MANA USTAZ MUALAF TU..TAK TEGUR.

 









(1)

Lucu melihat cara kita berhujah.


Bila konvoi RXZ, kita kata "eratkan silaturahim".


Bila Pesta Air Rainwave, kita kata "pesta maksiat", "boleh ditimpa bala", "merosakkan akidah".


Macam satu terus suci, satu lagi terus berdosa.


Hakikatnya, kalau kita benar-benar mahu bercakap atas dasar agama dan maslahat, ukurannya bukan siapa yang kita suka. Ukurannya ialah manfaat dan mudarat.


(2)

Dalam Islam, apa sahaja aktiviti yang membawa kepada kemudaratan perlu ditegur.


Kalau di Rainwave berlaku percampuran bebas, aurat tidak dijaga, hiburan melampau dan perkara yang bercanggah dengan syariat, maka tegurlah. Itu memang kewajipan.


Tetapi kalau dalam konvoi motosikal pula berlaku budaya menunggang berbahaya, berlumba di jalan raya, melanggar undang-undang dan akhirnya meragut nyawa, mengapa lidah menjadi kelu?


Jangan kerana ia dibungkus dengan nama "silaturahim", semua mudarat dianggap halal.


(3)

Setiap tahun, statistik menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang terbesar kematian jalan raya di Malaysia. Angkanya mencecah lebih 4,000 kematian setahun mengikut data keselamatan jalan raya negara. 


Ini bukan angka kecil.


Ini ribuan anak, suami, isteri dan bapa yang tidak pulang ke rumah.


(4)

Malah setiap kali himpunan atau konvoi motosikal berskala besar berlangsung, hampir setiap tahun akan muncul berita kemalangan.


Dalam himpunan RXZ Members 8.0 baru-baru ini, beberapa peserta dilaporkan maut dalam nahas berasingan ketika dalam perjalanan ke program tersebut. 


Sudah bertahun-tahun perkara ini berulang.

Jadi, kalau benar kita menilai sesuatu berdasarkan mudarat, mengapa hanya sebelah pihak sahaja yang dihukum?


(5)

Jangan salah faham.


Saya bukan mempertahankan Rainwave. Kalau ada unsur maksiat, saya menolaknya.


Tetapi saya juga tidak akan mengangkat konvoi motosikal seolah-olah tiada langsung mudarat hanya kerana ia membawa slogan persaudaraan.


Silaturahim itu ibadah. Tetapi silaturahim bukan lesen untuk mengabaikan keselamatan.


(6)

Masalah kita hari ini bukan tidak tahu membezakan halal dan haram.


Masalah kita ialah kita menilai berdasarkan siapa yang melakukannya. Kalau kumpulan sendiri, kita cari seribu alasan. Kalau kumpulan orang lain, kita cepat sangat kaitkan dengan bala.


(7)

Kalau benar kita cintakan agama, tegurlah kedua-duanya. Mungkin event akan datang akan ada penambahbaikan dalam penganjuran. Tak salah nak buat konvoi dan kumpul ramai ramai. 


Yang ada unsur maksiat, kita tegur. Yang mengundang bahaya kepada nyawa, kita juga tegur.


Kerana dalam Maqasid Syariah, menjaga agama itu penting. Tetapi menjaga nyawa juga adalah tuntutan syarak.


Jangan sampai kita begitu ghairah bercakap tentang bala kepada orang lain, sedangkan mudarat yang nyata di depan mata kita sendiri sengaja dipalingkan wajah.


Mohd Fadhli Othman 

Tak da pula 'Ustaz Mualaf' tu nak tegurkan ? Agaknya kenapa ?






No comments: