Pemuda PH tempelak Adun Pas, desak mohon maaf sebar dakwaan palsu


 


Angkatan Muda Harapan (AMH) menempelak Exco Kedah merangkap Adun Pas, Dr. Haim Hilman Abdullah, kerana mengelirukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dengan dakwaan palsu berhubung jumlah pelajar antarabangsa di universiti awam.

Ketua Penerangannya, Ammar Atan menegaskan, angka yang disebut Dr. Haim kononnya 27 peratus adalah tidak benar sama sekali.

Dr. Haim Hilman Abdullah

Jelasnya, data rasmi menunjukkan hanya 21 peratus atau 38,388 daripada 180,024 pelajar di lima universiti penyelidikan utama Malaysia pada 2024 adalah pelajar antarabangsa.

“Lebih memalukan, kenyataan songsang ini datang daripada seorang bekas Naib Canselor UUM.

“Ketika Pas dalam kerajaan pada 2022, jumlah pelajar antarabangsa pun mencecah 17 peratus, tetapi ketika itu beliau diam membisu,” katanya.

Ammar turut menjelaskan bahawa majoriti pelajar antarabangsa adalah di peringkat sarjana dan PhD, manakala kerusi untuk pelajar tempatan terus meningkat saban tahun.



Malah, lebih 60 peratus pelajar di lima universiti teratas adalah daripada golongan B40.

“Universiti awam tidak pernah menganak-tirikan pelajar Malaysia.

“Fitnah seperti ini hanya membuktikan Pas ketandusan isu dan sanggup memperalatkan sentimen anak muda demi politik murahan,” tegas Ammar lagi.



No comments: