MUHYIDDIN TIDAK SEPATUTNYA TERUS UNGKIT CERITA PERLANTIKAN PERDANA MENTERI



19 August 2024


Malang berganda nampaknya menimpa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sekarang ini.


Sudahlah calon Bersatu yang diambil daripada Pas kalah dalam PRK Nenggiri, beliau pula kini berdepan siasatan kerana menyentuh isu 3R ketika berkempen.


Beliau akan diambil keterangannya esok berhubung ucapannya ketika berkempen di Nenggiri yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.


Muhyiddin didakwa menyentuh kewibawaan Agong ke-16 itu berkaitan perlantikan Perdana Menteri selepas PRU15 dengan mendakwa beliau ketika itu mempunyai sokongan yang mencukupi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, tetapi tidak dipanggil ke Istana Negara.


Setakat ini dilaporkan sejumlah 29 laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak terhadap Muhyiddin.


Dalam hal ini, mahu tidak mahu, harus kita sedari adalah suatu kesilapan untuk Muhyiddin mengungkit-ungkit cerita lama pada tahun 2022 itu.


Pertamanya kerana perlantikan Perdana Menteri adalah atas budi bicara baginda kepada mana-mana Ahli Parlimen yang diyakini mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi.


Kuasa itu tidak perlu dipertikaikan atau dijaja sebagai bahan cerita secara terbuka.


Siapa yang diperkenankan, itulah yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri.


Lagi pula, apa kaitan cerita perlantikan Perdana Menteri yang tidak menjadi kenyataan itu dengan kempen PRK Nenggiri?


Yang kedua, isu perlantikan Perdana Menteri itu adalah kisah lama yang sudah berlalu dan tidak perlu diungkit lagi.


Ia ibarat bekas kekasih lama kita yang sudah berkahwin dengan lelaki lain dan kini sudah pun mempunyai keluarga.


Maka, ada faedahnya untuk diceritakan lagi?


Selepas tidak dilantik sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin seharusnya terus bergerak ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.


Jika beliau masih ada hati untuk jadi Perdana Menteri juga, ada dua cara yang masih terbuka dilakukannya.


Pertama, pastikan PN menang PRU16 akan datang atau setidak-tidaknya memenangi jumlah kerusi Parlimen paling banyak supaya mudah untuk beliau menarik sokongan daripada parti-parti lain.


Kedua, mengusahakan atau menggerakkan agar Anwar Ibrahim  dijatuhkan sebelum penggal ini berakhir.


Soalnya, bolehkah ia dilakukan?


Jika tiada jalan untuk melakukannya, lebih baik tumpukan perhatian kepada PRU16 yang kira-kira tiga tahun saja lagi daripada sekarang.


Apa pun, dalam perjalanan menuju PRU16 itu, jangan sesekali diungkit cerita lama yang sudah berlalu atau masih mengatakan ramai orang bertanya kepadanya bila lagi mahu mengambil alih kerajaan.


Kalau mahu menjatuhkan kerajaan, lakukannya dengan senyap-senyap sebagaimana beberapa gerakan menjatuhkan kerajaan sebelum ini.


Jangan hanya bercakap mengenainya di pentas ceramah, namun tiada apa-apa gerakan ada diusahakan dan ketika berkempen dalam PRK, yang patut disentuh ialah parti lawan atau Perdana Menteri, bukan Raja-Raja. – (ShahbudinHusin 19 Ogos 2024) .