Isu belasah Food Rider : Lan Pet Pet akhirnya tampil bagi penjelasan

 


Isu belasah Food Rider : Lan Pet Pet akhirnya tampil bagi penjelasan


PELAWAK, pelakon dan usahawan, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Lan Pet Pet akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung penularan video dia bergaduh dengan seorang penghantar barang baru-baru ini.

Menurut Lan, video berdurasi kurang seminit yang tular sebelum ini tidak menggambarkan keseluruhan insiden yang terjadi, sebaliknya ia menyebabkan orang ramai salah faham terhadapnya.

“Ceritanya ketika saya sedang membawa kereta di suatu jalan dan apabila lampu bertukar hijau, saya lihat seorang penghantar barang sedang melihat telefon bimbit sambil menunggang motosikal. Jadi saya bunyikan hon.

“Dia tak puas hati dan tunjuk bahasa isyarat saya mengikut cermin pandang belakang. Jadi saya berhenti, bila dia membuat provokasi saya sabar, dia maki saya, saya sabar.

“Tapi tak kan bila dia nak pukul saya bagi sahaja muka pada dia. Jadi berlakulah pergelutan,” jelasnya menerusi satu video sidang media.

Tambah Lan, dalam masa yang sama, seorang wanita yang berada dalam kereta merakam video yang kemudian tular serta mengundang salah faham.

“Datang hamba ALLAH naik kereta biru, dia terus rakam tanpa tahu punca sebenar dan video itu tular.

“Saya tengok video tular ini dalam kumpulan WhatsApp dan tak puas hati serta terus buat laporan polis. Ia sudah menjadi kes lain pula sedangkan kami bergaduh hanya dalam beberapa saat sahaja dan selesai.

“Selepas bergaduh saya pergi buat laporan polis untuk diri sendiri. Penghantar makanan terbabit hanya buat laporan beberapa hari selepas itu.

“Apa pun saya berterima kasih kepada pegawai penyiasat yang panggil penghantar makanan ini dan kes kami selesai secara baik,” jelasnya yang berharap orang ramai memahami situasi sebenar dan memberi sokongan kepadanya.

No comments: