RAJA BAHRIN “MUHYIDDIN PATUT DIKUTUK!” ANGKUH PERTIKAI & FAKTA KENA BALUN!



Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyifatkan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai angkuh apabila mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu itu berkata, Mahiaddin bersikap sombong dengan mengulangi serta bertegas bahawa apa yang diucap pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri lepas kononnya sebagai ‘fakta’. “Jika Mahiaddin ingin bercakap tentang ‘fakta’, fakta pertama yang patut dikutuk adalah beliau sendiri memulakan budaya Langkah Sheraton yang telah memporak-perandakan senario politik negara dengan menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat secara sah. “Fakta kedua adalah disebabkan Langkah Sheraton yang dimulakan beliau, Malaysia telah mengalami pertukaran empat orang Perdana Menteri dalam masa amat singkat, yang menyusahkan rakyat. “Fakta ketiga adalah semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengisytiharkan darurat di mana Parlimen digantung, suara rakyat dibisukan, dan kontrak kontroversi seperti yang diberi kepada Jana Wibawa kononnya di bawah alasan membantu Bumiputera, tetapi sebenarnya ramai bukan Bumiputera terlibat sama. “Ini adalah fakta kerakusan Muhyiddin demi ingin terus berkuasa,” tegasnya menerusi satu kenyataan. Semalam, Mahiaddin berkeras mempertahankan ucapannya ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri lalu sebagai fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja atau kecenderungan menghasut. Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yakin kenyataannya yang mempertikai kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara. Mengulas lanjut, Raja Bahrin juga berpendapat Mahiaddin mempertikai kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menstabilkan Malaysia dengan kerajaan majoriti lebih dua pertiga apabila menolak menyertai Kerajaan Perpaduan yang disarankan dan direstui Istana Negara. “Janganlah berlakon kononnya bercakap tentang fakta semasa mengkritik keputusan Agong, sementara ‘fakta-fakta’ kerakusan diri melalui Langkah Sheraton, menggantung Parlimen melalui darurat, serta program Jana Wibawa yang menyeleweng pemberian projek yang kononnya membantu Bumiputera yang bermasalah kerana Covid-19, disenyapkan,” tegasnya. Beliau menambah fakta yang paling penting Mahiaddin perlu diingatkan ialah Yang di-Pertuan Agong yang sama, dengan penuh kebijaksanaan Tuanku, yang telah melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah juga melantik Mahiaddin sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia. “Fakta kelemahan sendiri yang ketara besar adalah Mahiadddin dijatuhkan sebagai Perdana Menteri oleh rakan sendiri dalam PN, digantikan oleh Ismail Sabri, yang berebut kuasa ingin menjadi Perdana Menteri. “Beliau (Mahiaddin) jatuh sebagai Perdana Menteri bukan kerana Anwar Ibrahim. “Adakah ini hendak dipersalahkan kepada Tuanku Agong juga kalau diri sendiri tidak pandai atau berupaya bertahan berkuasa? “Jangan salahkan pihak lain atas kelemahan diri sendiri. Muhasabah cermin dirilah sebaiknya,” tempelak Raja Bahrin lagi.






No comments: