Pakatan lancar kempen bantah GST
OLEH DIYANA IBRAHIM
December 03, 2013

Pakatan
Rakyat (PR) akan melancarkan kempen anti Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) sebagai membantah tindakan Putrajaya melaksanakan
cukai tersebut pada April 2015 biarpun tidak disenangi rakyat.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, kempen
tersebut iaitu “Faham GST, Tolak GST” akan dilancarkan pada 20 Disember
di Kelab Sultan Selangor Kuala Lumpur.
Ia akan disertai oleh pemimpin tertinggi parti temasuk Penasihat DAP
Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Selain itu Anwar berkata, sebuah jawatankuasa turut dibentuk dimana
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli, Setiausaha
Publisiti Tony Pua dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly
Ahmad akan membentangkan satu kertas kerja bagaimana kempen anti GST
akan dilaksanakan.
"Asalkan terdapat kecacatan dan akan menyebabkan kesusahan pada orang
ramai harus ditolak," katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari
ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat.
Dalam pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengumumkan akan melaksanakan GST pada 1 April 2015 pada kadar 6%.
Bagaimanapun barangan asas seperti nasi, tepung, sayur, gula, ikan,
ayam, garam, minyak masa, telur, daging, rempah ratus, cencaluk dan
belacan adalah terkecuali. Begitu juga bagi perkhidmatan seperti
pengangkutan awam, perbankan dan pendidikan.
Tindakan pelaksaan tersebut menyebabkan kerajaan diselar banyak pihak
terutama PR apabila ahli parlimen parti itu menegaskan negara tetap akan
berdepan dengan sitausi muflis dan pembaziran.
"GST akan menjadi punca bagi penyebab berlaku inflasi. Hasil kajian
penyelidikan CIMB menunjukkan pelaksanaan GST akan menyumbang kenaikan
inflasi sebanyak 5% kerana kelemahan penguatkuasaan undang-undang yang
tegas.
Putrajaya bagaimanapun mempertahankan pelaksanaan GST bukan sahaja
mampu menguatkan ekonomi negara tetapi akan membantu golongan
berpendapatan rendah.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut memberi
jaminan bahawa pelaksanaan cukai GST tidak akan membebankan rakyat
berpendapatan sederhana.
"Kesan pada golongan ini adalah neutral," Muhyiddin berkata demikian
sebagai reaksinya selepas pembentangan Bajet 2014, pada 25 Oktober lalu.
Sementara itu sebuah lagi jawatankuasa yang dibarisi Pengarah Strategi
DAP Ong Kian Ming, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman dan
Pengarah Pilihan Raya PAS Mohd Hatta Ramli akan mengkaji pensempadan
semula kawasan pilihan raya. - 3 Disember, 2013.