PETALING JAYA: Ahli politik yang menang dalam pilihan raya sebelum ini dengan memancing isu perkauman dan agama mungkin mengalami kejutan apabila 5.6 juta pengundi baharu akan bersuara pada pilihan raya akan datang, kata aktivis belia Adam Adli.
“Masalah perkauman dan agama bukanlah cara untuk memenangi hati para belia. Kami mencari ahli politik yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk kami,” katanya kepada FMT.
Adam mengakui belum ada kajian dibuat mengenai pilihan politik pengundi muda berusia 18 tahun ke atas, namun komen di media sosial dan perbincangannya dengan kumpulan belia menunjukkan mereka mungkin menjauhkan diri daripada ahli politik yang memperjuangkan kaum dan agama.
Katanya, orang muda terlalu lama berada di dalam rumah kerana sekatan Covid-19 dan kehilangan peluang mendapatkan pendidikan dan pekerjaan. “Mereka tidak mahu ahli politik yang berfikiran konservatif,” katanya.
Sejumlah pengundi baharu akan berada dalam daftar pemilih pada pilihan raya umum akan datang kerana kerajaan telah bersetuju mempercepatkan pelaksanaan inisiatif Undi18 bagi menurunkan usia pengundi menjadi 18 dan untuk menyediakan pendaftaran pemilih automatik.
Pemerhati politik mengharapkan pilihan raya umum akan diadakan tahun depan, walaupun penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada 2023, berikutan ketidaktentuan politik yang mengakibatkan perubahan dua kerajaan dalam tempoh dua tahun.
Adam berkata, anak muda aktif di media sosial dan mengkritik ahli politik yang mengabaikan keperluan mereka. Mereka mahu suara mereka didengari. Namun, mereka tidak mungkin menolak ahli politik lebih tua “selagi mereka tidak konservatif dan boleh memenuhi keperluan belia.”
Pada 2014, Adam dijatuhi hukuman penjara setahun kerana memberikan ucapan yang mendesak orang ramai untuk mengadakan demonstrasi jalanan terhadap keputusan pilihan raya pada 2013. Pada tahun berikutnya dia dituduh mengambil bahagian dalam perhimpunan haram tetapi dibebaskan tiga tahun kemudian.
Undi18 mengubah keadaan
Penganalisis politik Kenneth Cheng berkata, Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik adalah pengubah keadaan kerana mereka yang dilahirkan pada 2003 akan layak untuk memilih dan mungkin tidak dapat menerima ahli politik yang sering menimbulkan perselisihan antara kaum.
Cheng yang juga seorang anggota Agora Society, sebuah jaringan intelektual berkata, ahli politik yang lebih tua yang gagal memahami golongan muda cenderung untuk disingkirkan.
Beberapa masalah yang menjadi perhatian pengundi muda adalah yuran pengajian di kolej atau universiti, peluang pekerjaan, perumahan dan masalah alam sekitar yang semakin teruk.
Beliau berkata, sebelum ini ahli politik boleh menaikkan yuran pengajian pada masa sama memastikan warga tua gembira dengan pencen yang lebih tinggi, tetapi sekarang mereka perlu menyeimbangkan antara kedua-duanya.
Seorang lagi penganalisis Oh Ei Sun, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, ahli politik mungkin tidak selesa dengan pengundi yang lebih muda kerana ramai di antara mereka tidak berpuas hati dengan situasi politik yang ada selepas 2018.
Pakatan Harapan telah diundi dengan harapan tinggi bahawa mereka akan melakukan pembaharuan tetapi secara tidak sengaja disingkirkan dari Putrajaya.
Oh berkata, Umno dan PAS mempunyai jentera pilihan raya yang hebat untuk menarik pengundi baharu dan mendorong mereka yang telah didaftarkan secara automatik untuk keluar mengundi.
Umno mempunyai “sumber” untuk terus disalurkan ke kawasan pilihan raya mereka, sementara “yang penting bagi PAS adalah kesinambungan membentuk pemikiran pemilih muda dan tua untuk terus menyokong visi teokratik mereka untuk negara,” katanya kepada FMT.
Katanya, ahli politik akan berusaha untuk bersikap baik terhadap pengundi mereka yang lebih muda dengan berusaha memenuhi keperluan golongan muda atau dengan melakukan tekanan ke atas pemikiran mereka.