…LEBIH TERPUJI JIKA UMNO YANG LEBIH DULU HULUR MAAF KEPADA DAP

 

Bukan saja UMNO dan DAP sama-sama bersalah dalam menyerang satu sama lain sebelum ini, bahkan UMNO lebih banyak melakukan serangan, termasuk dalam kebanyakan PAU yang diadakan

 

…LEBIH TERPUJI JIKA UMNO YANG LEBIH DULU HULUR MAAF KEPADA DAP 

 

Kalau mahu dikira, baik UMNO atau DAP, kedua-dua parti itu sama-sama bersalah dalam mentohmah dan mengguris hati antara satu sama lain.

 

Manakala jika dibuat timbangan pula, salah UMNO kepada DAP lebih besar lagi berbanding salah DAP kepada UMNO.

 

Ini kerana, DAP melakukan serangan kepada UMNO lebih kerana ia merupakan parti yang berkuasa dan menerajui kerajaan pusat, selain disebabkan pelbagai skandal serta amalan rasuah melibatkan pemimpinnya yang terdedah didedahkan kepada umum sejak dulu.

 

Sebagai parti yang berkuasa dan mengetuai kerajaan, adalah perkara biasa bagi DAP yang ketika itu sebagai pembangkang melakukan pelbagai serangan serta kritikan.

 

Sebagaimana tiada seinci bumi yang tidak ditimpa hujan, tiada parti yang jadi kerajaan di dunia ini yang tidak dikritik oleh parti pembangkang.

 

Kritikan dan serangan itu adalah tugas moral mereka dalam erti kata semak dan imbang untuk memastikan negara diurus dengan baik.

 

Tetapi, kenapa UMNO melakukan serangan kepada DAP, termasuk begitu kerap dan acapkali menjadikan sasaran utama, terutama dalam Perhimpunan Agung UMNO juga?

 

UMNO tidak bertanding di kawasan yang sama dengan DAP, dengan itu sebab apa ia selalu menjadilan DAP sebagai sasaran serangannya?

 

Tidak lain UMNO selama berpuluh tahun berbuat demikian adalah untuk memastikan ia terus kekal berkuasa dengan cara menakut-nakutkan bangsa sendiri terhadap ancaman DAP yang sebenarnya tidak begitu jelas itu.

 

Sejarah telah membuktikan bahawa yang lebih banyak mengancam dan memiskinkan orang Melayu adalah pemimpin daripada parti Melayu sendiri.

 

Ia bukan daja disebabkan tidak jujur dan tidak amanah, gemar makan rasuah, bahkan ramai pula menjual tanah, projek dan pelbagai kepentingan atas nama Melayu kepada bangsa lain demi untuk keuntungan yang cepat.

 

Dalam masa yang sama, dengan serangan kepada DAP itu, yang ingin dilimpahkan keuntungan ialah MCA dan Gerakan yang juga merupakan parti kaum Cina, sama seperti DAP.

 

Sebab itu bila Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh mendesak DAP memohon maaf, kemudian mempertahankan pendiriannya meski setelah pelbagai kritikan diterimanya, ia dengan jelas menunjukkan beliau belum cukup tidak matang dan tidak sedar diri realiti yang sebenar.

 

Buat apa nak tunjuk garang dan mahu jadi hero dengan meminta orang lain memohon maaf kepada kita, sedangkan kita sendiri pun ada buat salah kepada pihak berkenaan?

 

Lebih tidak matang dan tidak sodar diri bila Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan pula menyokong kenyataan Dr Akmal itu sambil berkata, DAP seharusnya berbesar hati menerima saranan berkenaan.

 

“Cadangan (Pemuda UMNO) yang baik. Bagi saya, kalau DAP berbesar hati mereka boleh minta maaf kepada UMNO,” kata belau.

 

Apa ni Tok Mat?

 

Ingat UMNO ada 130 kerusi Parlimen ke sekarang ini?

 

Memang meminta maaf adalah amalan yang baik, tetapi mendesak orang lain meminta maaf kepada kita, dalam keadaan kita sendiri ada buat salah kepada pihak yang didesak meminta maaf itu, ini adalah suatu petunjuk keangkuhan diri yang benar-benar tak bertepi.

 

Agak-agaknya sikit dan tengoklah cermin dulu sebelum melakukan desakan itu.

 

Lagi pula, UMNO dan DAP sekarang sudah duduk dalam rumah yang sama iaitu rumah kerajaan perpaduan, maka untuk apa lagi diungkit cerita-cerita lama?

 

Macam apabila seorang wanita itu sudah menjadi isteri kita, untuk apa lagi diungkit cerita lama dia pernah mengata kita ketika zaman sekolah dulu?

 

Tidakkah tindakan Pemuda UMNO ini perbuatan tembak kaki sendiri dan menjurus untuk melihat berlakunya pergaduhan tercetus sesama sendiri, seterusnya menjadikan kerajaan perpaduan tumbang di tengah jalan?

 

Yang sepatutnya dalam hal ini, khususnya Ketua Pemuda UMNO yang masih perlu banyak makan garam lagi, cubalah berusaha memperbaiki dan membina hubungan yang lebih baik dengan DAP.

 

Hakikat yang nyata ialah DAP merupakan parti pilihan kaum Cina, manakala MCA sudah jauh tersudut ke tepi, jadi jika UMNO ingin kekal lama dalam kerajaan atau bertahan berkuasa di beberapa negeri, tiada pilihan lain selain sedia mereformasikan minda sendiri untuk bersikap terbuka dan menerima realiti baru dalam negara majmuk ini.

 

Sementara UMNO sendiri, berdasarkan keputusan PRU15 lalu, sudah tertinggal di belakang Pas dan Bersatu, tak usahlah lagi peranan hebat, bangga diri angkuh tak menentu.

 

Lebih terpuji jika Pemuda UMNO sendiri yang mula mengungkapkan kata maaf kepada DAP berbandiing mendesak DAP meminta maaf kepada mereka.

 

Tambahan lagi bak kata peribahasa bangsa sendiri juga – tidak hilang bisa ular di ketika ia menyusur akar.

 

Atau dalam hal ini Pemuda UMNO anggap peribahasa Melayu itu sudah tak boleh pakai? – ShahbudinHusin 09/06/2023.

 

https://shahbudindotcom.net/