Apa kelebihan anak Shahrizat Jalil dilantik sebagai pengarah di MDEC

 



Pelantikan Izzana Salleh sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menimbulkan kontrovesi kerana kaitan anak kepada bekas Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil, itu dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC) sebelum ini.

Ahli Parlimen Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH - Wangsa Maju) berkata, isu tersebut perlu dijelaskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menghindari kegelisahan rakyat.

"Tetapi sehingga kini saya tidak melihat sebarang maklum balas daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia tentang isu ini.

"Saya digesa pengundi saya di Wangsa Maju membangkitkan soalan ini di Parlimen kerana ini bukan sahaja melibatkan integriti MDEC dan Kementerian, tetapi pembangunan masa depan GLC yang telah diamanahkan memimpin ekonomi digital Malaysia ke hadapan.

"Soalan berkaitan yang ditanya semua pihak tetapi yang masih enggan dijawab Menteri ialah mengapakah MDEC melantik seseorang yang disaman oleh kerajaan dalam kes NFC yang melibatkan penyalahgunaan dana RM 250 juta, dan bukan itu sahaja, dia juga telah disaman oleh Maybank Singapura pada Julai tahun ini setelah didakwa gagal membayar dua pinjaman perumahan," katanya dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat.

Menurut Dr Tan, isu utama bukanlah mengenai sah atau tidak pelantikan Izzana di sisi undang undang tetapi lebih kepada prinsip urustadbir yang baik telah tidak dilaksanakan oleh kerajaan BN.

"Pelantikan ini akan menghantar mesej yang salah kepada pelabur dalam dan luar negara dan juga kepada golongan muda

"Banyak pihak turut mempersoalkan kelayakannya dalam memberikan pendapat profesional dalam sektor digital

"GLC memerlukan kepakaran dan idea daripada sektor swasta untuk lebih berkembang dan berdaya saing dalam industri. Oleh itu, pemimpin sektor swasta bagi industri tertentu yang mempunyai pengetahuan mendalam dan pengalaman luas amat dialu-alukan menyertai GLC sebagai ahli lembaga pengarah.

"Namun pelantikan Izzana jelas tersasar dari objektif ini. Izzana dalam usia 30-an tidak memiliki rekod menjalankan perniagaan dengan mana-mana syarikat yang berjaya. Syarikatnya, Rise Human Capital telah diperbadankan hanya pada Januari tahun ini dengan modal berbayar hanya RM 1000. Beliau merupakan pemilik tunggal dan juga Pengarah syarikat.

"Bolehkah YB Menteri memberitahu dewan, bagaimanakah dia dapat menyumbangkan kepakarannya kepada MDEC?" tanya Dr Tan.

Tambahnya, Izzana bukan sahaja dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah MEDC, beliau juga merupakan ahli Lembaga Pengarah TalentCorp dan menganggotai panel pelaburan PERKESO.

Berjuta-juta dana kerajaan dikendalikan oleh GLC-GLC tersebut. Dan dalam kes PERKESO, kata Dr Tan, yang mempunyai aset bernilai 31.4 bilion, ditubuhkan bagi menyediakan perlindungan kepada jutaan pekerja di negara ini.

"Oleh itu, pihak yang mempunyai kuasa melantik ahli lembaga agensi kerajaan dan badan berkanun perlulah sangat berhati-hati kerana pelantikan ini merupakan tanggungjawab kepada rakyat dan di bawah pengawasan rakyat.

"Rakyat sedang marah. Saya membangkitkan persoalan pelantikan Izzana di sini untuk memberi peluang kepada Menteri memberi justifikasi.

"Saya juga menggesa kerajaan untuk melihat kepincangan dan kelemahan dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarah semua GLC untuk memastikan hanya individu yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang betul, dan yang boleh menyumbang kepada pembangunan GLC sahaja yang dilantik. Janganlah pelantikan GLC itu dijadikan sebagai “Political favour”," kata beliau lagi.

 

No comments: