Mahiaddin tiada pilihan; beliau perlu letak jawatan sekarang

 

Tanpa majoriti, kedudukannya tidak lagi dapat dipertahankan, apatah lagi beliau sudah pun hilang keabsahannya


Perdana Menteri Mahiaddin Yasin mengaku di dalam siaran nasional bahawa beliau tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Ia sekaligus meninggalkan beliau dengan dua pilihan: letak jawatan atau bubar Parlimen.

Tanpa majoriti, kedudukannya tidak lagi dapat dipertahankan, apatah lagi beliau sudah pun hilang keabsahannya.

 Dengan pandemik ini, pembubaran Parlimen bukanlah sesuatu yang senang, tambahan pula dengan apa yang berlaku ketika pilihan raya negeri Sabah tahun lalu.

Semuanya di luar jangkauan Mahiaddin sekarang. Beliau bukan lagi di dalam kedudukan untuk menawarkan ‘dedak’ bagi menarik Ahli Parlimen pembangkang bagi menyebelahinya untuk memastikannya kekal berkuasa.

Langkah reformasi yang dicadangkan ketika siaran semalam cukup meyakinkan. Namun, beberapa siri siasatan ke atas aktivis dan pengkritik sungguh tidak meyakinkan bahawa pentadbirannya komited kepada norma dan reformasi demokratik.

Beliau mempunyai cukup banyak masa bagi memastikan ‘perjanjian keyakinan dan pembekalan’ dapat dijalankan dengan Ahli Parlimen lainnya. Namun, semuanya sudah terlambat. Panggilannya untuk semua parti politik bersatu, kononnya atas kepentingan negara, bukanlah sebuah tawaran yang baik, sebaliknya nampak seperti usaha menyelamatkan mereka yang akan kehilangan kuasa.

Peluang sepatutnya diberikan kepada kerajaan baru untuk menggubal sebuah rangka reformasi yang luas, yang lebih mendalam dari apa yang dicadangkan Mahiaddin. Parti pembangkang sepatutnya berganding bahu dan menawarkan alternatif progresif dan boleh dijalankan bagi mengurangkan beban rakyat dan membawa negara maju ke hadapan. Keutamaan adalah bagi meredakan krisis Covid.

Ia sesuatu yang ironi dan memandai-mandai bagi Mahiaddin untuk mengatakan bahawa PM baru tidak dapat dilantik kerana tiada orang yang mempunyai majoriti sekarang – kerana beliau sendiri dilantik tanpa perlu membuktikan sokongannya di Parlimen. Beliau bukanlah orang yang betul untuk memutuskan siapa yang ada (atau tiada) majoriti sokongan di kalangan Ahli Parlimen.

Beliau sepatutnya letak jawatan dengan segala maruah dirinya yang tersisa, beriringan dengan ketetapan perlembagaan.

Jawatankuasa eksekutif Aliran
14 Ogos 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

No comments: