Astro Awani
Ogos 15, 2021
Kata Mohd Azizuddin, Muhyiddin masih menjadi Presiden Bersatu dan Pengerusi PN sekiranya beliau meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: 'Kingmaker' (penentu) kerajaan baharu akan bergantung kepada perubahan sokongan sesebuah parti politik kepada seorang tokoh yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri nanti.
Bagaimanapun Pensyarah Kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan, pada masa kini mungkin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) masih dikira dalam blok besar pemerintahan negara.
"Jadi sekarang ini melihat mungkin Muhyiddin ada 100 (Ahli Parlimen), kemungkinan UMNO yang kembali dan memilih seorang calon perdana menteri, tetapi mungkin Bersatu tidak setuju. Jadi mungkin ada polemik di situ.
"Di pihak pembangkang juga sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terbanyak, setakat ini saya nampak solid dalam PH untuk itu dan malah ada yang melompat sebelum ini ingin kembali kepada PH tetapi masih lagi tidak cukup majoriti tersebut.
"Jadi itu perlukan konfigurasi baharu daripada Sarawak atau mana-mana dalam PN yang menyokong Anwar, barulah boleh menjadi perdana menteri. Kalau tidak saya rasa sukar mencari jumlah yang sebenar siapa yang sesuai untuk menjadi perdana menteri," katanya semasa sidang maya pada Ahad.
Sebelum ini kedudukan kerajaan PN dikatakan tidak mendapat majoriti dengan hanya 100 Ahli Parlimen yang menyokongnya di dalam PN.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen yang menyokong Anwar pula dikatakan 89, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (15), dan lain-lain termasuk Warisan dan Pejuang (16).
Dalam pada itu kata Mohd Azizuddin, Muhyiddin masih menjadi Presiden Bersatu dan Pengerusi PN sekiranya beliau meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri.
Jelasnya, Muhyiddin juga memegang peranan besar untuk menentukan siapa penggantinya sekiranya memperoleh keputusan dalam pembentukan kerajaan baharu.
Tambahnya, dalam situasi sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri dilihat calon sesuai untuk menjawat jawatan berkenaan bergantung kepada suasana harmoni dalam UMNO untuk menerimanya.
Bagaimanapun ia perlu juga mendapat sokongan rakan sekutu dalam PN namun jika sebaliknya, wakil UMNO masih tidak mampu untuk menjadi perdana menteri.