SPR tukar alamat guna data e-tunai mengarut
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan tidak berasas pihak tertentu yang mendakwa ada pengundi telah ditukarkan bahagian pilihan raya berdasarkan alamat yang dikemas kini di aplikasi e-tunai.
Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, dakwaan itu yang ditularkan melalui media sosial baru-baru ini adalah palsu dan tidak benar.
Tegasnya, SPR tidak boleh sewenangnya menukarkan bahagian pilihan raya mana-mana pemilih berdaftar tanpa pengetahuan pemilih berkenaan.
“Berikutan hantaran tersebut, talian penting SPR dihubungi oleh pengundi yang merupakan pengguna aplikasi berkenaan untuk mengesahkan maklumat yang telah disebarkan.
“Dalam hal ini, SPR ingin menegaskan bahawa dakwaan yang tular ini adalah palsu dan tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Azhar berkata berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, mana-mana pemilih berdaftar yang hendak menukar bahagian pilihan raya mereka perlu membuat permohonan menukar bahagian pilihan raya melalui saluran pendaftaran disediakan SPR.
Ia adalah di Ibu Pejabat SPR, Pejabat SPR negeri, semua Pejabat Pos di seluruh negara atau memohon secara dalam talian MySPR Daftar di https://mysprdaftar.spr.gov.my.
Sambil itu beliau turut menjelaskan, pertukaran bahagian pilihan raya bagi mana-mana pengundi bukan secara automatik sebagaimana dakwaan yang tular di media sosial. –