MAHKAMAH SEHARUSNYA BUAT KEPUTUSAN SEGERA DALAM KES BATU DAN RANTAU, BUKAN SELEPAS 9 MEI



Difahamkan kedua-dua calon PKR, Tian Chua dan Dr. S Stream yang tidak dapat atau lebih tepat dihalang daripada menyertai pilihanraya pada 9 Mei depan akan membawa kes mereka ke mahkamah pada esok, 30 April 2018.

Tian Chua ditolak kertas pencalonan semalam kerana didakwa ada sabitan kes mahkamah yang menghukumnya dengan denda sebanyak RM2000, meskipun pada pilihanraya 2013 beliau dibenarkan bertanding oleh SPR atas kesalahan lain dengan hukuman yang sama.

Atas asas yang nyata meragukan itu kerana syarat gugurnya kedudukan sebagai wakil rakyat atau tidak boleh bertanding ialah apabila seseorang dihukum dengan denda tidak kurang RM2000 atau penjara tidak kurang 1 tahun, SPR sebaliknya bertegas menolak kertas pencalonan Tian Chua.

Dr. S Stream pula dihalang daripada memasuki dewan untuk  menyerahkan kertas pencalonan atas alasan tidak memiliki pas masuk yang dikeluarkan SPR, walaupun umum mengetahui perkara itu bukanlah suatu syarat wajib.

Berdasarkan kes duluan yang mana SPR pernah membenarkan Tian Chua bertanding pada 2013 sedangkan ketika itu juga ada sabitan hukuman denda RM2000 melibatkan dirinya serta kedudukannya sebagai Ahli Parlimen yang tidak pernah dilucutkan sepanjang dua kali didenda sebanyak RM2000, secara logiknya beliau mempunyai asas yang kuat untuk memenangi kesnya di mahkamah.

Lebih daripada itu, keputusan mahkamah dalam kes Tian Chua sebelum ini juga jelas menyebut kedudukannya sebagai Ahli Parlimen tidak gugur dengan denda RM2000 tersebut.

Begitu juga dengan Dr. S Stream, selain pas masuk SPR bukanlah suatu perkara wajib, beliau sudah pun berada di luar dewan untuk menyerahkan kertas pencalonan sejak pukul 8.00 pagi lagi beserta borang pencalonan, watikah, wang deposit, pencadang serta penyokong.

Dengan itu, hakikatnya, pasukan keselamatan tiada asas kukuh untuk menafikan haknya daripada menyerahkan kertas pencalonan, seterusnya bertanding dalam pilihanraya kerana ini adalah proses demokrasi yang tidak boleh dinafikan terhadap sesiapa pun jua.

Selain itu, Tian Chua dan Dr. S Stream juga turut membuat laporan polis berhubung apa yang mereka alami itu.

Cuma yang menjadi persoalan, apabila Tian Chua dan Dr. S Stream membawa kes mereka ke mahkamah esok, bilakah hakim akan membenarkan pendengaran dan membuat keputusan?

Berdasarkan kes ini amat penting dan mendesak kerana pengundian akan diadakan pada 9 Mei depan, mahkamah sepatutnya membenarkan pendengaran serta membuat keputusan dengan kadar yang segera.

Sama ada kes Tian Chia dan Dr. S Stream ditolak atau mereka dibenarkan menyertai semula pilihanraya di Parlimen Batu dan DUN Rantau, ia mesti diputuskan dengan segera sebelum 9 Mei.

Dengan itu, jika kes mereka ada asas dan berjaya memenanginya kerana  SPR terbukti melakukan kesilapan dan halangan memasuki dewan semata-mata kerana tiada pas adalah tidak sah, kedua-dua calon berkenaan masih mempunyai masa untuk berkempen dan menyertai pilihanraya.

Jika kes mereka ditolak pula, maka biarlah rakyat akhirnya menghukum keputusan itu melalui penolakan di seluruh negara terhadap BN.

Setidak-tidaknya, sama ada mereka dibenarkan bertanding atau sebaliknya, ia dapat diketahui oleh seluruh rakyat sebelum tarikh pengundian diadakan.

Tiada guna jika kes mereka ini yang dibawa ke mahkamah esok, tetapi akhirnya hanya diputuskan selepas 9 Mei nanti.

Walaupun kiranya Tian Chia dan Dr. S Stream berjaya memenangi kes masing-masing dan pilihanraya kecil perlu diadakan semula atas arahan mahkamah, namun pilihanraya yang diadakan selepas 9 Mei sudah berbeza keadaannya, malah mungkin tidak berguna apa-apa lagi.

Ketika itu, kerajaan baru - sama ada BN atau Pakatan Harapan - sudah pun terbentuk dan sebarang pilihanraya kecil sudah tidak memberi sebarang kesan kepada kedua-dua belah pihak.

Suatu perkara yang harus diingatkan ialah keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan. (ShahbudinHusin 29/04/2018)

TINDAKAN KHALED, ZAMBRY TANDING DUA KERUSI BAYANGAN JOHOR, PERAK BAKAL MILIK PAKATAN HARAPAN



Dalam UMNO, bukanlah suatu kelaziman bagi mana-mana pemimpinnya bertanding dua kerusi - satu Parlimen dan satu DUN - secara serentak.

Ini kerana UMNO dan BN merupakan parti yang besar dan ramai yang berebut-rebut mahu menjadi calon.

Selain itu, UMNO dan BN juga sudah lama menjadi kerajaan, maka pembahagian untuk bertanding itu perlu dilakukan secara lebih menyeluruh agar lebih ramai berpeluang menjadi wakil rakyat.

Hanya di Sabah dan Sarawak menjadi kebiasaan ada sesetengah pemimpinnya turut merupakan ADUN dan Ahli Parlimen di waktu yang sama.

Di Semenanjung, pada pilihanraya 2013 lalu, Mustapha Mohamad pernah diamanahkan bertanding dua kerusi secara serentak di Kelantan dalam usaha UMNO dan BN mahu merampas negeri tersebut daripada Pas.

Mustapha yang sudah pun memegang jawatan menteri di peringkat Pusat, cuba dipertaruhkan kerana UMNO dan BN Kelantan tidak mempunyai calon yang berwibawa yang untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar.

Kali ini, Mustapha sekali lagi dipertaruhkan untuk bertanding di dua kerusi - Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas - sebagai cubaan seterusnya untuk merampas Kelantan setelah hampir 30 tahun UMNO dan BN kehilangan kuasa di negeri tersebut.

Dalam konteks ini, oleh kerana BN masih merupakan pembangkang di Kelantan, cubaan bertanding dua kerusi itu tentu saja boleh difahami di mana sekiranya gagal menawan negeri itu, Mustapha akan terus dikekalkan sebagai menteri di peringkat Pusat.

Di kalangan pembangkang, bagaimanapun bertanding dua kerusi itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana tokoh yang popular dalam sesebuah parti itu amat diperlukan untuk ditonjolkan bagi mencipta lebih kemenangan di banyak kawasan.

Dalam sesetengah keadaan, ia berlaku kerana tidak ramai yang sedia menjadi calon serta tidak yakin terhadap kemenangan.

Itulah yang menjadikan Lim Guan Eng dan Azmin Ali misalnya bertanding dua kerusi pada pilihanraya 2008  dan kini kedua-duanya terus kekal dengan pegangan dua kerusi tersebut.

Guan Eng kekal bertanding di Parlimen Bagan dan DUN Air Putih, manakala Azmin di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Untuk pilihanraya 9 Mei depan ini, beberapa lagi pemimpin PKR dan DAP turut diketengahkan untuk bertanding dua kerusi, antaranya Johari Abdul di Kedah,  Saifuddin Nasution di Kedah dan Pulau Pinang, Shamsul Iskandar Mohd Akin di Melaka dan Nga Kor Ming di Perak.

Pemimpin Bersatu seperti Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir juga bertanding dua kerusi dalam pilihanraya kali ini.

Misinya tetap sama iaitu perlunya tokoh yang popular diletakkan bagi memungkinkan kemenangan, selain mungkin untuk memberi peluang kepada mereka untuk memilih sama ada berkhidmat di peringkat pusat atau pun negeri.

Tetapi, kenapakah Khaled Nordin dan Zambry Abdul Kadir yang sudah menjadi Menteri Besar Johor dan Perak turut memilih bertanding dua kerusi dalam pilihanraya kali ini?

Untuk pilihanraya kali ini, selain bertanding mengekalkan kerusi DUN Permas yang dipegangnya sejak 2013 lalu, Khaled akan turut bertanding kerusi Parlimen Pasir Gudang yang pernah diwakilinya ketika menjadi menteri sebelum ini.

Begitu juga dengan Zambry, di samping mengekalkan kerusi DUN Pangkor yang dipegangnya, beliau juga akan turut bertanding bagi kerusi Parlimen Lumut, satu cubaan kali pertamanya.

Oleh kerana dalam senarai calon peringkat DUN di Johor dan Perak yang sudah diumumkan tidak terlihat pemimpin lain yang berwibawa serta berkemampuan untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar, tindakan Khaled dan Zambry turut bertanding di kerusi Parlimen pada waktu yang sama tidak lain adalah gambaran ketidakyakinan mereka mampu mempertahankan kedua-dua negeri tersebut.

Tidak dinafikan, dalam gelombang perubahan yang kian meningkat sekarang ini, Johor dan Perak adalah dua negeri yang diramalkan banyak pihak akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan.

Jika Khaled dan Zambry benar-benar yakin mampu mempertahankan Johor dan Perak daripada gelombang itu, untuk apa mereka bertanding di Parlimen?

Bukankah lebih baik kekal bertanding di DUN dan terus menjadi Menteri Besar saja?

Jika mereka mahu dibawa ke Pusat pula, cukuplah mereka bertanding di Parlimen saja dan kerusi DUN itu lebih wajar diserahkan kepada calon lain yang tentunya ramai sedia mengisinya.

Dalam waktu yang sama, apakah dengan bertanding di dua kerusi itu yang dilihat sebagai persiapan untuk beralih jawatan ke peringkat Pusat sekiranya Johor dan Perak jatuh ke tangan Pakatan Harapan, Khaled dan Zambry benar-benar yakin Najib tidak ditumbangkan oleh Tun Mahathir Mohamad pada 9 Mei nanti?

Bagaimana jika Pakatan Harapan dengan pengaruh Tun Mahathir berjaya menggerakkan berlakunya tsunami rakyat Malaysia sehingga akhirnya gabungan untuk menyelamatkan negara itu dapat menguasai Putrajaya? (ShahbudinHusin 24/04/2018)

Tuduhan DAP ketuai PH persepsi jahat Umno-Pas


Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Al Jundi (foto) menyifatkan tuduhan kononnya DAP menguasai gabungan politik sebagai satu projek menanam rasa takut oleh Umno-Pas.
Menurutnya, jumlah keseluruhan kerusi Parlimen yang ditandingi DAP adalah 47 kerusi iaitu Semenanjung (35), Sabah (3) dan Sarawak sembilan kerusi.
“Masih dalam konteks itu pun, DAP berada pada kedudukan jumlah (kerusi) lebih rendah berbanding kerusi Parlimen Bersatu dan PKR di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Semakannya juga terhadap agihan kerusi Parlimen PH dan mesra PH bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak mendapati Bersatu memiliki 71 kerusi diikuti PKR (40), AMANAH (34) dan Warisan 34 kerusi.
Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) itu berkata demikian mengulas grafik bertajuk ‘Dominasi Kerusi Parlimen’ yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Tanpa menyebutkan nama, beliau berkata, angka dalam grafik itu menyamai idea seorang individu yang pernah mendakwa DAP bertanding 54 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia sekali gus lebih tinggi berbanding Bersatu.
Semakan mendapati, individu yang dimaksudkan adalah Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff.
Kamarul dilapor Malaysia Gazette dalam laporan bertajuk, ’37 kerusi Parlimen: DAP masih ada Sabah dan Sarawak’ pada 8 Januari lalu berkata, jumlah 35 kerusi ditandingi DAP di Semenanjung itu meningkat kepada 54 kerusi apabila ditambah kerusi di Sabah dan Sarawak.
Grafik tular yang memainkan sentimen jahat memburukkan PH.
Mengulas lanjut, Athirah berpendapat penyebaran mesej itu sebagai serangan persepsi bahawa kononnya DAP yang mengetuai dan menguasai PH.
“Ia sama sekali salah dan fitnah. Sebenarnya ini merupakan serangan persepsi jahat dan tidak bertanggungjawab. Maklumat itu fitnah dan tidak lengkap,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya sikap mempermainkan politik propaganda kaum dan agama dihentikan.
“Masalah negara dan rakyat tidak boleh diselesaikan dengan permainan politik persepsi yang jahat seperti ini dengan menafikan fakta yang sudah terang dan jelas,” tambahnya lagi.

PH P. PINANG TAWAR 68 AKUJANJI KEPADA RAKYAT

SILA SEMAK SEMULA KAD PENGENALAN ARWAH MAK AYAH KITA .MANA TAHU "MEREKA" MUNGKIN "KEMBALI"MENGUNDI DENGAN KELEMAHAN KERJA SPR ???





KETIKA MENERIMA MAKLUMAT INI , SAYA TERUS MEMBUAT SEMAKAN DAN TERNYATA IANYA MASIH WUJUD




CUCU TUN GHAFAR MAMPU 'PENINGKAN KEPALA' ANAK TUN RAZAK....



Meskipun hanya terkemudian dicalonkan, pemilihan Ahli MPT Bersatu, Zahid Md Arip untuk menentang Najib Razak di kerusi Parlimen Pekan pada pilihanraya 9 Mei depan secara umumnya disambut baik oleh para pencinta perubahan.

Sebelum ini, Ketua Bersatu Bahagian Indera Mahkota, Kamarul Ariffin Mohd Shahar telah dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Pekan, tetapi Tun Mahathir Mohamad telah membuat perubahan di saat-saat akhir mengenainya.

Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan bakal Perdana Menteri ke-7, Tun Mahathir tentu mempunyai alasan tersendiri yang difikirkannya terbaik dengan meminta Kamarul Ariffin melakukan suatu pengorbanan dengan memberi laluan kepada Zahid untuk menentang Najib.

Kamarul Ariffin menerima baik keputusan Tun Mahathir itu dan berjanji akan terus bekerja keras dalam pilihanraya ini demi Bersatu dan juga Pakatan Harapan.
Pemilihan Zahid yang merupakan penceramah popular dalam Bersatu untuk menentang Najib di Pekan secara kasarnya tidak ubah seperti "kalah dalam tangan, menang belum tentu."

Memang teramat sukar untuk mengalahkan Najib atas kedudukannya  sebagai Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri, tambahan lagi pengundi di Pekan sentiasa ditambah dengan angka yang drastik tahun demi tahun sejak 1999 yang lalu.

Ia tidak lain ialah memastikan Najib sentiasa selesa untuk mengekalkan kawasan itu menjadi miliknya, setelah hanya mampu menang tipis 241 undi pada pilihanraya 1999 itu.

Pada pilihanraya 1999, jumlah kertas undi yang dikeluarkan bagi Parlimen Pekan ialah sebanyak 26,797 iaitu mewakili 74.78 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi, tetapi pada pilihanraya 2013 lalu, jumlah pengundi Pekan direkodkan telah meningkat kepada 80,260 orang.

Pada pilihanraya 2008 pula, jumlah pengundi berdaftar di Pekan ialah seramai 58,217 orang.

Bayangkan betapa tingginya pertambahan jumlah pengundi di Pekan dan daripada mana mereka didatangkan, hanya Najib dan jentera BN saja yang mengetahuinya.

Untuk itu, selain kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, secara realitinya pertarungan Zahid di Pekan bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun begitu, kelebihan Zahid ialah beliau merupakan seorang penceramah popular yang mampu menggamit kehadiran orangramai dengan kelantangan serta cerita-cerita lucu yang banyak dalam memorinya, selain wataknya yang mudah mesra dengan sesiapa saja.

Perkara itu tidaklah menghairankan kerana darah politik memang sudah lama mengalir dalam tubuhnya di mana beliau adalah cucu saudara kepada Tun Ghafar Baba, bekas timbalan perdana menteri serta salah seorang pejuang tulin dalam UMNO.

Dengan kemampuan Zahid berceramah tiga atau empat kali sehari  serta menggunakan sepenuh masanya menemui seramai mungkin pengundi Pekan sepanjang tempoh berkempen, manakala Najib mungkin terhad masanya kerana perlu pergi ke seluruh negara memastikan BN tidak kalah dan jawatan Perdana Menterinya tidak terlepas, di sinilah kelebihan memihak padanya.
Lebih daripada itu, dengan kedudukannya sebagai bekas pegawai khas Pengerusi Felda, Isa Samad sebelum ini, Zahid tentunya juga ada ramai rakan akan kenalan di kawasan-kawasan Felda yang terdapat di Pekan.

Satu lagi kelebihan Zahid ialah beliau merupakan pemimpin Bersatu yang turut popular dengan kritikan mengenai pelbagai isu semasa melalui klip video yang kemudian disebarkan secara meluas menggunakan saluran youtube, facebook dan juga whatsapp.

Dengan menjadi calon, jika Zahid menerbitkan video kempennya setiap hari dengan menjadikan Najib, Rosmah, Jho Low, 1MDB dan  Riza Aziz sebagai sasaran misalnya, sambil ia kemudian disebarkan seluas mungkin kepada para pengundi Pekan, sedikit-sebanyak tentu membuatkan anak Tun Razak itu terganggu juga dibuatnya.

Zahid juga boleh mengatur satu program ceramah besar-besaran di Pekan yang melibatkan kehadiran Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan yang lain bagi membuktikan beliau benar-benar serius berlawan dengan Najib.

Akhirnya, kalau Zahid mampu melakukan gangguan berterusan sepanjang tempoh berkempen nanti, fikiran dan jiwa Najib bukan saja pasti akan terganggu, malah tidak mustahil turut  "pening kepala"  dibuatnya.

Gangguan dan "pening kepala"  yang diakibatkan oleh Zahid itu secara langsung akan menyebabkan lebih tekanan kepada Najib.

Dari segi ini, tindakan Tun Mahathir memilih cucu Tun Ghafar berbanding calon-calon untuk melawan anak Tun Razak di Pekan adalah dikira suatu tindakan strategik dalam usaha Pakatan Harapan menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya 9 Mei nanti. (ShahbudinHusin 25/04/2018).

CUCU TUN GHAFAR LAWAN NAJIB DI PEKAN

Yang baru, muda dan Melayu dari DAP untuk PRU14


Tuan-tuan dan puan-puan, adik kakak sekalian. DAP dengan penuh rasa besar hati mempersembahkan, enam orang calon muka baru (dan tak berapa baru) selain, muda dan Melayu untuk pertimbangan rakyat Malaysia.
Sebenarnya kali ini ada sepuluh calon Melayu semuanya. Enam ini yang belum cecah 40 tahun usia. Bahkan ada yang belum masuk liga 30 tahun pun sebenarnya.
Zairil Khir Johari, 35 tahun adalah mantan Ahli Parlimen Bukit Bendera. Muncul kali pertama di lapangan politik Malaysia apabila membuat keputusan untuk meninggalkan industri pembuatan coklat yang diceburinya sejak tahun 2007, dan dilantik menjadi pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Graduan MMU dan kemudiannya School of Oriental and African Studies, University of London ini bakal bertanding di kerusi DUN Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Young Syefura Othman atau lebih popular dengan panggilan Rara, bakal bertanding di DUN Ketari, Pahang. Anak kelahiran Lumut, Perak berusia 28 tahun ini berpengalaman sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang, dan penyelaras Impian Kelantan; inisiatif DAP dan NGO memulihkan penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur pada penghujung tahun 2014.
Rara dikenali umum sebagai aktivis politik dan masyarakat, dan merupakan Penolong Setiausaha Wanita DAP di peringkat nasional.
Sheikh Omar Ali, 33 tahun lahir dan membesar di Kluang, Johor. Beliau adalah calon di DUN Paloh. Mantan aktivis PAS ini merupakan bekas pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya di zaman mahasiswanya.
Selepas menamatkan pengajian universiti, beliau bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sebelum melibatkan diri sepenuh masa dalam gerak kerja politik sebagai Setiausaha Eksekutif Sekretariat Pakatan Rakyat Pusat dari tahun 2010 hingga 2013.
Edry Faizal pernah bertugas sebagai felo penyelidik Islamic Renaissance Front, dan kemudian setelah menyertai DAP, menjadi penyelaras Sekolah Demokrasi, program pendidikan politik anjuran parti.
Calon DUN Dusun Tua berusia 33 tahun ini turut berpengalaman sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang, selain pernah menjadi pengulas isu semasa dalam siri video pendek ‘Kupas’ stesen radio BFM. Edry juga adalah seorang pemuzik, dan juga merupakan AJK DAP Selangor. Serba serbi boleh.
Syerleena Rashid adalah seorang Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang sejak tahun 2015. Graduan Universiti Sains Malaysia ini menerima pendidikan awal di Sekolah Convent Green Lane, tidak jauh dari kawasan yang ditandinginya sekarang di DUN Seri Delima.
Sebelum menyertai politik, Syerleena (umurnya rahsia) adalah pengarah sebuah syarikat rekreasi dan kesukanan. Beliau mengajar wakeboarding, dan kemahiran berlayar. Jangan main-main, beliau juga seorang yang aktif bergiat dalam sukan kickboxing. Anak jati Pulau Pinang ini juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Penang Youth Development Corporation (PYDC).
Jamaliah Jamaluddin, 29 tahun membesar di Lembah Klang dan lepasan Northwood University, Amerika Syarikat. Berpengalaman dua tahun sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, beliau bakal bertanding di DUN Bandar Utama.
Jamaliah (atau panggilan manjanya, Aaliah) adalah cucunda kepada pemimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Allahyarham Shamsiah Fakeh.
Pada PRU ke-14 ini, DAP bakal bertanding di 152 kerusi (DUN dan Parlimen), dan mempertaruhkan 148 orang calon, 4 orang calon bertanding di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen.
Di 47 kerusi Parlimen dan 105 kerusi DUN yang ditandingi, DAP meletakkan 27 orang calon wanita. 58 orang calon bawah 40 tahun, 9 bawah 30 tahun. 40 peratus daripada calon-calon DAP adalah dalam kategori ‘pemuda’.
Untuk rekod, Pada tahun 1974, DAP pernah meletakkan 38 calon Melayu, diikuti 57 orang pada tahun 1978. 

SPR takut dengan gambar Mahathir, baik haramkan sahaja


Keputusan terkini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengeluarkan peraturan baru beberapa hari sahaja sebelum penamaan calon, menimbulkan rasa tidak senang Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.
Lim Lip Eng, yang juga calon Parlimen Kepong dalam kenyataannya mempersoalkan peraturan aneh melarang gambar selain presiden atau timbalan presiden parti digunakan dalam bahan kempen.
“Tiga hari lagi penamaan calon, dua minggu sebelum hari mengundi, bahan kempen sudah dalam proses cetak dan hampir siap untuk digantung,” keluhnya terhadap arahan yang begitu aneh.
SPR dalam kenyataannya mengehadkan penggunaan gambar pemimpin utama parti politik dalam bahan kempen dengan hanya membenarkan dua orang pemimpin utama parti dipaparkan pada bahan kempen.
Jawatan selain daripada Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) parti adalah tidak dibenarkan.
“Saya melihat ini sebagai cubaan SPR melarang penggunaan gambar mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bahan-bahan kempen.
“Tak perlulah SPR berbasa-basi dengan pelbagai larangan dan sekatan,” kata beliau sambil mencadangkan supaya SPR mengharamkan sahaja penggunaan gambar negarawan terbabit.
“SPR takut apa?” soalnya.
Tun Mahathir telah dinobatkan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan, menggantikan Datuk Seri Najib Razak.
Pun begitu, ada usaha daripada pihak-pihak tertentu untuk menggelapkan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.
Ini di samping keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan, menggantung sementara pendaftaran Parti Pribumi Bersatu yang diterajui Mahathir, hanya beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan. 

Nasir Dollah, calon Orang Asli pertama dalam sejarah DAP


Buat pertama kali dalam sejarah perjuangan selama 52 tahun, DAP meletakkan calon Orang Asli untuk bertanding dalam pilihanraya umum.
Nasir Dollah, 31 tahun bakal dicalonkan di DUN N.45 Galas, Kelantan, bagi mewakili suara orang Temiar di Gua Musang.
Beliau yang pernah menganggotai urusetia Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), turut pernah memegang jawatan Timbalan pengerusi Jaringan Orang Asli Kelantan, dalam memimpin perjuangan hak-hak Orang Asli.
Nasir kini mewakili masyarakat Orang Asli Kelantan dalam Majlis Pimpinan Pakatan Harapan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Nasir adalah antara 230 individu masyarakat Orang Asli Temiar yang menyertai DAP hujung Februari lalu dii Kampung Orang Asli Parik, Kuala Betis, Gua Musang.
Pada PRU ke-14 ini, DAP menampilkan 148 orang calon, yang bertanding di DUN dan Parlimen.
Daripada angka tersebut, tiga daripadanya berketurunan Dayak, tiga mewakili Kadazan-Dusun-Murut, manakala Nasir pula mewakili masyarakat Orang Asli.
Selebihnya, DAP menghantar 10 calon Melayu, 22 calon India dan 109 calon berketurunan tionghua. 

SPR TERDESAK LARANG GUNA GAMBAR MAHATHIR, ANWAR