Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) membidas Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan menggunakan pendekatan mengugut golongan antivaksin dengan undang-undang.
Katanya, beliau perlu bertegas mengenai isu antivaksin sehingga sanggup digelar “dajjal”.
“Panggillah saya dajjal atau apa saja. Maaf saya harus bertegas dengan isu ini,” katanya di Twitternya dengan yang menyiarkan keratan video Anwar.
Dalam pada itu, Khairy berkata kerajaan akan terus memberi penerangan mengenai keberkesanan vaksin Covid-19.
Beliau menafikan kerajaan tidak cukup beri penerangan mengenai vaksin.
“Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul.
“Kita dah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin Covid-19 dari awal lagi. Dan kita terus memberi penerangan,” katanya.
Dalam keratan video yang turut dikongsi Khairy, Anwar berkata walaupun tidak menyokong antivaksin tetapi percaya mereka yang tidak mahu menerima vaksin juga mempunyai hujah yang kuat.
“Jadi kita jawab dengan hujah. Kadang-kadang mereka pun ada hujah yang kuat juga. Mereka bagi hujah saintifik. Kita bawa hujah saintifik yang lebih ‘credible’ dan lebih kuat untuk mematahkan hujahnya,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan anti vaksin di negara dan berharap tindakan pantas dapat dilakukan seperti menyiasat dan mendakwa mereka jika perlu.