AGAR KEKAL JADI MENTERI LAGI, BERSATU MAHU TONJOLKAN ISMAIL SABRI CALON PERDANA MENTERI

 

Selepas Mahiaddin Md Yasin meletak jawatan esok, persoalan yang akan menghangatkan lagi atmosfera politik negara dalam fasa berikutnya ialah siapa Perdana Menteri baru untuk menggantikan Presiden Bersatu itu?

Meskipun kuasa sebenar terletak di atas budi bicara dan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong dalam membuat pilihan berdasarkan siapa Ahli Parlimen yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti, tetapi lobi-melobi dan merancang sesuatu tentu saja tidak dapat dielakkan.

Apabila Mahiaddin meletak jawatan, bukan saja kabinet terbubar, malah era kerajaan PN juga dikira bakal berakhir.

Tambahan lagi, kedudukan majoriti kerajaan PN itu memang menjadi pertikaian sejak sekian lama.

Keabsahan Mahiddin dan kerajaan PN tambah diragui setelah 15 Ahli Parlimen UMNO mengumumkan penarikan sokongan mereka di mana surat akuan berkenaan dengannya telah pun dihantar ke Istana Negara.


Meskipun Mahiaddin cuba bertahan dengan pelbagai strategi dan helah, termasuk mengemukakan tujuh tawaran yang sebahagiannya bersifat rasuah politik, namun oleh kerana ia ditolak pembangkang, Ahli Parlimen Pagoh itu akhirnya tiada pilihan lain lagi.

Berikutan itu, dalam perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin PN semalam, Mahiaddin mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan kerana beliau tidak sedia berdepan pembukaan Parlimen pada 6 September depan dalam keadaan tiada sokongan majoriti di belakangnya.

Semalam juga, selepas saja Mahiaddin mengumumkan hasratnya untuk meletak jawatan dan ia dijadual dilakukan esok selepas beliau menghadap Agong, sudah ada kumpulan tertentu dalam Bersatu yang pro Perdana Menteri mengadakan perjumpaan di Putrajaya.

Tujuan utama perjumpaan itu tidak lain selain memikirkan apa jadi kepada mereka selepas ini dan masih boleh lagikah mereka kekal sebagai menteri atau timbalan menteri setelah ketiadaan Mahiaddin nanti?

Pelbagai pandangan dikatakan diberikan oleh beberapa menteri dan timbalan menteri dalam perjumpaan tersebut, tetapi kesimpulan akhirnya ialah mereka cenderung untuk terus berusaha sedaya upaya mengekalkan lagi PN sebagai kerajaan.

Oleh kerana Ismail Sabri Yaakob telah duduk sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menghormati hireaki, nama beliau kini dijadikan sandaran untuk ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri baru kerajaan PN.

Maksud lain tujuan meletakkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri itu ialah agar kumpulan pro Zahid Hamidi dalam UMNO yang sebelum ini menolak Mahiaddin dapat kembali semula menyokong kerajaan PN.

Kata seorang yang mengetahui butir-butir dalam perjumpaan tersebut, kalau Ismail Sabri diletakkan sebagai calon Perdana Menteri, takkan UMNO tak mahu kembali semula menyokong kerajaan PN?

Bukankah UMNO memang selama ini mahu jawatan Perdana Menteri dan bagi Bersatu, mereka dapat kekal lagi berada dalam kerajaan adalah sesuatu yang cukup menggembirakan, tambah beliau lagi.

Bagi Bersatu juga, jelas beliau, yang penting ialah bukan kerajaan lain, tetapi tetap kerajaan PN lagi yang mentadbir negara selepas ketiadaan Mahiaddin nanti.

Walaupun tidak disebut secara berterus-terang, adalah jelas keinginan mengekalkan lagi kerajaan PN dengan menonjolkan Ismail Sabri itu, walaupun Perdana Menterinya daripada UMNO, ia adalah semata-mata agar kouta menteri dan timbalan menteri masih ada untuk Bersatu.

Dengan kekal lagi sebagai kerajaan, Bersatu merasakan peluang mereka lebih cerah untuk mendepani PRU15 akan datang.

Makna kata, kerajaan PN pimpinan Ismail Sabri yang dicita-citakan itu, kiranya menjadi kenyataan, selain akan diketuai oleh pemimpin yang tidak akur kepada keputusan MT UMNO dalam menarik sokongan terhadap Mahiaddin, malah boleh dikata pro kepada Bersatu.

Apakah selepas Ismail Sabti jadi Perdana Menteri, maka Hamzah Zainuddin atau Azmin Ali bakal dihadiahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri? 


(ShahbudinHusin 15/08/2021)



No comments: