Kerajaan Persekutuan harus menetapkan kriteria dan strategi implementasi yang jelas untuk memastikan kelancaran dos ketiga dan suntikan penggalak Covid-19.
Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, ini terutama apabila dijangkakan 8.75 juta rakyat yang akan menerima dos ketiga atau dos penggalak tersebut.
Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut menambah, program pelancaran harus dirancang dengan teratur, spesifik dan dikoordinasi dengan baik dalam kalangan semua yang terlibat.
Menurutnya, ini termasuk pengamal am swasta yang ditugas untuk mengendalikan suntikan penggalak bagi semua petugas barisan hadapan dan warga emas
“Namun begitu, kita harus berhati-hati (susulan) dengan kenyataan rasmi Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) yang menyatakan bahawa belum terdapat penglibatan yang betul dari jabatan kesihatan negeri yang masih sepi dalam program dos ketiga dan suntikan penggalak ini.
“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita harus mempelajari dari kesilapan lepas termasuk penglibatan pengamal am swasta pada minit-minit terakhir,” katanya hari ini.
Jawatankuasa itu seterusnya menyeru agar Kementerian Kesihatan memperjelaskan strategi kementerian termasuk:
- Jangka masa yang jelas implementasi ke seluruh negara;
- Definisi dan kategori yang jelas kelayakan untuk dos ketiga dan suntikan penggalak;
- Strategi usaha mendidik kepentingan dos tambahan kepada semua yang layak dan memastikan tiada yang ketinggalan dalam program pelancaran itu;
- Melibatkan pengamal am di peringkat awal dan menyediakan strategi pelancaran yang jelas untuk memastikan program pelan dos ketiga dan vaksin penggalak itu adalah pantas dan efisien
- Meluluskan vaksin heterologi dengan dos penggalak secepat mungkin, berdasarkan kepada data global yang nyata.
Dalam kenyataan sama, Jawatankuasa Kesihatan PH menyatakan sokongan terhadap keputusan k erajaan melancarkan dos ketiga dan suntikan penggalak Covid-19 kepada yang layak.
Kenyataan itu memberitahu, usaha-usaha klinikal menunjukkan keputusan-keputusan yang menyakinkan termasuk kajian-kajian yang dijalankan di Germany, Sepanyol, Taiwan, Sweden dan United Kingdom dalam ‘Kesan dari Imunisasi Heterologi dengan Penggalak Utama Vaksin Covid-19 terhadap SARS-Cov-2’.
“Mereka menunjukkan keputusan-keputusan yang positif termasuk tahap netralisasi antibodi yang bertambah dibandingkan dengan vaksin homologi. Rejimen penggalak utama heterologi dengan vektor adenovirus juga penambahbaikkan respon-respon ‘Th1-biased T cell’,” katanya.