabkan mereka masuk penjara suatu hari nanti,” katanya

Katanya, sekiranya Umno mahu menjadi parti yang benar-benar cintai negara, maka ia harus mengubah cara ia berpolitik, dengan mengutamakan nilai-nilai yang betul dan mengangkat orang-orang yang amanah sebagai pemimpin.

Hanya apabila Umno berubah, katanya, “pendakwaan terhadap Najib akan membawa erti, dan menjadi pengajaran berguna untuk masa depan”

No comments: