Undi sokong jual 51% saham KPF adalah pengkhianatan, kata Pengerusi Anak
October 26, 2013

Tindakan
ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang mengundi
menyokong usul cadangan penjualan 51% ekuiti milik KPF di dalam Felda
Holdings Berhad kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad seumpama
pengkhianat yang mahu membunuh koperasi terbaik di Malaysia itu.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan
Aliman (gambar) dalam kenyataannya berkata, ini kerana KPF telah dibina
30 tahun dan tiba-tiba kepentingannya hendak diserak kepada FGVH.
"FGVH, syarikat yang hidup atas ihsan peneroka, pajak tanah Felda
Plantation, pinjam duit KWSP, rugi pelaburan di luar negara dan sahamnya
merudum rudum jatuh," kata Mazlan dalam kenyataannya.
KPF akan mengadakan mesyuarat agung perwakilan khas Ahad, 27 Oktober
ini, jam 10 pagi di Dewan Bankuet, Menara Felda, Platinum Park, No 11,
Persiaran KLCC, Kuala Lumpur.
Agenda mesyuarat ialah cadangan penjualan 51% ekuiti milik KPF di dalam
Felda Holdings Berhad kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad
serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.
KPF adalah pemegang saham utama (ultimate shareholder) dalam syarikat
Kumpulan FHB dengan kadar pemilikan ekuiti seperti berikut:-
1. Felda Holdings 112,200(unit) 166,582(juta pelaburan) 51%(ekuiti)
2. Felda Transport Services 14,700 6,770 49%
3. Felda Marketing Services 8,330 3,565 49%
4. Felda Engineering Services 4,900 2,450 49%
5. Felda Security Services 1,411 353 49%
6. Felda Vegetable Oil Products 25,000 34,500 33.3%
7. Felda Rubber Industries 12,000 6,000 28.6%
8. Felda Palm Industries 56,557 58,052 28.0%
9. Felda Agricultural Services 15,000 55,500 23.1%
10.Felda Prodata Systems 2,500 16,825 20.0%
11.Felda Kernel Products 4,000 3,000 16.7%
Jumlah 256,598 353,597
Sehingga tahun 2010, KPF mempunyai keahlian seramai 207,913 dengan
modal syer anggota sebanyak RM1.46 bilion. 87.81% keahlian datangnya
daripada anggota kumpulan peneroka.
Pelaburan dalam Syarikat Kumpulan FHB adalah asas kepada penubuhan KPF.
Perolehan dividen daripada pelaburan tersebut adalah penyumbang utama
kepada keseluruhan perolehan KPF, membolehkan KPF mengekalkan prestasi
bayaran dividen dan bonus yang baik semenjak lebih 30 tahun
penubuhannya.
Usul yang akan dikemukakan ialah menjual keseluruhan 112,199,99 unit
saham milik KPF di dalam FHB bersamaan 51% modal berbayar dan
diterbitkannya kepada FGVH pada nilai RM2.20 bilion ataupun RM19.61
sesaham.
EGM ini akan menentukan masa depan KPF di mana ia bergantung sepenuhnya kepada pendirian perwakilan.
"Saya telah mengulas hal ini beberapa kali. Jika lulus, risikonya
terlalu amat besar. Ingat, perolehan tahunan daripada FHB adalah 15
bilion. Ia bakal menjadi milik FGVH," kata Mazlan dalam kenyataannya.
Menurut Mazlan, prestasi semasa FGVH yang tidak stabil, kini ia mahu
merampas ekuiti milik KPF pula dan dicadang pula 10% daripada pemilikan
KPF diguna untuk melanggan saham FGVH.
"Ini suatu pertaruhan yang saya anggap hidup mati KPF. Bukan itu
sahaja, kebun peneroka yang diurus oleh Felda Techno Plant juga berada
dalam kawalan FGVH.
"Apa-apa risiko yang melanda FGVH, syarikat senaraian awam di Bursa
Malaysia ini, akan mengorbankan sepenuhnya kehidupan 112,635 orang
peneroka. 95% adalah orang Melayu!" kata Mazlan. – 26 Oktober, 2013.