MUHYIDDIN JANGAN LUPA, KETIKA BELIAU DILANTIK PM DULU, KETIKA ITU TUN M JUGA DAKWA ADA SOKONGAN MENCUKUPI



19 August 2024


Sebagai langkah mempertahankan diri, Muhyiddin Yassin berkata, apa yang disebutnya mengenai perlantikan Perdana Menteri selepas PRU15 lalu adalah sesuatu yang bersifat  fakta.


“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi Raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.


“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara,” katanya.


Benarkah ia fakta?


Satu perkara yang Muhyiddin barangkali tidak sedar ialah ucapanya yang lebih kurang bermaksud – entah kenapa saya tidak dijemput ke Istana Negara untuk dilantik sebagai Perdana Menteri – adalah dengan jelas mempertikaikan kewibawaan serta kebijaksanaan Agong ke-16 dalam membuat keputusan.


Dalam hal berkaitan, haruslah disedari kuasa melantik Perdana Menteri adalah hak budi bicara Agong terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang pada hemat baginda mempunyai sokongan mencukupi.


Mempertikaikan hak budi bicara Agong itu, ia dengan sendirinya bermaksud menuduh Agong membuat keputusan tidak berdasarkan perlembagaan.


Di sinilah Muhyiddin telah melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana mencambahkan bibit-bibit kebencian terhadap institusi Raja-Raja Melayu.


Jika Muhyiddin tidak lupa, ketika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2020 lalu selepas Langkah Sheraton, pada ketika itu Tun Mahathir Mohamad yang ingin mencuba lagi untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri turut mendakwa memiliki sejumlah 114 Ahli Parlimen bersamanya.


Meski tidak dilantik, tetapi Tun Mahathir tidak pernah mempertikaikan kuasa Agong secara terbuka.


Di sinilah bijaksananya Tun Mahathir kerana beliau tahu kuasa itu adalah hak budi bicara Agong.


Sampai sekarang pun kita tidak perbah mendengar  secara terbuka Tun Mahathir mempertikaikan kenapa beliau tidak dilantik semula oleh Agong sebagai Perdana Menteri.


Tun Mahathir ternyata sedar, kuasa perlembagaan untuk melantik Perdana Menteri adalah budi bicara Agong dan bukan semata-mata berdasarkan dakwaan memiliki sokongan.


Lagi pula, selepas PRU15 lalu, Akta Anti Lompat Parti sudah pun dikuatkuasakan yang bermakna keputusan parti adalah muktamad, manakala sokongan melalui Akuan Bersumpah secara individu sudah tidak terpakai lagi.


Sepatutnya Muhyiddin mengambil kira semua perkara ini sebelum mahu terus mengungkit kenapa beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana ketika itu, ramai Ahli Parlimen yang menyokongnya tanpa restu parti.


Kepada Muhyiddin – move onlah, terus melangkah ke hadapan dan tidak habis-habis mengungkit nostalgia lama hanya membuat jiwa sendiri berfambah luka.


Selain itu, jika benar juga Muhyiddin meyakini beliau mempunyai sokongan mencukupi, kenapa beliau tidak pernah cuba membuktikannya di Parlimen?


Bukankah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah pun membenarkan dibawa usul percaya  terhadapnya di Parlimen?


Kiranya benar Muhyiddin ada sokongan dan sampai sekarang beliau masih mempercayai hakikat tersebut lantaran ingin terus menyebutnya dalam kempen di Nenggiri, kenapa tidak cuba membuktikannya?


Atau cubalah buktikan di Parlimen selepas ini? –( ShahbudinHusin 19 Ogos 2024) .