KETUA BLOK PEMBANGKANG, TUN MAHATHIR SUDAH RAMPAS KEDUDUKAN MAHIADDIN?






Ketua Pembangkang di Parlimen ialah Hamzah Zainuddin, manakala ketua kepada blok pembangkang di luar Parlimen adalah Mahiaddin Md Yasin atas kapasitinya selaku Pengerusi PN.


PN mempunyai 74 Ahli Parlimen, manakala Ahli Parlimen yang bersama kerajaan perpaduan ialah seramai 148 orang.


Ertinya, selain PN, tidak ada mana-mana parti atau gabungan lain yang mempunyai wakil di Parlimen.


Dengan kedudukan Mahiaddin dan Hamzah itu, juga tidak ada pihak lain yang boleh diiktiraf untuk bercakap berkenaan blok pembangkang PN diterajui PN itu.


Tetapi, sejak semalam di mana berlangsungnya rundingan meja bulat parti-parti Melayu serta NGO yang menyokong Proklamasi Orang Melayu, Tun Mahathir Mohamad seolah-olah telah memproklamasi dirinya sendiri selaku ketua blok pembangkang di negara ini.


Bercakap dalam sidang media selepas rundingan meja bulat itu, Tun Mahathir antara lain berkata, semua pihak yang menandatangani Proklamasi Orang Melayu telah sepakat untuk bekerjasama dalam PRN enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.


Menurut beliau, semua pihak itu juga memutuskan untuk tidak bertanding sesama sendiri dan sedang memikirkan untuk bertanding bersama-sama.


“Itu tujuan kita hari ini dan kita semua setuju perlunya kita bergerak bersama.


“Kalau PRU pun kita akan bergerak bersama.


“Kalau tak ada kuasa tak boleh buat apa pun,” kata beliau.


Ehhh…apa cerita ni?


Siapa yang memberi autoriti untuk Tun Mahathir memutuskan demikian bagi pihak blok pembangkang?


Dalam rundingan meja bulat itu, selain Hamzah tidak hadir kerana berada di luar negara, Mahiaddin juga tidak hadir disebabkan keuzuran.


Hanya dilaporkan bahawa Mahiaddin bakal bertemu Tun Mahathir dalam waktu terdekat ini sebagai susulan kenyataannya minggu lalu yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri berusia 98 tahun itu.


Kenapa Tun Mahathir tidak menunggu sehingga bertemu Mahiaddin terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman mengenai kerjasama parti-parti pembangkang dalam PRN?


Atas kapasiti apa Tun Mahathir berkata demikian?


Beliau mewakili parti apa dan sebagai pengerusi gabungan mana?


Adakah Proklamasi Orang Melayu yang digerakkannya itu sebuah entiti yang sah dan bila masa pula ia boleh bercakap mewakili blok pembangkang?


Adakah Tun Mahathir sebenarnya mahu merampas kedudukan Mahiaddin?


Bukankah sebagai orang tang datang kemudian dalam blok pembangkang, Tun Mahathir sepatutnya hanya layak menjadi pengikut dan membiarkan apa-apa perkara mengenai blok pembangkang diputuskan oleh Mahiaddin?


Akhirnya sebelum terlambat dan keadaan jadi gawat, sebagai pesanan buat Mahiaddin selaku ketua blok pembangkang di negara ini – berhati-hatilah selalu dengan Tun Mahathir.


Sebagaimana Tun Mahathir pernah bermusuh, kemudian berbaik tetapi akhirnya mengkhianati juga Anwar Ibrahim, tidak mustahil ulangan drama yang sama akan berulang kembali, tambahan lagi beliau sebelum ini pernah melabel Mahiaddin sebagai pengkhianat sebenar berikutan peristiwa Langkah Sheraton pada 2020 dahulu. – ShahbudinHusin 08/06/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: